Sepanjang berada dalam pasaran selama lebih 90 tahun, Coca-Cola tidak pernah mengubah rasa mahupun formulanya. Ia telah digunakan untuk menghasilkan berjuta-juta tin Coca-Cola Classic yang ikonik sehingga ke hari ini.

Namun, pada suatu tahap, Coca-Cola bercadang untuk keluar dari zon selesa demi meneroka pasaran yang lebih luas sambil mengukuhkan kedudukan sebagai jenama minuman berkarbonat paling popular.

Pada 23 April 1985, jenama minuman berkarbonat popular ini memperkenalkan formulasi minuman baharu iaitu New Coke.

new coke

Dalam formula New Coke ini, rasanya dikatakan mirip dengan Diet Coke. Menawarkan rasa yang lebih manis dan dikatakan lebih sedap daripada Pepsi, produk baharu ini juga diperkenalkan untuk menarik kumpulan pelanggan remaja ketika itu.

Malangnya, apabila produk baharu ini diperkenalkan, ia mendapat reaksi yang negatif dalam kalangan pengguna. Ramai peminat Coke yang berang. Difahamkan, pejabat Coca-Cola telah menerima 40,000 panggilan telefon dan surat protes daripada penggemarnya.

Tanpa disangka-sangka, jenama minuman berkarbonat itu mendapat tamparan hebat daripada majoriti pengguna.

Rata-rata cukup kecewa terhadap jenama popular itu sehinggakan ada satu surat yang meminta tandatangan presiden merangkap CEO Coca-Cola pada ketika itu, Roberto C. Goizueta.

Surat tersebut menyatakan “tandangan eksekutif paling dungu dalam sejarah bisnes Amerika Syarikat ini akan menjadi bernilai pada masa akan datang”.

Bagaimana New Coke Terhasil?

Disebalik kecaman yang menimpa New Coke, ia sebenarnya bukanlah satu produk yang direka secara sembarangan.

Sebaliknya, ia telah melalui satu kajian yang dinamakan Projek Kansas. Kajian ini tidak dijalankan secara kecil-kecilan, malah ia telah menelan belanja sehingga US $4juta.

Dalam eksperimen itu, 200,000 orang responden telah diberikan 3 jenis minuman iaitu Coke asli, Pepsi dan New Coke.

Lebih separuh daripada kumpulan tersebut (55%) mengatakan bahawa rasa New Coke adalah lebih sedap berbanding yang lain.

Oleh itu, Coca-Cola yakin minuman baharu mereka akan berhasil.

Namun, tanggapan mereka silap apabila produk baharu itu mencetuskan pelbagai reaksi negatif. Akhirnya, penghasilan New Coke dihentikan selepas 79 hari di pasaran dan Coca-Cola Classic dikembalikan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Apa Yang Membuatkan New Coke Gagal?

Kalau diikutkan data, produk New Coke sepatutnya berjaya memenangi hati pelanggan. Namun, sebaliknya pula yang berlaku sehinggakan ia kekal menjadi salah satu kegagalan yang masih diingati sehingga ke hari ini.

Sebenarnya, apa yang membuatkan ia gagal adalah kesilapan sesebuah jenama itu sendiri yang terlalu fokus pada evolusi produk. Coca-Cola adalah antara jenama terbesar di dunia dan mempunyai nilai sentimental bagi ramai pelanggan.

Di Amerika Syarikat, jenama tersebut sudah menjadi sebahagian daripada budaya mereka selama beberapa generasi.

Dalam kajian yang dijalankan, mereka terlepas pandang akan impak kehadiran formulasi baharu terhadap produk sedia ada yang digemari pelanggan selama lebih 90 tahun ketika itu.

Perkara ini diakui sendiri oleh individu penting yang berjaya bangkitkan semula Coca-Cola selepas tragedi New Coke, Donald Keough. Beliau berkata “Kami tidak fahami emosi kuat yang pelanggan kami miliki pada jenama Coca-Cola”.

new coke

Demi mengejar pasaran baharu, Coca-Cola telah mengendahkan pelanggan setia yang menjadi asas kepada kekuatan jenama mereka. Sebaliknya, mereka membuat keputusan demi memenuhi sasaran pelanggan yang berbeza.

Jadi, kisah kegagalan Coca-Cola ini dapat menjadi bukti bahawa sesebuah jenama ini perlulah mengambil kira pelanggan tetap mereka terlebih dahulu sebelum meluaskan lagi sasaran pelanggan.

Baca Juga : Dari Thailand ke Austria dan Seluruh Dunia, Ini Kisah Jenama Red Bull Yang Ramai Tak Tahu

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top