Masuk sahaja 30 November setiap tahun, semua pengguna Spotify pasti teruja untuk kongsikan Spotify Wrapped mereka di media sosial.

Kempen ini mula dilancarkan pada 2013 dan menjadi highlight utama bagi aplikasi tersebut pada setiap penghujung tahun.

Sebelum tahun 2016, ia telah diperkenalkan dengan nama ‘Year In Review’ sebelum dijenamakan semula sebagai ‘Spotify Wrapped’ pada 2017.

Pada tahun ini, Spotify memberikan kejutan kepada para pengguna dengan melancarkan kempen Wrapped sehari lebih awal iaitu pada 29 November .

Menerusi visual dan data yang dihasilkan oleh Spotify sendiri saban tahun, pengguna tidak sabar untuk mengetahui senarai artis serta lagu yang paling banyak dimainkan di aplikasi tersebut.

Selain mendedahkan berapa minit yang pengguna telah habiskan untuk mendengar muzik, pengguna juga dapat serlahkan personaliti dan citarasa mereka berdasarkan kategori muzik kegemaran masing-masing.

Bagaimana Spotify Wrapped Beri Keuntungan Kepada Artis?

Sebagai platform penstriman muzik bertaraf global, Spotify dilaporkan telah membayar lebih US$1 juta kepada lebih 1,000 orang artis dari seluruh dunia.

Memetik Forbes, platform yang memiliki lebih 456 juta pengguna ini dikatakan telah membayar sebanyak US$30 billion royalti kepada artis, label rakaman, pengedar dan pelbagai pihak yang terlibat dalam pembikinan muzik setakat tahun 2021.

Di samping kempen Spotify Wrapped, aplikasi penstriman muzik nombor satu di dunia ini juga mewujudkan Artist Wrapped sejak 2017 bagi menghargai karya muzik para artis.

Menurut Spotify, kempen yang mendapat sambutan hangat setiap tahun ini boleh memberi sumbangan yang besar kepada karier pemuzik.

Menerusinya, para artis boleh memahami interaksi pendengar dengan lebih terperinci. Antara maklumat yang ditawarkan adalah jumlah pendengar, jumlah jam yang dihabiskan untuk mendengarkan lagu serta bilangan negara yang menikmati karya mereka.

“Artis kini boleh tahu jumlah pengguna yang pertama kali mendengar karya mereka pada 2023. Mereka boleh gunakan data ini untuk memahami citarasa pengguna dan merancang strategi untuk luaskan lagi audiens mereka,” jelas Rob Fink iaitu Penolong Pengarah bagi Spotify for Artists Brand Marketing.

spotify wrapped

Cara Spotify Hargai Top Fans

Jika sebelum ini peminat muzik yang sering berkongsikan Top 10 artis kegemaran mereka di Spotify Wrapped, jenama penstriman muzik dari Sweden ini juga mendorong artis untuk kenali peminat tegar (Top Fans) yang telah banyak meluangkan masa mendengarkan karya mereka.

Selain menghubungkan peminat, Spotify juga mahu bantu artis untuk jana keuntungan dan tawarkan sesuatu yang unik kepada peminat semasa kempen Wrapped.

Oleh sebab itulah buat julung kalinya pada tahun ini, Spotify telah mengajak artis daripada Kanada dan Amerika Syarikat untuk menghasilkan merchandise khas. Pengguna yang tersenarai sebagai top listeners akan berpeluang untuk mendapatkan merchandise istimewa ini pada harga diskaun.

Ketika ini, Spotify juga sedang menguji ciri baharu iaitu Wrapped Listening Parties yang membolehkan artis untuk mengajak peminat setia mereka ke audio room untuk mendengarkan muzik dan berinteraksi secara langsung.

Spotify Wrapped dan Artist Wrapped berjaya menyatukan pendengar dan artis dari seluruh pelusuk dunia sebagai bahagian penting daripada jenama ini.

Perkongsian data daripada kempen popular ini bukan sahaja mengujakan pengguna, malah ia juga telah memberi manfaat besar kepada semua artis termasuk yang baharu dan bertaraf legend dalam industri.

Ini seterusnya dapat mengukuhkan lagi kedudukan Spotify sebagai platform penstriman paling popular di dunia. Jika ingin tahu paparan peribadi bagi Spotify Wrapped anda, sila ke pautan  spotify.com/wrapped dan log masuk akaun anda.

Sumber : Spotify, Forbes

Baca Juga : Bagaimana Spotify Menjadi Platform Muzik Nombor Satu Dunia?

 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top