Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJ) telah mengesan aktiviti penipuan pelaburan saham ‘Islamik’ dan patuh syariah menerusi iklan yang disebarkan secara berleluasa di beberapa platform media sosial.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata sebanyak 186 kes disiasat berkaitan skim penipuan pelaburan patuh syariah yang membabitkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM 5,411,571.61.

“Ada yang melabur berjuta-juta ringgit dan sebenarnya mereka ini bukanlah orang kaya tapi menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Bukan sedikit yang dilaburkan kerana jumlah minimum pelaburan ini adalah RM250,000,” katanya.

Menurutnya, skim itu menawarkan keuntungan hingga 50 kali ganda daripada nilai wang yang dilaburkan serta keuntungan juga didakwa akan dibayar seawal tiga jam selepas pelaburan dibuat.

Pada Khamis lalu, Harian Metro turut mendedahkan lebih 200 syarikat yang dipercayai aktif melakukan penipuan skim pelaburan membabitkan kerugian sebanyak RM 1 billion.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim turut mendedahkan bahawa skim pelaboran seumpama itu telah wujuk sejak 2015 namun semakin trending pada tahun ini.

Berkongsi lanjut, sindiket penipuan ini didapati melakukan operasi menggunakan syarikat berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan syarikat ala patuh syariah. Mereka juga memancing mangsa menggunakan model tabung amanah dan Islamic Redeemable Share (i-RPS) serta deposit memorandum maklumat termasuk sijil kewangan Islam (Sukuk).

Ejen syarikat yang menawarkan pelaburan kononnya patuh syariah sering dilihat muncul dengan penampilan hebat memakai sut berjenama dan mempamerkan kenderaan mewah serta rumah besar.

Gambaran sebeginilah yang menyebabkan orang ramai mudah terperdaya dan menganggap apabila menganggap dengan menyertai skim pelaburan itu, mereka akan menjadi kaya dengan pantas tanpa perlu berusaha gigih.

“Lebih membimbangkan, paparan iklan itu turut menggunakan gambar individu ternama termasuklah ahli politik, agamawan, selebriti, tokoh korporat dan pempengaruh media sosial dipercayai dengan tujuan untuk menarik perhatian pelabur,” jelas Datuk Noorsiah dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Penipuan Pelaburan Patuh Syariah

Noorsiah berkata, siasatan mendapati individu yang disertakan dalam iklan tidak terbabit dengan skim pelaburan berkenaan dan tidak pernah memberikan kebenaran untuk menggunakan gambar-gambar mereka.

Dalam pada itu, PDRM turut mengesahkan penerimaan laporan polis daripada beberapa individu ternama berkenaan penyalahgunaan gambar mereka oleh skim pelaburan itu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, PDRM menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak sesekali terpengaruh dengan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan yang mudah dan lumayan.

Orang ramai juga diminta untuk lakukan semakan terperinci dan dapatkan nasihat daripada ejen pelaburan yang sah daripada institusi yang dipercayai sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan.

Dalam pada itu, PDRM turut memohon supaya orang ramai dapat membuat semakan lanjut daripada sumber rasmi seperti portal Semak Mule, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top