Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh rangkaian global IQI, pendapatan pelaburan hartanah Malaysia oleh pembeli China kini menduduki tempat kedua paling popular di rantau Asia Tenggara.
Memetik laporan Free Malaysia Today, kedudukan ini meningkat satu anak tangga dari tempat ketiga pada tahun 2022 dan dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti lokasi yang strategi, sektor pendidikan antarabangsa, kestabilan ekonomi serta pertumbuhan pesat pasaran hartanah di Malaysia.
IQI iaitu rangkaian jaringan global yang terdiri daripada 40,000 ejen hartanah mendapati bahawa Malaysia konsisten dalam menarik pelaburan hartanah kediaman asing secara signifikan.
Pelabur asing terutamanya dari China melihat Malaysia sebagai negara yang menawarkan peluang tinggi serta menguntungkan untuk peningkatan modal dan hasil sewa.
Kashif Ansari, Pengasas bersama dan Ketua Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, mencatatkan bahawa Malaysia berjaya memintas Vietnam dari tempat kedua. Sementara itu, Thailand masih kekal sebagai destinasi yang paling tinggi kedudukannya di Asia Tenggara.
Tambahan pula, Thailand telah menjadi destinasi utama bagi pembeli dari China sejak sebelum tahun 2018.
“Malaysia kekal sebagai tiga negara teratas di Asia Tenggara yang menjadi pilihan pembeli dari China sejak 5 tahun lalu” ulas Kashif.
Beliau turut menyifatkan bahawa pembeli hartanah dari China di Malaysia masih mengutamakan tujuan pelaburan, walaupun terdapat penurunan bagi pembelian untuk kegunaan peribadi.
“Kira-kira 60% daripada keseluruhan pembelian hartanah di Malaysia dan negara Asia Tenggara lain adalah bagi tujuan pelaburan. Peratusan ini juga dilihat konsisten berbanding 5 tahun lalu”, jelas Kashif.
Selain membeli hartanah, ramai daripada mereka turut mendaftarkan anak-anak mereka di sekolah antarabangsa tempatan. Ini sekaligus telah mempengaruhi pilihan lokasi pembelian hartanah, yang rata-rata memilih kawasan penduduk ekspat yang popular.
Mengulas lanjut, Kashif yakin bahawa Malaysia dapat mengekalkan kedudukannya dalam pasaran hartanah Asia Tenggara secara kompetitif dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pada masa yang sama, pendapatan pelaburan hartanah oleh pembeli dari China turut menjadi bukti kepercayaan yang berterus dalam potensi Malaysia sebagai destinasi pelaburan hartanah yang berharga di rantau ini.
Sumber : Free Malaysia Today
Baca Juga : Ingin Galakkan Pelaburan Asing, Forest City Diangkat Sebagai Zon Khas Kewangan