Industri teknologi maklumat atau IT bukanlah suatu bidang yang mudah untuk dikuasai. Ini disebabkan oleh sifatnya yang sering mengalami evolusi. Tambahan pula, bukan semua dapat menguasai konsepnya yang rumit.
Bagi yang sering mengikuti perkembangan industri IT, anda pasti perasan yang kebanyakan daripada pemegang jawatan tinggi di syarikat besar berasal dari India.
Ketua Pegawai Operasi Google iaitu Sundar Pichai dan Satya Nadella yang memiliki kedudukan penting dalam Microsoft kedua-duanya juga berasal dari India.
Adobe pula dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif berketurunan India iaitu Shantanu Nareyen.
Jadi, bagaimana ramai orang India dapat menguasai industri iT dan mampu mencipta nama di syarikat bertaraf antarabangsa?
Ini 4 Sebab Mengapa Ramai Orang India Mahir Dalam Bidang IT
Cara Hidup di India Yang Mencabar
Menurut R Gopalakrishnan iaitu bekas Pegawai Eksekutif Tata Sons dan penulis bersama The Made in India Manager berkata cara hidup di India telah mengajar mereka untuk menjadi bangsa yang berjiwa kental serta mempunyai kemampuan untuk menyelesaikan masalah dengan baik.
“Dari bangku sekolah sehingga memasuki alam pekerjaan, kami telah diduga dengan pelbagai cabaran seperti infrastruktur yang serba kekurangan dan terpaksa bersaing antara satu sama lain. Inilah yang membuatkan kami membesar dengan skill pengurusan yang baik,” jelas Gopalakrishnan.
Dengan erti kata lain, suasana kecoh serta persaingan sengit yang tidak asing lagi di India telah ‘mendidik’ rakyat mereka agar mudah beradaptasi dan sentiasa terbuka untuk belajar perkara baharu dengan cepat.
Mengutamakan Budaya Kerja Profesional
Warga India juga didapati lebih memilih untuk mengutamakan urusan profesional berbanding urusan peribadi dalam budaya kerja mereka di pejabat. Ini membuatkan mereka lebih mudah untuk menyesuaikan diri dalam syarikat besar termasuk di luar negara.
Mereka juga merupakan antara golongan minoriti yang paling menyerlah di Silicon Valley. Dengan mengutamakan budaya kerja profesional, lebih 1,000 warga India mampu membangunkan syarikat teknologi sendiri di kawasan tersebut.
Pada masa yang sama, kira-kira 25% peratus daripada pekerja dalam bidang teknikal di Silicon Valley terdiri daripada warga India.
Ramai pemimpin berketurunan India yang memegang jawatan besar di situ juga memiliki pendidikan yang sangat tinggi dan muncul sebagai antara pakar IT terkaya di Amerika Syarikat.
Kemahiran Bahasa Inggeris Yang Baik
Walaupun orang India terkenal dengan loghat Bahasa Inggeris tersendiri, namun kemampuan inilah yang membuatkan mereka mudah menyesuaikan diri dalam industri teknologi bertaraf global.
Kira-kira sejuta warga India kini menetap di Amerika Syarikat untuk mengisi jawatan penting seperti saintis komputer dan jurutera perisian.
Sistem Pendidikan Yang Menekankan Kecemerlangan Matematik dan Sains
Sistem pendidikan India yang mengutamakan subjek Sains dan Matematik sejak di bangku sekolah telah mencetus industri Sains dan Teknologi yang berdaya saing.
Ini sekaligus berjaya membentuk warga India sebagai tenaga kerja berkualiti dalam sektor tersebut.
Dapatlah kita simpulkan bahawa warga India telah terlatih sejak kecil dengan kemahiran penyelesaian masalah serta adaptasi terhadap perkara baru.
Mereka juga telah dididik sejak di bangku sekolah untuk menguasai ilmu Sains dan Matematik menerusi dorongan sistem pendidikan India. Orang India juga tidak kekok untuk mengasah kemahiran komunikasi dalam Bahasa Inggeris supaya dapat berinteraksi dengan baik di tempat kerja.
Dengan gaya kerja yang profesional, warga India kini berjaya membuktikan bahawa mereka mampu menguasai bidang IT dan menjadi orang penting dalam kepimpinan syarikat teknologi bertaraf global.
Sumber : BBC, wartaekonomi.co.id
Baca Juga : Dulu Jual Simkad, Kini Pengasas OYO Jadi Jutawan Hotel Bajet Bertaraf Global