Kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama keluaran Proton Holdings Bhd, X90 mencatat kemunculan pertama di tiga pasaran luar negara iaitu Brunei, Afrika Selatan dan Mauritius.

Usaha pasaran X90 yang juga merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) ini juga selari dengan komitmen syarikat Proton untuk meluaskan jangkauan di luar Malaysia. Pada masa yang sama, langkah ini juga akan merancakkan pertumbuhan jualan eksport di pasaran antarabangsa pada jangka masa panjang.

proton x90

Dalam sebuah kenyataan, pihak Proton berkata Mauritius telah dipilih sebagai pasaran eksport pertama bagi SUV keluarga premium dan serba moden itu dan telah diperkenalkan di Le Salon de L’ Automobile, SVICC, Pailles pada 4 Ogos lalu.

“Ini diikuti dengan Afrika Selatan pada Festival Permotoran Litar Grand Prix Kyalami pada 25-27 Ogos. Acara itu mendapat sokongan padu Kementerian Luar Malaysia dan dihadiri oleh Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Yap Wei Sin.

Di samping itu, pada masa yang sama, Proton Brunei turut memperkenalkan Proton X90 di majlis pelancaran besar-besaran yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah dan Pengerusi Pengimport dan Pengedar Proton, Pad dan Econ Motors, Tan Kah Boon.

Sementara itu, Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu menyifatkan 2023 sebagai tahun mencabar bagi perniagaan eksport disebabkan kebanyakan pasaran eksport berdepan cabaran ekonomi dan seterusnya mengakibatkan kawalan ketat dari segi pasaran modal.

“Walau bagaimanapun, kami tetap optimistik untuk meneroka peluang dalam pasaran bagi negara lain. Kerja-kerja awal sedang dijalankan bagi menembusi beberapa negara lain seperti Fiji, Ghana, Trinidad, Tobago dan Iraq.

Kami juga kekal fokus untuk mengembangkan lagi kehadiran dalam pasaran eksport semasa. Pelancaran Proton X90 dalam tiga pasaran eksport itu misalnya berlangsung hanya tiga bulan selepas pelancarannya di Malaysia pada 7 Mei lepas,” katanya.

Steven berkata perkembangan itu bakal membantu meningkatkan imej jenama Proton dan dilihat sebagai pelaburan bagi memanfaatkan keadaan pasaran lebih baik pada masa akan datang.

Sejak dilancarkan pada Mei lalu, Proton X90 berjaya dijual sebanyak lebih 2,000 unit. Pada bulan Julai, Proton X90 didapati telah mencatatkan hasil jualan dua kali ganda lebih banyak berbanding Proton Exora.

Sumber : Astro Awani

Baca Juga : Malaysia Bakal Hasilkan Motorsikal Jenama Tempatan Dengan Suzuki Motor Corp

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top