Pernah dilabel sebagai megaprojek paling tidak berguna di dunia, Forest City bakal diangkat menjadi Zon Khas Kewangan bagi menarik pelaburan asing. Sebelumnya, hartanah serba mewah yang terletak di Gelang Patah, Johor ini dikatakan tidak memberi keuntungan.
Dengan pengumuman sebagai Zon Khas Kewangan, naik taraf ini diharap dapat turut merancakkan pembangunan ekonomi bagi kawasan tersebut.
Perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan zon khas ini diwujudkan seiring dengan kedudukan strategik negeri tersebut dengan Singapura. Tambahan pula kawasan elit tersebut lengkap dengan infrastruktur.
Mengulas lanjut, beliau berkata lokasi tersebut dilihat sebagai modal untuk Johor dan Singapura agar saling melengkapi dalam pelbagai aspek terutamanya pembangunan ekonomi.
“Johor mempunyai tanah yang luas selain keupayaan dari segi tenaga kerja, oleh itu ia perlu dimanfaatkan bagi menjana peluang pekerjaan dan jana industri.
“Selepas meneliti perkara ini serta mendapatkan pandangan, saya bersetuju untuk mengumumkan status Forest City untuk diwujudkan Zon Khas Kewangan di kawasan itu,” katanya ketika berucap pada Jelajah Belanjawan 2024 Johor.
Justeru, Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan juga berkata kerajaan bakal menambah beberapa insentif menarik di Forest City berbanding insentif sedia ada.
Antara insentif tambahan yang bakal diperkenalkan adalah kadar pendapatan cukai khas 15 peratus kepada penggiat industri di Forest City, visa beberapa kali masuk (multiple entry visa) serta laluan pantas imigresen di antara zon khas tersebut dan Singapura.
“Saya tidak mahu ada alasan melengahkan (pelaksanaan Zon Khas Kewangan Forest City) kerana dasar ini sudah ditentukan dan diumumkan hari ini. Pastikan ia dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Imigresen juga sudah dimaklumkan mengenai permit khas atau ‘multiple entry visa’ ini. Zon Khas Kewangan Forest City ini juga selari dengan Ekonomi MADANI dalam mewujudkan sinergi yang ada di Johor.
“Saya yakin dan percaya jika insiatif zon khas ini dapat diberi penerangan meluas di Johor dan Singapura, ia dapat menarik ramai pelabur untuk guna kemudahan di kawasan tersebut. Apatah lagi tarikan istimewa di situ membabitkan perubatan, pendidikan dan pelancongan,” ulasnya lanjut lagi.
Selain memberi nafas baharu kepada Forest City, inisiatif ini diharap dapat merancakkan lagi penumbuhan ekonomi negara.
Projek Forest City bermula sejak 2015 dan sepanjang tempoh tujuh tahun, sebanyak 28,000 unit kediaman telah disiapkan dengan fokus utama pembangunan tertumpu pada pulau buatan pertama seluas 566.55 hektar.
Sehingga kini, kawasab tersebut memiliki dua hotel, dua padang golf bertaraf antarabangsa, kilang prefabrikasi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) terbesar di Malaysia yang diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR).
Kemudahan istimewa lain yang ditawarkan di kawasan tersebut adalah sekolah antarabangsa Shattuck St Mary Forest City dengan kurikulum Amerika Syarikat serta taman air yang menjadi pilihan rakyat tempatan.
Sumber : Berita Harian