Minuman herba sudah menjadi sebahagian daripada keperluan tambahan untuk menjaga kesihatan dalaman dan luaran.
Namun, tak semua orang dapat mengamalkannya secara konsisten kerana herba dan ramuan asli sukar dicari. Tambahan pula, tak ramai yang tahu cara-cara untuk menghasilkannya sendiri di rumah untuk kegunaan harian.
DI situlah Hayfa Amira Ahmad Kamal menghidu peluang untuk menghasilkan produk minuman herba yang unik dalam bentuk kiub. Padat dengan ramuan berkualiti dan tinggi khasiat, Supercube kini menjadi produk herba kegemaran ramai tanpa mengira usia.
Supercube lahir pada waktu yang paling mencabar buat semua pemilik bisnes iaitu ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Berpegang pada prinsip ‘krisis juga mewujudkan peluang keusahawanan’, Supercube yang dibangunkan bersama suami Hayfa, Aizuddin Alif Yusof hadir untuk membantu ramai orang menjalani kehidupan yang lebih baik.
Siapa sangka bisnes yang berdiri dengan matlamat murni ini mampu berjaya mencapai hasil jualan sebanyak lebih RM 20.5 juta hanya dalam masa setahun?
Bagaimana mereka boleh bangunkan jenama ini sehingga menjadi produk minuman herba terkenal di Malaysia?
Jom kita ikuti kisah Supercube yang penuh inspirasi ini.
Supercube Bukan Sekadar Jenama, Malah Sebuah Perniagaan Yang Melahirkan Usahawan
Pasangan suami isteri ini kedua-duanya merupakan graduan daripada Universiti Teknologi Petronas dan pernah berkhidmat sebagai jurutera sebelum terjun dalam bidang perniagaan.
Ketika Hayfa menjadi surirumah, beliau pernah menjual pelbagai produk seperti mainan dan baju kanak-kanak serta karpet.
Wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini juga pernah mengeluarkan produk sambal sendiri yang dinamakan Seni Sambal.
Dalam semua perniagaan yang pernah dicuba, Hayfa dapati bisnes buah-buahan adalah antara yang paling menjadi.
Walaupun sudah sampai ke fasa pembukaan syarikat dan ada aplikasi sendiri, namun bisnes ini terkubur akibat kesukaran untuk fokus dan komitmen untuk menjaga anak.
Daripada situ, Hayfa merasakan perlunya wujud satu sistem yang boleh memberi sokongan kepada wanita terutamanya pada ibu untuk mulakan bisnes.
Menggunakan pengalaman sebagai surirumah, beliau mula mengenalpasti keperluan dan kekangan para ibu dalam memulakan perniagaan.
Daripada situ, terlahirlah Supercube sebagai produk minuman herba dalam bentuk kiub yang pertama di Malaysia.
Selain terkenal dengan minuman herba dalam bentuk kiub, jenama ini turut menawarkan aneka produk lain berasaskan herba seperti Soothe Mist iaitu minyak angin semulajadi dan Teresak Exfoliator iaitu skrub yang diinspirasikan daripada mandian herba ibu berpantang.
Dengan terlahirnya jenama ini, Hayfa dan suami bukan sahaja ingin kongsikan kebaikan khasiat herba berkualiti tinggi kepada pelanggan, malah pasangan usahawan ini juga ingin mengajak orang ramai yang berminat untuk jadi usahawan.
Hayfa Amira dan suami, Aizudin membina perniagaan ini untuk memudahkan sesiapa sahaja memulakan perniagaan sendiri tanpa risiko. Bisnes tanpa modal ini juga dilihat sebagai platform yang baik untuk melatih usahawan terutamanya para surirumah tiada pengalaman berniaga.
Bermula dengan 12 ejen perniagaan yang digelar sebagai Pilot Ambassador, Hayfa melancarkan Supercube pada November 2020.
Daripada 12 orang, kini Pilot Ambassador bagi jenama ini berkembang kepada lebih 28 ribu orang di serata negara!
Syarikat ini juga akan memberi bimbingan secara bersemuka dan atas talian kepada usahawan yang berminat. Selain itu, jenama ini turut menyediakan material pemasaran untuk membantu usahawan mempromosikan produk Supercube dengan lebih mudah.
Jenama ini terus berinovasi dengan memperkenalkan produk terbaharunya iaitu Superbytes pada Mac 2022. Superbytes adalah makanan pertama dalam bentuk kiub dengan ramuan yang terdiri daripada oat, kurma, kismis dan salutan coklat putih.
Kini jenama minuman herba popular ini baru memasuki tahun ketiga operasi sambil melahirkan puluhan ribu usahawan berkualiti.
Setelah berjaya melahirkan 15 orang jutawan pada tahun 2022, Supercube terus melangkah untuk lahirkan lebih ramai jutawan sambil bermatlamat untuk menjadi platform terbesar yang boleh membantu orang berniaga tanpa modal.
Kejayaan Hayfa dalam suami dalam membangunkan bisnes sendiri pada waktu sukar perlu diteladani. Lebih mengagumkan lagi, mereka membina jenama ini dengan niat untuk membantu orang yang terkesan pada waktu pandemik.
Semoga kisah Supercube ini dapat menjadi inspirasi kepada semua yang ingin membangunkan bisnes bermanfaat bukan sahaja untuk diri sendiri, malah untuk semua orang.