Bagi yang membesar pada era 90an, anda pasti ingat dengan tagline ‘Gunakan Tanpa Was-Was’ daripada jenama ubat gigi Zaitun.

Setiap hari iklannya pasti disiarkan di televisyen dan menjadi antara jenama yang paling diingati suatu ketika dahulu. Sudah agak lama kita tak mendengar perkembangan mengenai jenama yang popular dengan produk penjagaan diri seperti ubat gigi dan sabun ini.

Walaupun telah lama menyepi, namun jenama Zaitun kini kembali di pasaran. Bagi peminat jenama ini, mereka pasti teruja untuk mendapatkan produk Zaitun yang kini berwajah baharu.

Legasi Jenama Zaitun Tercetus Sejak 1970an

Zaitun Industries diasaskan oleh Dato Seri Hj Mohammad Eusuff The pada tahun 1978 dengan mengambil sempena nama anak perempuannya.

Syarikat ini sekaligus menjadi perintis bagi produk halal muslim dalam industri kelengkapan peribadi dan kosmetik.

Kemunculan mereka dalam pasaran Malaysia pada ketika itu dilihat sangat hebat sehingga dikatakan Colgate Malaysia juga terancam dengan kehadiran jenama baharu ini.

Produk mereka juga sangat laris di pasaran sehingga mampu menembus pasaran negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

Namun, syarikat Zaitun tidak terkecuali daripada cengkaman kegawatan ekonomi pada krisis kewangan 1998. Banyak syarikat yang disenarai dalam Bursa Saham turut gulung tikar pada tahun tersebut.

Jenama ini juga mengalami kerugian akibat beberapa faktor seperti masalah pengedaran produk, serta perubahan tadbir urus korporat.

Kini, jenama Zaitun kembali selepas lebih 20 tahun menyepi dalam pasaran tempatan. Dengan wajah serta formulasi yang diperbaharui, jenama ini bersedia untuk menawarkan produk penjagaan dan kecantikan berkualiti buat semua.

Zaitun Jenama Halal & Mesra Muslim Pertama di Malaysia

Jenama ini cukup sinonim dengan produk ubat gigi yang dijamin halal dan merupakan jenama mesra Muslim yang pertama di Malaysia.

Berpengalaman lebih 40 tahun, jenama ini menghasilkan aneka rangkaian produk kecantikan dan penjagaan diri berkualiti tinggi. Walaupun sudah lama kita tidak mendengar cerita mengenai ubat gigi Zaitun, namun kualiti serta keselamatannya masih dikekalkan.

Kini ia bukan sahaja menyasarkan pelanggan muslim, malah jenama Zaitun sesuai digunakan untuk semua pengguna.

Ditambah pula dengan formulasi baharu yang dipertingkatkan, ia bakal memberi pelbagai manfaat bagi penjagaan mulut.

Kali ini Zaitun kembali dengan menawarkan dua jenis ubat gigi iaitu Ubat Gigi Pemutih (Whitening) dan Ubat Gigi Pudina Tambahan (Extra Mint) dengan harga mampu milik. Pelbagai produk lain dijangka akan turut diperkenalkan pada masa akan datang.

Mari sama-sama kita menyokong kemunculan semula jenama tempatan yang pernah menjadi fenomena ini, Ubat gigi Zaitun boleh didapati di kedai koperasi dan kedai runcit berdekatan seperti The Store, Ikhwan Mart, Lesong Mart dan Malakat Grocer.

Pelanggan juga boleh dapatkannya secara online di kedai Shopee dan TikTok mereka. Jangan lupa untuk ikuti laman media sosial mereka di Facebook dan TikTok untuk ketahui perkembangan terkini jenama ini.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top