Bagi yang tak suka memakai kasut namun masih ingin tampil sopan, mereka pasti gemar menggayakan selipar. Hanya perlu sarung dan kalis air, Crocs terkenal sebagai selipar berbentuk kasut dengan beberapa lubang kecil.

Sesetengah penggemar Crocs juga suka menghias selipar mereka dengan Jibbitz iaitu aksesori comel dengan pelbagai rekaan yang boleh dimuatkan dalam lubang-lubang selipar Crocs.

Inovasi yang ringkas tetapi genius ini turut membuatkan rekaan Crocs sering ditiru oleh pengeluar kasut lain.

jenama crocs

Meskipun begitu, kasut asli jenama Crocs yang berkualiti tinggi terus mendapat tempat di hati pengguna tanpa mengira usia. Jenama yang sudah berada di pasaran selama 20 tahun ini juga mampu beroperasi di 340 buah kedai di 90 buah negara.

Selain terkenal dengan rekaan seliparnya yang ikonik, Crocs juga telah mengembangkan jenama melalui jualan aksesori lain seperti topi, baju dan sneakers.

Di sebalik kegemilangan Crocs, anda pasti tidak sangka yang jenama ini hampir lingkup pada tahun 2008.

Kalau nak tahu macam mana jenama ini boleh bangkit semula menjadi jenama selipar terkenal, ayuh kita semak sejarah menarik Crocs.

Jenama Crocs Diinspirasikan Dari Krew Kapal Pelayaran

Crocs dicipta pada tahun 2002 oleh tiga rakan niaga iaitu George B. Boedecker, Lyndon V. Hanson III dan Scot Seamans. Yang menariknya mengenai para pengasas Crocs ini, mereka bertiga mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan namun dalam sektor berbeza. Meskipun begitu, mereka yakin mampu hasilkan sebuah produk yang mampu memberi impak besar kepada dunia.

Idea untuk menghasilkan selipar Crocs timbul apabila mereka melihat selipar yang dipakai oleh anak kapal pelayaran menuju ke Pulau Caribbean. Setelah diselidik, rupa-rupanya para anak kapal memakai selipar berjenama Foam Creations buatan syarikat dari Kanada.

Apa yang menarik perhatian mereka bertiga adalah rekaan selipar yang cukup ringkas dan praktikal berbanding selipar lain. Bukan sahaja bersaiz kecil, malah selipar itu juga ringan, mempunyai pengudaraan yang baik dan tidak menyebabkan kaki berbau.

Selipar kalis air tersebut juga didapati tidak mudah tertanggal, tahan lasak dan tidak mudah tergelincir bila dipakai.

Mereka menganggap ciri-ciri inilah yang membuatkan anak kapal cukup selesa menggunakan selipar tersebut di atas kapal. Daripada situ, timbullah idea untuk menjual selipar seumpamanya di bawah jenama Crocs.

Tiga pengasas ini cukup teruja kerana Crocs mendapat sambutan yang cukup hangat. Mereka berjaya menjual 76,000 pasang selipar dengan keuntungan US$1.2 juta berbanding syarikat asal.

Tidak menoleh belakang lagi, Crocs nekad untuk mengambil alih sepenuhnya syarikat Foam Creation. Dengan pemilikan tersebut, selipar dengan rekaan ikonik ini telah menjadi hak milik mutlak Crocs.

Pada tahun 2005, hasil jualan Crocs berlipat ganda sehingga mencapai nilai US$108 juta. Bagi mengembangkan lagi syarikat, jenama tersebut juga telah memasuki pasaran saham Amerika Syarikat.

Crocs terus mendapat permintaan tinggi saban tahun sehingga mampu mencapai keuntungan melebihi US$1 bilion pada tahun 2007. Ramai pemilik bisnes kagum dengan pencapaian Crocs kerana agak mustahil bagi syarikat yang baru diapungkan dalam pasaran saham untuk menjana keuntungan sebesar itu.

Crocs Diduga Krisis Ekonomi

Namun, zaman kegemilangan Crocs tidak kekal lama. Prestasi cemerlang mereka selama 5 tahun akhirnya menemui kemusnahan akibat krisis ekonomi yang melanda pada tahun 2008.

Situasi tersebut menyebabkan harga saham Crocs semakin jatuh. Bukan itu sahaja, malah banyak cawangan kedai selipar Crocs terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kerugian.

Namun, Crocs masih cuba bertahan selama 5 tahun dengan prestasi kewangan yang semakin memburuk dan hampir muflis.

Ketika Crocs hampir terkubur, jenama tersebut diberikan peluang kedua apabila sebuah syarikat pelaburan iaitu Blackstone telah melabur sebanyak US$200 juta.

Dengan dana tersebut, Crocs bangkit kembali dan hasilkan lebih banyak selipar dengan rekaan yang lebih menarik bagi menarik semula minat pelanggan. Selipar Crocs juga semakin popular apabila mula dipakai oleh beberapa selebriti popular antaranya Ben Afleck, Jennifer Garner, Faith Hill dan Priyanka Chopra.

Ini sekaligus menaikkan lagi nama Crocs sehingga ramai yang memilih jenama tersebut untuk menggantikan kasut yang dipakai setiap hari.

Crocs turut berkolaborasi bersama beberapa jenama lain seperti Balenciaga, KFC, Minecraft, Barbie dan Pokemon untuk menghasilkan rekaan selipar dan kasut luarbiasa.

Walaupun ada yang menganggap selipar Crocs buruk, namun dominasi mereka dalam pasaran menjadi bukti yang jenama ini kekal relevan meskipun telah berusia 2 dekad. Selain pelayar, kini jenama Crocs juga menjadi pilihan pekerja profesional seperti chef, jururawat kerana rekaannya yang fleksibel dan selesa dipakai selama berjam-jam.

Disebabkan penggunaan Crocs cukup popular dalam kalangan jururawat dan doktor, Crocs juga hasilkan rekaan kasut khas untuk ahli perubatan.

jenama crocs

Sehingga ke hari ini, Crocs kekal unggul sebagai satu-satunya jenama unik yang menggabungkan fungsi kasut dan selipar. Jenama ini juga berjaya bangkit dan memenangi semula hati pelanggan walaupun hampir muflis.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top