Dalam dunia bisnes, usahawan tidak pernah terlepas daripada diduga dengan pelbagai cabaran seperti masalah kekurangan stok atau kenaikan harga barang akibat keadaan ekonomi yang tidak menentu.
Namun, bisnes yang mempunyai hala tuju yang jelas serta strategi yang kukuh tidak akan mudah goyah dengan cabaran yang dihadapi. Antara jenama tempatan yang tidak terlepas daripada menjadi isu perbualan hangat warganet adalah Mokti’s Ice Cream.
Baru-baru ini, telah tular di kalangan netizen mengenai khabar berita yang kononnya jenama aiskrim gula apong tersebut bakal menghentikan operasi. Ini disebabkan oleh satu hantaran gambar di Facebook yang mengandungi paparan notis penutupan sementara daripada salah satu cawangan Mokti’s Ice Cream.
Selain itu, turut dipaparkan bersama senarai perkakas serta barangan yang ingin dijual dari kedai tersebut seperti mesin pembuat aiskrim, peti sejuk, meja, kerusi dan sebagainya.
Khabar angin ini nampaknya cukup mengejutkan warganet sehingga mendapat hampirribuan perkongsian di laman Facebook.
Mokti’s Ice Cream Tampil Beri Penjelasan
Bagi membidas perkara tersebut, pengasas Mokti iaitu Siti Fatimah Adnan telah berkongsikan kenyataan rasmi daripada jenama miliknya menerusi platform media sosial yang sama.
Dalam kenyataan tersebut, Mokti’s Ice Cream menjelaskan bahawa khabar angin yang menyatakan bahawa francais mereka akan ditutup serta merta adalah tidak benar.
Sebaliknya, beberapa cawangan Mokti’s hanya akan ditutup buat sementara waktu atas tujuan perpindahan lokasi serta bagi meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.
Di samping itu, Mokti’s turut mengajak para pelanggan supaya mengikuti perkembangan mereka di laman media sosial rasmi Mokti’s HQ Malaysia untuk ketahui lokasi terbaharu mereka pada masa akan datang.
Meskipun kini banyak bisnes yang berhadapan dengan pelbagai cabaran, namun Mokti’s Ice Cream tetap komited dalam menawarkan pemanis mulut premium dengan harga berpatutan buat semua.
Walaupun baru berusia empat tahun, namun bisnes yang dibangunkan oleh surirumah ini kekal utuh dengan pengoperasi dari lebih 80 cawangannya di serata Malaysia.
Sama-sama kita nantikan perkembangan mengenai lokasi baharu jenama aiskrim gula apong ini pada masa akan datang.
Sumber : Facebook Siti Fatimah Adnan