Meskipun pahit untuk ditelan, namun kita tidak boleh menidakkan pandangan serong masyarakat terhadap golongan Orang Kurang Upaya atau OKU. Disebabkan kekurangan mereka, golongan ini sering disisihkan oleh masyarakat sehingga sukar untuk mereka bekerja dan berdikari sendiri.

Namun, seorang petani moden yang berasal dari Sabah telah membuktikan bahawa persepsi masyarakat terhadap golongan ini adalah tidak benar.

Shahrizal Denci yang berasal dari Sabah telah berkongsikan pengalamannya bekerja bersama golongan OKU menerusi Twitter. Pada mulanya, beliau akui turut ragu dengan kemahiran para pekerja OKU dalam mengendalikan ladangnya yang terletak di Kundasang. Tambahan pula, kerja-kerja di ladang memerlukan kudrat serta kekuatan fizikal yang tinggi.

Namun, sepasang kembar Aidil Afifat dan Aidil Asyraff Juakim yang berusia 27 yang mula tunjukkan kebolehan mereka dan mengubah pendirian Shahrizal terhadap golongan berstatus OKU.

Antara pencapaian yang mengejutkan petani moden ini adalah kemampuan pasangan kembar ini untuk membina sebuah ATV dengan tangan mereka sendiri.

Idea ini tercetus apabila adik-beradik ini berasakan susah untuk bergerak dari bukit ke bukit menggunakan ATV sedia ada yang kurang praktikal dan berat.

Shahrizal yang telah mencuba kenderaan buatan sendiri tersebut akui ia bergerak lebih laju dan jauh lebih ringan untuk dipandu berbanding ATV sedia ada.

Tidak hanya berbakat mencipta kenderaan sendiri, malah Shahrizal juga menyenangi sikap pasangan kembar ini yang sangat rajin dan berdisiplin di tempat kerja.

Lebih menarik lagi, pasangan kembar OKU ini juga merupakan atlet paralimpik negara dan pernah mewakili negara dalam acara lari jarak jauh di Poland. Memang hebat!

Menyokong bakat kesukanan kedua beradik ini, Shahrizal telah menetapkan waktu kerja yang fleksibel buat Afifat dan Asyraff supaya mereka dapat berlatih pada waktu petang setelah tugas selesai.

Ramai yang mungkin berasa sukar untuk dekati golongan OKU kerana tidak tahu cara untuk berkomunikasi dengan mereka. Namun, lain ceritanya dengan pasangan kembar ini. Bagi memastikan komunikasi yang lancar ketika bekerja, Afifat dan Asyraff telah mengajarkan majikan mereka bahasa isyarat.

Setiap kali bertemu, mereka pasti akan mengajarkan bahasa isyarat baharu kepada Shahrizal. Sekiranya sukar untuk difahami, mereka akan mengajar Shahrizal dengan menulis di kertas atau menerusi aplikasi Whatsapp.

@shahrizaldenci13

Asyraff dan Afiffat merupakan paralympian yang mewakili Malaysia dalam acara lari jarak jauh di Poland. Mereka kursus di kebun.

♬ 恭喜恭喜 Gong Xi Gong Xi – Ampai Music

Melihat kehadiran kedua adik-beradik ini sebagai aset kepada bisnes, Shahrizal sedar bahawa sekiranya majikan perkasakan staf yang setia, ia akan menjadi nilai tambah yang baharu kepada pasukan kerja.

Melalui kisah Shahrizal bersama para pekerja OKU, dapatlah kita rumuskan bahawa meskipun mereka mempunyai kekurangan dari segi fizikal, namun mereka juga mampu berbakti kepada syarikat dengan cemerlang. Sekiranya diberi dorongan dan latihan, golongan ini juga mungkin boleh berikan hasil kerja yang lebih hebat daripada pekerja biasa.

Sumber : Twitter @DenciShahrizal

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top