Pada setiap tahun, pasti ramai yang menantikan iklan raya yang menarik untuk ditonton. Ada yang sedih, ada yang kelakar dan ada juga yang terlebih kreatif!

Yang penting, semuanya memberi mesej yang positif tentang erti Syawal buat kita semua.

Jom kita semak beberapa iklan Raya 2024 yang menarik untuk ditonton!

iklan raya 2024

Iklan Raya 2024 Yang Wajib Ditonton

1. Grab – Aku Sebuah Beg Pesanan

Ringkas tetapi sangat bermakna! Siapa sangka beg pesanan Grab pun ada kisahnya tersendiri.

Pada Hari Raya Aidilfitri kali ini, Grab ingin mengajak orang ramai untuk melihat beg pesanan berwarna hijau ini dari sudut berbeza.

Tak hanya berperanan sebagai ruang simpanan, malah beg pesanan ini membawa rezeki kepada Rakan Grab yang sanggup meredah hujan, panas, siang dan malam untuk menyara keluarga.

2. PKNS – Conteng

Iklan Raya bertajuk Conteng ini merupakan antara yang paling popular pada tahun ini. Hanya selepas 2 hari dimuatnaik, iklan Raya dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ini sudah mendapat lebih 150,000 tontonan!

Diadaptasi dari kisah benar, Conteng mengisahkan tentang Azuan yang minat melukis. Namun, bapa Azuan merasakan bakat tersebut tidak menjamin masa depan yang cerah buat anaknya.

Azuan juga sering dimarahi kerana tidak mendapat keputusan cemerlang di sekolah seperti abang dan kakaknya. Disebabkan itu, Azuan nekad untuk meninggalkan rumah dan mulakan hidup sendiri.

Iklan Raya ini mendapat pujian ramai bukan sahaja kerana jalan ceritanya yang menyentuh hati, malah ia turut mengetengahkan isu golongan dyslexia.

Walaupun tidak minat belajar, namun golongan ini mempunyai bakat yang besar dalam bidang tertentu.

3. MR. DIY – Sama-Sama Melangkah

Pada Syawal tahun ini, MR. DIY mengangkat kisah pengorbanan ibu yang sanggup bersusah payah mencari rezeki dan membesarkan anak. Rahmat terpaksa menghantar ibu ke pusat jagaan kerana sibuk bekerja.

Namun, suatu peristiwa bersama anaknya telah menyentak jiwa Rahmat. Dapatkah si ibu berhari raya dengan anaknya?

 4. Taylor’s University – Suami Mithali

Wah, bukan setiap tahun kita dapat lihat institusi pendidikan hasilkan iklan Raya hebat. Lebih menarik lagi, iklan dari Taylor’s University ini membawakan kisah tentang realiti rumah tangga yang jarang diperkatakan.

Mungkin ada yang memandang serong cara hidup suami isteri yang ‘bertukar peranan’ ini. Suami tinggal di rumah, isteri pula pergi bekerja.

Namun, mereka pasti ada sebab tersendiri untuk pilih jalan hidup sebegitu.

5. SAJI – Minyak Maaf

Iklan Raya 2024 daripada Saji ini pasti bakal mencuit hati anda. Ia mengisahkan tentang Abdul yang suka bergurau sehingga membuat ramai orang kampung sakit hati.

Pada suatu hari, Abdul terkena ‘mulut masin’ dari Masya. Sejak itu, semua orang yang rasa marah dengan Abdul hilang di hadapan matanya!

Dapatkah Abdul bertemu kembali dengan orang-orang kampung yang sudah hilang?

6. Elrah Exclusive – Mak

Buat julung kalinya, Elrah Exclusive telah melancarkan filem pendek sempena 10 tahun dalam industri fesyen.

Dibintangi oleh barisan pelakon serta duta pakaian Elrah Exclusive pada Hari Raya tahun ini, filem pendek bertajuk “Mak” ini adalah berdasarkan kisah benar pengasasnya iaitu El Azman.

Walaupun si ibu tidak menunjukkan kasih sayangnya pada anak, namun dia tetap berbangga dengan segala pencapaian anak dan setia mengiringi langkah mereka dengan doa.

7. Cosmoderm – Aina Takut Balik Raya (Raya Korea)

Bagi yang sukakan iklan raya bergenre komedi, anda wajib tonton iklan dari Cosmoderm.

Kali ini, Aina mendapat misi untuk membantu mak cik-mak ciknya di kampung yang takut untuk beraya. Ini semua disebabkan oleh Mak Pop!

Dapatkah Aina sempurnakan Hari Raya mak ciknya dengan bantuan Cosmoderm?

8. Beras ERA – Pok Yie Bekwoh

Iklan Raya 2024 daripada Beras ERA adalah gambaran yang baik bagi peribahasa ‘Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk’.

Kisah bermula apabila Cik Man ingin gantikan tukang masak tersohor di kampung iaitu Pok Yie dengan anaknya Ilyas untuk memasak bubur lambuk sempena Ramadan.

Katanya, Ilyas adalah chef yang berkelulusan dari luar negara dan ada jutaan pengikut di media sosial.

Namun, chef muda itu masih tidak dapat tandingi keenakan bubur lambuk daripada air tangan Pok Yie.

Apakah rahsia Pok Yie untuk hasilkan bubur lambuk sedap? Jom tonton iklan Raya dari Beras ERA di bawah!

9. Etiqa – Niat

Apabila perbezaan diraikan, setiap detik pasti akan jadi lebih istimewa.

Iklan raya daripada Etiqa mengisahkan Syukri yang bersungguh-sungguh mengumpul duit untuk membeli barangan baru sempena Hari Raya.

Ibu bapanya juga sampai naik hairan melihat kelakuan anaknya yang terlebih rajin demi mendapat upah membuat kerja di rumah.

Jika iklan dari PKNS mengetengahkan isu dyslexia, Etiqa pada Hari Raya tahun ini membawa isu golongan autisme yang sukar untuk nikmati kemeriahan Aidilfitri seperti orang lain.

10. L’Occitane Malaysia – Siapa Betul

Iklan Raya dari L’Occitane Malaysia ini mengupas kemelut rasa yang selalu dihadapi antara ibu dan anak. Si ibu inginkan yang terbaik buat anaknya. Si anak pula mahu mengatur kehidupan sendiri.

Sempena Hari Raya yang mulia, ayuh kita reset dan eratkan hubungan bersama yang tersayang.

Semua iklan Raya 2024 yang disajikan cukup hebat dan kualitinya pula setanding dengan drama Melayu di TV! Walaupun kebanyakannya membawakan plot kekeluargaan yang menyentuh hati, namun ada juga yang menyerlah dengan elemen komedi.

Yang paling penting, kesemua iklan raya dan filem pendek ini dapat memberi mesej yang positif buat penonton mengenai kebersamaan bersama keluarga dan yang rakan terdekat pada Hari Raya Aidilfitri.

Jadi, iklan raya manakah yang menjadi kegemaran anda pada tahun ini? Ayuh kongsikan bersama kami!

Baca Juga : 10 Iklan Raya 2023 Paling Best Dengan Mesej Menarik. Seram, Kelakar, Sedih Semua Ada!

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top