Jenama kopi premium milik Bumiputera, Richiamo Coffee merancang untuk lebarkan empayar perniagaan ke beberapa negara pada tahun hadapan. Keputusan ini diambil sesuai dengan sambutan pembukaan cawangan antarabangsa pertamanya di Kemboja yang memberangsangkan.

Pengarah Urusan Kumpulan, Muhamad Zamry Abu Samah berkata perancangan tersebut melibatkan beberapa negara termasuk Singapura, Indonesia, Arab Saudi, India, Turkiye dan Algeria.

Kejayaan membawa jenama Richiamo Coffee ke Siem Reap Kemboja adalah tapak dan perintis awal kepada kami untuk berkembang di luar negara dan kita juga mengintai peluang di beberapa negara lain, setakat ini perbincangan berhubung pembukaan (di beberapa negara itu) sedang berjalan.

“Kita akan buka cawangan Richiamo Coffee di negara jiran seperti Singapura dan Indonesia terlebih dahulu pada awal tahun depan sebelum ke negara-negara lain.

richiamo coffee

Menurut perancangan, kami akan memasuki pasaran Indonesia melalui Batam,” ujar beliau selepas majlis pembukaan cawangan Richiamo Coffee yang terletak di Hotel G, Pulau Pinang.

Pihak Richiamo juga difahamkan akan membuka 10 lagi cawangan pada tahun ini dan menyasarkan sebanyak 222 cawangan Richiamo Coffee beroperasi di seluruh negara pada tahun hadapan.

Kata Muhamad Zamry, antara faktor kepada sambutan yang baik daripada pelanggan kerana kafenya berkonsepkan keluarga sambil menawarkan aneka menu barat dan tempatan termasuk asam pedas, daging salai, masak lemak cili padi dan patin masak tempoyak.

richiamo coffee

Di samping itu, harga yang ditawarkan bagi minuman di Richiamo juga adalah 40 hingga 45 peratus lebih murah berbanding kopi premium di kafe lain di seluruh negara.

“Kekuatan kami di Richiamo Coffee ialah kami menawarkan menu tempatan di semua kafe kami yang mana ia menjadi pilihan keluarga yang datang untuk menjamu selera kerana mempunyai pelbagai pilihan yang bukan hanya terhad pada menu makanan seperti kek dan pastri yang menjadi pilihan pelanggan,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Zamry turut berkongsikan perancangan mereka untuk perkenalkan sayap perniagaan baharu iaitu dalam bentuk rangkaian kedai serbaneka berkonsep moden dalam masa terdekat.

Menurutnya, sayap perniagaan baharu dikenali dengan nama Richiamo Mart itu sama konsep dengan rangkaian kedai serbaneka terkenal dari luar negara yang beroperasi di Malaysia ketika ini.

“Richiamo Mart yang pertama akan dibuka dalam masa terdekat ini di Kuala Lumpur dan seterusnya kami menyasarkan untuk membuka kedai serbaneka itu di kawasan kediaman baharu terutama yang berkonsepkan kondominium,” katanya.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top