Bila sebut sahaja tentang personal shopper, pasti ramai yang menganggap ia merupakan bisnes kecil-kecilan dan dilakukan hanya untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

Sekiranya anda sering gunakan perkhidmatan personal shopper, anda juga pasti perasan yang mereka biasa beroperasi secara bersendirian atau berpasangan dengan skala pelanggan yang kecil dan tertutup.

Mereka juga biasanya hanya boleh didapati di media sosial seperti Twitter dan Telegram.

Namun, percayakah anda jika ada bisnes personal shopper yang berjaya meraih jualan hingga jutaan ringgit setahun? Pasti anda juga tidak terfikir yang bidang personal shopper ini mempunyai potensi besar untuk dikembangkan menjadi sebuah bisnes dengan ribuan pelanggan.

Jadi, jom kita ikuti perkongsian daripada Tuan Muhamad Adi Guntor, seorang pemilik syarikat dan pembimbing usahawan berpengalaman yang cukup kagum dengan perkembangan jenama Amory.

Menurut beliau, mereka meletakkan diri sebagai personal shopper. Namun, beliau melihat mereka sebagai gedung membeli-belah handbag berjenama yang hebat!

Pengasas Amory Mula Bisnes Sejak di Bangku Kuliah

Walaupun Amory terkenal sebagai penjual beg tangan serta aksesori mewah dari Amerika Syarikat, namun mereka terlebih dahulu telah berkhidmat sebagai personal shopper di Gunma, Jepun ketika Puan Amalina dan Encik Hisyam melanjutkan pengajian di negara tersebut. Puan Amalina berkelulusan dalam bidang Kejuruteraan Kimia. Encik Hisyam pula memegang ijazah dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Memulakan bisnes pada tahun 2014 dengan nama FCJshoppe, mereka telah membantu ramai pelanggan mendapatkan beg tangan berjenama daripada butik dan outlet terkemuka dari negara tersebut.

Setelah habis belajar, mereka juga sempat bekerja dalam bidang kejuruteraan. Namun, rasa minat terhadap bisnes yang cukup mendalam telah membuatkan pasangan suami isteri ini nekad untuk meninggalkan pekerjaan tersebut demi mengejar impian yang lebih besar.

Maka, terlahirlah Amory, sebuah jenama kini mendapat kepercayaan ribuan penggemar handbag serta aksesori berjenama dari Amerika Syarikat dan Eropah.

amory

Kredit : Facebook Muhamad Adi Guntor II

Sales Funnel Yang Jelas Dorong Amory Kumpul Puluhan Ribu Orang Pelanggan

Salah satu perkara yang Tuan Adi Guntor sangat kagumi pada kedua pasangan suami isteri usahawan ini adalah kemampuan mereka untuk membina satu sales funnel yang sangat jelas. Menurutnya, bukan mudah untuk mengumpul puluhan ribu pelanggan yang sedia membeli dalam satu ‘kolam’.

Mengimbau kembali kenangan berbisnes, beliau sendiri akui pernah gagal untuk membina ‘kolam’ ini. Dengan kolam yang kukuh, Amory mampu membangunkan customer base yang setia menyokong jenama mereka sehingga ke hari ini.

E-Commerce Web Yang Berkualiti

Ketika ramai personal shopper menggunakan laman media sosial untuk mencapai pelanggan, Amory pula tidak teragak-agak untuk menggunakan e-commerce website untuk mengendalikan bisnes mereka.

Menurut Tuan Adi Guntor, ini adalah satu aspek yang tak ramai usahawan titikberatkan. Beliau juga memuji paparan website Amory yang sangat cantik. Tak nampak macam laman personal shopper, malah ia mempunyai paparan seakan gedung membeli-belah!

Lebih penting lagi, ia juga dilengkapi dengan kaedah pembayaran yang tersusun. Bagi memudahkan pelanggan mendapatkan aksesori berjenama kegemaran mereka tanpa rasa terbeban, Amory turut menawarkan pilihan Buy Now Pay Later.

Dari sudut pengendalian pula, website ini didapati mempunyai back end yang efisien dan mudah untuk diuruskan oleh pemilik bisnes. Bila sesebuah jenama ada website sendiri, maka lebih mudahlah mereka untuk uruskan pesanan dan tingkatkan kepercayaan pelanggan terhadap jenama.

Khidmat Pelanggan Yang Baik

Salah satu faktor yang membuatkan pelanggan kembali membeli-belah adalah disebabkan oleh khidmat pelanggan mereka yang cukup mantap. Bagi mengekalkan kesetiaan pelanggan, Amory memastikan setiap pelanggan memperolehi pengalaman yang menakjubkan.

Para pelanggan juga cukup memuji layanan baik yang diberikan oleh jenama ini.

Disebabkan oleh kualiti-kualiti ini, Tuan Adi Guntor melihat Amory bukanlah sebagai personal shopper, malah sebuah bisnes yang cukup berjaya. Dengan jualan sehingga 7 angka setahun, mereka juga dikatakan telah memegang lebih kurang 2 peratus daripada pasaran Malaysia.

Dalam tempoh setahun ini, mereka telah meletak sasaran untuk tingkatkan sehingga 5 peratus pasaran dalam negara. Dengan usaha yang konsisten serta strategi bisnes yang mantap, tidak mustahil Amory dapat mencapainya.

Sebagai pembimbing usahawan, Tuan Adi Guntor juga percaya jenama ini mampu merealisasikan matlamat mereka dalam menjadi peneraju industri personal shopper di Malaysia. Tambahan pula, industri ini masih belum diterokai secara meluas lagi dalam negara.

Sumber : Facebook Muhamad Adi Guntor II, Amory.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top