Pada zaman teknologi ini, orang ramai didapati lebih selesa untuk berurusan secara atas talian terutamanya bagi hal berkaitan pembayaran. Ia juga dilihat sebagai kaedah yang lebih pantas untuk dilakukan berbanding pembayaran secara fizikal.

Sesuai dengan trend peredaran semasa, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kini berkongsi progres aplikasi MyJPJ untuk kegunaan rakyat Malaysia pada masa akang datang. Antara ciri utama yang bakal diperkenalkan adalah pembayaran secara atas talian bagi pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan (lesen kenderaan).

Setakat dalam fasa ujian ketika ini, pelbagai perkara sedang diambil perhatian bagi memastikan aplikasi tersebut dapat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan apabila ditawarkan kepada orang ramai.

Fasa ujian ini dijangka akan mengambil masa beberapa minggu lagi. Kerajaan pula dijangka akan memperkenalkan ciri ini kepada semua pengguna jalan raya dalam masa beberapa bulan akan datang.

Aplikasi MyJPJ

Sumber : MalaysiaKini

“Kini kita sedang melakukan beberapa ujian membabitkan sistem itu supaya ia tidak akan menimbulkan kesulitan kepada orang ramai serta menampung kapasiti pengunjung apabila dilancarkan. Kita akan laksanakan sistem ini mungkin dalam beberapa bulan lagi kerana objektif kita dalam konsep pendigitalan JPJ adalah bagi mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter JPJ,” ulas Anthony Loke mengenai pembaharuan ini.

Pengenalan ciri baharu ini dijangka akan memudahkan lagi proses pembaharuan lesen. Ia juga selaras dengan pengenalan lesen digital menerusi aplikasi MyJPJ sebagai alternatif untuk versi fizikal.

Namun begitu, kerajaan juga menekankan bahawa versi fizikal masih ditawarkan kepada orang awam dan tidak dihentikan lagi buat masa ini. Tambahan pula, didapati masih ramai yang belum dapat menyesuaikan diri menggunakan aplikasi MyJPJ.

Menerusi laporan media sebelum ini, setakat ini hanya 30 peratus pemilik kenderaan yang memilih menggunakan cukai jalan digital menerusi aplikasi yang dibangunkan oleh JPJ.

Aplikasi MyJPJ

Sumber :NST

Oleh sebab itu, Anthony Loke berkata pihaknya masih memberi pilihan kepada orang ramai untuk memperbaharui lesen serta cukai jalan menerusi atas talian mahupun fizikal.

Loke sebelum ini telah mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tempatan tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan pada kenderaan masing-masing bermula 10 Februari lepas. Sebaliknya, mereka boleh menggunakan mod paparan digital.

Katanya, langkah pendigitalan JPJ itu mampu mengurangkan kesesakan di pejabat dan kaunter JPJ sehingga 80 peratus, dengan setiap bulan secara purata 1.5 juta kenderaan perlu memperbaharui lesen kenderaan motor. Ini sekaligus bakal membawa penjimatan sebanyak RM 96 juta setahun dari segi kos pelekat dan kad.

Sumber : Bernama, Astro Awani

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top