Bakal melangsungkan konsert sulung mereka di Malaysia November tahun ini, band popular dari United Kingdom iaitu Coldplay menjadi bualan hangat di kalangan warganet sejak akhir-akhir ini.

Selain terkenal dengan lagu-lagu popular seperti Fix You dan Yellow, band ini juga mendapat perhatian ramai kerana telah menjanjikan perubahan lestari dalam konsert jelajah dunia mereka kali ini.

Meskipun mempunyai jutaan peminat di serata negara, band yang diterajui oleh vokalis Chris Martin ini sedari impak negatif setiap kali berlangsungnya konsert.

Pada tahun 2019, Coldplay pernah mengumumkan untuk tidak membuat tour lagi sehinggalah pihak mereka mampu mencapai kaedah yang lebih hijau dan bermanfaat untuk kelestarian bumi.

Apabila Coldplay mengumumkan siri jelajah dunia mereka dalam Music of The Spheres World Tour, peminat bukan sahaja teruja menantikan persembahan bertenaga mereka, malah ramai yang menantikan perubahan mesra alam yang bakal dibawakan oleh band popular ini.

Bagi mencapai misi mereka dalam mengurangkan penghasilan karbon sebanyak 50% dan memperbanyak aktiviti kitar semula dan penggunaan bahan mesra alam sepanjang jelajah mereka, Coldplay telah berkolaborasi dengan pelbagai syarikat bertaraf antarabangsa untuk realisasikan impian mereka.

Ingin tahu usaha Coldplay dalam merangka konsert yang lebih mesra alam? Ayuh kita lihat 6 syarikat yang telah bergabung bersama band ini untuk realisasikan acara muzik yang lebih hijau dan rendah karbon.

6 Syarikat Gergasi Yang Bekerjasama Untuk Capai Kelestarian Dalam Konsert Coldplay

1. DHL

Seakan kebetulan dengan warna kuning yang cukup sinonim dengan Coldplay, DHL selaku syarikat logistik rasmi konsert komited untuk menawarkan solusi bagi mengurangkan pelepasan tenaga yang boleh memberi impak buruk kepada alam sekitar.

Antara alternatif yang ditawarkan oleh syarikat logistik terkenal ini adalah penggunaan biofuel dengan formulasi terkini, jentera berat yang dikuasakan oleh bahan buangan organik serta penggunaan kenderaan elektrik sepanjang konsert.

coldplay

2. SAP SE

Bagi melibatkan peminat dalam usaha melestarikan alam sekitar, Coldplay turut berkolaborasi dengan SAP SE, iaitu sebuah syarikat perisian dari Jerman. SAP SE telah menghasilkan aplikasi Coldplay Music of The Spheres World Tour bagi membantu peminat membuat rancangan perjalanan yang lebih mesra alam.

Aplikasi yang telah dimuat turun oleh 350,000 peminat daripada 150 buah negara ini akan membuat anggaran terhadap penggunaan karbon bergantung kepada jenis pengangkutan yang dipilih.

Bukan itu sahaja, malah aplikasi ini turut menggalakkan para peminat untuk memilih kenderaan berkarbon rendah melalui tawaran ganjaran istimewa.

3. BMW

Coldplay telah menjadi band pertama yang membuat jelajah bersama produk bateri i3 keluaran syarikat automotif terkemuka, BMW. Meskipun dicipta sebagai bateri untuk menjana kuasa kenderaan elektrik, namun produk lestari daripada BMW ini telah diubahsuai secara khusus untuk menjana tenaga bagi konsert Coldplay.

Menurut kenyataan daripada laman web rasmi BMW, keselamatan bateri ini juga terjamin untuk program berskala besar dan difahamkan mampu menjana kuasa selama lebih daripada 10 tahun.

coldplay

4. Production Resource Group (PRG)

Nama yang tidak asing lagi dalam bidang pencahayaan dan video bagi acara besar, Production Resource Group atau PRG juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai misi kelestarian alam Coldplay.

Syarikat yang pernah terlibat dalam acara terkemuka seperti Coachella dan Justice Tour ini telah bekerjasama dengan Misty Buckley, pereka produksi Coldplay untuk membina skrin LED berbentuk sfera tiga dimensi.

Dengan gabungan teknologi mantap serta kajian teliti daripada jurutera RPG, mereka mampu menghasilkan skrin LED sfera yang boleh dimuatkan dalam 1 trak sahaja. Sekiranya mereka bergantung kepada rekaan tradisional, skrin LED sebegini memerlukan sehingga 6 buah trak untuk dipindahkan!

Inovasi unik ini sekaligus telah menobatkan sfera Coldplay ciptaan PRG ini sebagai salah satu kesan khas paling hebat bagi konsert yang telah berlangsung sepanjang tahun 2022.

5. InnoEnergy

Antara inovasi terbesar yang mendapat perhatian ramai peminat Coldplay adalah penggunaan lantai kinetik serta basikal pegun (stationary bike) untuk penonton salurkan tenaga semula ke acara muzik tersebut.

Dibawakan oleh syarikat yang pakar dalam inovasi tenaga lestari, InnoEnergy telah mencipta kaedah untuk manfaatkan tenaga kinetik penonton demi kehijauan bumi.

Lantai kinetik atau The Kinetic Dance Floor menjana tenaga diperbaharui (renewable energy) daripada gerakan penonton dan mengubahnya kepada tenaga elektrik.

Selain gerakan lantai, InnoEnergy turut menyediakan 15 basikal pegun untuk penonton berbasikal sambil berhibur demi menjana lagi tenaga kinetik sepanjang konsert.

Coldplay

6. PixMob

Gelang tangan atau wristband LED yang dipakai oleh penonton konsert Coldplay telah mewujudkan panorama cahaya yang tiada tandingan. Seperti kebanyakan wristband di konsert lain, ia juga akan bertukar warna mengikut lagu serta rentak yang dimainkan oleh pemuzik sehingga terciptanya lautan cahaya yang gemerlapan.

Namun, keistimewaan wristband yang ditawarkan oleh Coldplay adalah terletak pada penciptaannya yang praktikal serta mesra alam.

Gelang tangan LED ciptaan PixMob merupakan gelang tangan LED pertama di dunia yang berasaskan tumbuhan dan boleh dimanfaatkan menjadi kompos.

Material plastik yang digunakan adalah berasaskan tebu dan diproses dengan pembebasan karbon 400 peratus lebih rendah berbanding penggunaan plastik biasa (PET).

Bagi mengurangkan lagi penggunaan bahan mentah, wristband LED ini juga mampu diselenggara dengan mudah serta direka dengan tali yang fleksibel menjadikan produk ini mudah untuk diguna semula dan dinyahkuman.

Coldplay

Wah, banyak sungguh pembaharuan yang diperkenalkan oleh Coldplay demi merealisasikan konsert jelajah yang lebih mesra alam. Meskipun ia memakan kajian bertahun-tahun, namun ia sangat berbaloi demi menjamin kehijauan bumi dan menggalakkan lagi penggunaan tenaga hijau serta material yang boleh diperbaharui.

Pendekatan lestari yang dibawakan oleh Coldplay ini juga pasti akan memberi impak yang besar buat jutaan peminat mereka di serata dunia. Syabas diucapkan buat Coldplay atas usaha mereka berhibur sambil berjasa kepada bumi.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top