Kebanyakan daripada kita pasti pernah memiliki kasut Bata di zaman persekolahan. Harganya cukup berpatutan, selesa dan tahan lasak. Slogannya First to Bata, Then To School juga mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu sehingga membuatkan kasut mereka wajib dimiliki oleh setiap murid-murid.

Ia juga merupakan jenama kasut yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Tidak hairanlah mengapa sesetengah orang menyangka jenama ini merupakan buatan tempatan. Sebenarnya, ia merupakan kasut buatan Eropah dan sudah bertapak di negara kita sejak sebelum merdeka lagi!

Sebenarnya ada kisah menarik di sebalik pembangunan jenama Bata. Ayuh kita semak sama-sama!

Pemilik Bata Perkenalkan Kasut Daripada Fabrik

Individu yang mencetuskan jenama Bata adalah Tomáš Baťa, iaitu seorang usahawan dari Czechoslovakia. Bisnes penjualan kasut bukanlah perkara baru dalam hidupnya kerana ibu bapanya juga menjual kasut.

Meskipun begitu, beliau tidak berminat untuk meneruskan perniagaan keluarga. Sebaliknya, Tomáš bersama adik-adiknya bercadang untuk membuka syarikat sendiri pada tahun 1984 dengan menggunakan wang yang dipinjam daripada ibunya.

Syarikat kasut milik tiga beradik ini dinamakan Baťovky dan segera mencuri perhatian ramai pelanggan kerana keunikan kasut mereka yang diperbuat daripada fabrik berbanding kulit.

Pada era tersebut, kebanyakan kasut dihasilkan daripada kulit. Dengan pengenalan kasut Baťovky, Tomáš Baťa dipercayai merupakan pencipta kasut fabrik terawal dalam sejarah. Lebih menarik lagi, kasut yang dijual oleh Tomáš juga boleh didapati dengan harga murah.

Bisnes adik beradik ini tidak bertahan lama. Adik lelaki Tomáš menemui ajal akibat Tuberculosis manakala adik perempuannya pula telah berkahwin dan ingin fokus pada keluarga.

Sejak itu, perniagaan kasut tersebut telah diuruskan oleh Tomáš sendiri dan telah diubah kepada Bata sempena namanya sendiri.

Jenama kasut Bata yang murah dan berkualiti menjadi popular dalam tempoh yang singkat dan menjadi terkenal di rantau Eropah ketika itu.

Tomáš Baťa Terus Kembangkan Bisnes Kasut

kasut bata

Setelah perang dunia berakhir, Tomáš mengalami kesukaran untuk dapatkan bahan mentah bagi menghasilkan kasut. Namun, beliau tidak mengalah dan terus berusaha untuk meneruskan perniagaannya.

Pada era 1920-an, Tomáš telah mempelbagaikan produk kasut demi mengembangkan syarikat. Syarikat Bata juga dikatakan sebagai antara yang terawal memperkenalkan konsep meletak harga yang diakhiri oleh 9 (99 berbanding 100).

Konsep ini membuatkan sesuatu produk nampak murah dan menjadi sangat popular sehingga menjadi ikutan kepada pemilik bisnes lain.

Tomáš Baťa meninggal dunia pada tahun 1932 akibat nahas kapal terbang. Perniagaan syarikat Bata kemudiannya telah diwarisi oleh anaknya iaitu Thomas J. Bata (Tomas Jr). Ketika itu, syarikat Bata sudah mempunyai lebih 16,000 pekerja.

kasut bata

Pembinaan Batavillage

Tomas Jr terkenal sebagai seorang ahli perniagaan yang berkaliber seperti bapanya. Di bawah kepimpinan anak pengasas ini, Bata mula membina kilang di Belanda dan tanah yang besar untuk membangunkan perkampungan Bata (Batavillage) sama seperti kilang asal mereka di Zlín,

Bata membina perkampungan tersebut supaya pekerja dapat tinggal berdekatan dengan kilang. Ia juga lengkap dengan sekolah, pusat kesihatan, sekolah dan tempat riadah.

Penubuhan Batavillage juga membuktikan sifat Tomas Jr yang prihatin tentang kebajikan ribuan pekerjanya.

Pada hari ini, masih terdapat beberapa rumah Bata yang masih wujud berdekatan kilang dan boleh dikesan menerusi rekaan bumbung yang rata.

Atas dedikasi Tomas Jr dalam memenuhi tanggungjawab sosial dan komitmen dalam meneruskan bisnes keluarga, beliau telah menerima Lifetime Achievement Award pada tahun 2007.

Kasut Bata Bertapak di Malaysia

kasut bata

Nama Bata mula dikenali di Tanah Melayu apabila mereka membuka cawangan di Capitol Building, Singapura pada tahun 1930. Lima tahun kemudian, mereka telah membina sebuah kilang di Klang, Selangor dengan lebih 2,000 pekerja untuk menghasilkan lebih banyak kasut keselamatan daripada getah.

Saban tahun, Bata terus memperkenalkan produk kasut berkualiti untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak.

Di bawah pentadbiran dari generasi keempat, Bata kini miliki lebih 270 cawangan di Malaysia dan lebih 6,000 kedai di serata dunia.

Walaupun jenama Bata tidak sepopular jenama kasut lain seperti Adidas atau Nike, namun legasi yang dibina selama lebih 130 tahun ini masih utuh sehingga ke hari ini. Bata Malaysia kekal menjadi pilihan warga tempatan dan mampu terjual sebanyak lebih daripada 10 juta pasang kasut setiap tahun.

Sumber : bataindustrials.com

Baca Juga : Kisah Menarik Jenama Crocs, Selipar Ikonik Yang Relevan Sehingga Ke Hari Ini

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top