Setelah 8 tahun dalam pasaran, kini jenama Bulan Bintang tidak perlu diperkenalkan lagi. Bukan sahaja kerana marketingnya yang menarik, malah jenama ini juga menjadi pilihan utama pembeli setiap kali tibanya musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.
Jenama ini juga semakin terkenal di seluruh Malaysia apabila mencatatkan sejarah dalam Malaysia Book of Records menerusi persembahan dron terbanyak dalam negara.
Pertunjukan dron tersebut menelan belanja sekitar RM 2 juta dan merangkumi kira-kira 80% daripada jumlah keseluruhan acara fesyen Bulan Bintang Takes the Sky yang berlangsung Februari lalu.
Penangan Bulan Bintang ini sangatlah hebat sehingga menjadi tular di semua platform media sosial. Melihatkan pencapaian jenama popular ini, mungkin anda tertanya-tanya siapakah pengasas Bulan Bintang?
Pasti anda terkejut kerana pengasas jenama Bulan Bintang ini adalah seorang usahawan muda yang berusia 26 tahun iaitu Azzim Zahid Azmi.
Dengan kesungguhan yang menebal, anak bongsu daripada lima adik-beradik ini mampu membangunkan sebuah jenama besar pada usia muda. Satu pencapaian yang perlu dikagumi!
Jom kita selami kisah pemilik Bulan Bintang serta pengalaman menarik beliau sepanjang membangunkan jenama ini.
Pemilik Bulan Bintang Mula Berbisnes Dengan Jual T-Shirt di Sekolah
Dikenali di media sosial sebagai Meri, beliau rupanya sudah menunjukkan minat dalam bidang perniagaan sejak zaman sekolah lagi.
Ketika bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak (SBPI), beliau telah menunjukkan minat untuk menjadi usahawan dengan menjual t-shirt kepada rakan-rakan sekolah. Bisnes tersebut diteruskan ketika berusia 17 tahun sehinggalah beliau menyambung pengajian di Pusat Asasi Sains di Universiti Malaya (PASUM).
Jenama Bulan Bintang terlahir pada tahun 2016 ketika Meri menjual kurta tanpa sebarang logo. Meri yang berusia 19 tahun pada ketika itu hanya mengeluarkan 300 helai kurta. Namun, atas sambutan hangat, beliau menambah stok jualan sehingga 2,000 pasang kurta.
Meri juga masih ingat kenangan pertama menjual jenamanya di tapak yang terletak di Uptown Danau Kota, Setapak pada tahun 2019. Ketika itu, Meri sedang melanjutkan pelajaran tahun terakhir dalam bidang Media dan Komunikasi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Atas rasa minat berniaga, Meri dan rakan-rakan tidak kisah menaiki motorsikal untuk mengangkut segala barangan untuk berniaga termasuklah seterika baju. Pada tahun yang sama, mereka juga pernah menyewa tapak berniaga di Mood Republik di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).
Pengalaman berniaga di tapak booth sememangnya kaedah yang berkesan untuk membuatkan lebih ramai mengenali jenama Bulan Bintang. Tambahan pula, taktik Meri untuk memperkenalkan baju Melayu tailored-fit sememangnya sesuai dengan citarasa ramai.
Jenamanya didapati lebih menyerlah berbanding jenama lain yang menawarkan baju melayu slim fit yang melekap pada badan. Baju melayu Bulan Bintang yang sedikit longgar tanpa logo terpampang pada baju dan terletak cantik pada badan laris bak goreng pisang panas sehinggakan sebelum Ramadan berakhir, stoknya itu habis terjual.
Namun, perniagaan Meri terpaksa diteruskan secara atas talian akibat virus pandemik yang melanda negara. Sedang banyak bisnes bergelut untuk bertahan, jenama Bulan Bintang mula mendapat perhatian ramai di media sosial sehingga berjaya menarik minat bekas Menteri Kewangan iaitu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk membeli.
Bayangkanlah, daripada 3,000 helai yang disediakan pada tahun 2019, Meri telah tingkatkannya kepada 10,000 stok pada tahun 2020. Konsep ‘Next Day Delivery’ yang diwujudkan oleh Bulan Bintang di Lembah Klang turut menjadi faktor penyumbang yang menbantu meletakkan jenama ini di hadapan jenama-jenama lain.
Atas sambutan yang hangat, Bulan Bintang turut memperkenalkan semula koleksi kurta asalnya dengan rekaan serta kualiti yang lebih baik.
Apabila jenama ini semakin kukuh, Meri memberanikan diri untuk membuka butik jenama Bulan Bintang di Bangi, Selangor pada April 2021. Selepas 2 tahun, Bulan Bintang kini miliki 10 butik di beberapa negeri seperti Melaka, Kelantan, Johor dan Kedah.
Pengasas Bulan Bintang Guna ‘Kabel’?
Kejayaan yang dimiliki oleh seseorang usahawan pasti datang dengan pelbagai dugaan. Bagi yang belum tahu, pemilik Bulan Bintang ini merupakan adik kepada Azri Zahier Azmi iaitu pengasas Hausboom, jenama minuman tempatan popular. Bapa mereka pula adalah seorang individu yang terlibat dalam bidang politik.
Disebabkan itu, ada juga khabar angin yang mengatakan kejayaan jenama Bulan Bintang ini adalah disebabkan oleh ‘kabel’.
Walaupun berasal dari keluarga yang berada, namun Meri tidak menjadikannya sebagai jalan pintas untuk berjaya dalam bidang perniagaan. Sebaliknya, beliau memilih untuk bermula dari bawah dengan usaha sendiri.
Tambahan pula, pemuda ini memang sudah menunjukkan minat dalam dunia bisnes sejak belasan tahun lagi.
Jenama Bulan Bintang kini mempunyai gudang sendiri dan memberi peluang kepada orang ramai yang turut berminat untuk sama-sama berniaga dengan menjadi agen, penjual dropship serta stokis bagi jenama ini.
Kejayaan Meri dalam membangunkan jenama Bulan Bintang sememangnya patut dipuji. Sebagai usahawan muda, Meri dapati ramai remaja yang tidak berani untuk memulakan bisnes apabila melihatkan ramai usahawan senior yang sudah jauh ke hadapan.
Baginya, remaja masa kini harus lebih berani dan lihat pada keupayaan masing-masing. Lebih penting lagi, setiap usahawan perlu bersedia untuk bermula dari bawah demi membina sebuah bisnes yang berjaya.
Sumber : The Rakyat Post, Remaja