Sejak Twitter mengehadkan tweet yang boleh dibaca sehari dan menetapkan langganan berbayar untuk akses penuh, ramai pengguna platform tersebut meluahkan rasa tidak puas hati.
Perkara ini juga sekaligus mendorong ramai pengguna media sosial untuk menggunakan platform baharu iaitu Threads.
Aplikasi media sosial di bawah Meta ini dilihat mendapat sambutan yang cukup hangat. Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg berkata aplikasi Threads telah pun melepasi 2 juta pendaftaran dalam masa tempoh sejam pertama selepas dilancarkan. Perkata ini telah dikongsikan sendiri di akaun peribadi Thread milik beliau.
Meskipun sudah dilancarkan secara rasmi hampir seminggu lalu, namun aplikasi ini dilihat kekal mengungguli carta media sosial di Apple Store di tempat pertama dan berjaya mencecah 100 juta pendaftaran hanya dalam masa 5 hari.
Angka yang dicapai oleh Threads ini juga didapati jauh lebih pantas berbanding ChatGPT OpenAI yang mengumpul pendaftaran pengguna sebanyak 100 juta dalam masa dua bulan setelah dilancarkan.
Antara faktor yang menyebabkan aplikasi ini mendapat sambutan jutaan pengguna adalah kerana ia terikat dengan satu lagi media sosial popular daripada Meta iaitu Instagram. Pengguna hanya perlu mendaftar menggunakan akaun Instagram dan mampu mengekalkan beberapa followers yang turut menggunakan aplikasi Threads.
Threads Trending Dalam Kalangan Pengguna, Angka Penggunaan Twitter Turun Mendadak
Selari dengan pelancaran aplikasi yang merupakan sebahagian daripada platform Instagram itu, Cloudfare turut mendedahkan trafik ke Twitter berkurangan dari hari ke hari.
Twitter traffic tanking. https://t.co/KSIXqNsu40 pic.twitter.com/mLlbuXVR6r
— Matthew Prince 🌥 (@eastdakota) July 9, 2023
Pakar analisa web, Similarweb turut berkongsikan trafik ke Twitter yang berkurang sebanyak 5 peratus pada dua hari pertama Threads diperkenalkan.
Jika dibandingkan dengan tahun lepas pada tarikh yang sama, web trafik ke Twitter jatuh ke 11 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Instagram, Adam Mosseri berkata terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan aplikasi baharu ini. Ia juga masih belum dilancarkan di Eropah disebabkan oleh beberapa faktor.
Sekiranya Threads mampu mengekalkan userbase mereka dan mampu menawarkan features yang menarik buat para pengguna, ia mungkin dapat mengekalkan kedudukan sebagai pesaing Twitter.
Mampukah aplikasi baharu ini menggantikan Twitter? Sama-sama kita nantikan perkembangannya dalam masa terdekat ini.
Sumber : CNBC