Gloria Jean's Coffees

Kopi bukan sahaja satu minuman yang popular, malah ia juga menjadi satu keperluan harian bagi penggemar minuman berkafein. Daripada biji kopi yang diolah dengan pelbagai cara, kopi juga hadir dengan bermacam-macam rasa dan aroma yang unik.

Gloria Jean's Coffees di Malaysia

Salah satu kopi yang menjadi tarikan oleh rakyat Malaysia ialah Gloria Jean’s Coffees, sebuah jenama kopi gourmet terkemuka yang memiliki lebih 810 cawangan di 43 buah negara.

Jenama kopi yang popular di peringkat global ini juga sedia menawarkan lebih daripada juta cawan kopi sehari buat pencinta kopi di serata dunia.

Gloria Jean’s Coffees telah memasuki pasaran Malaysia menerusi perolehan hak Rakan Francais Induk oleh Wonderful Lifestyle Sdn Bhd, anak syarikat MyFranchise yang merupakan entiti di bawah payung Perbadanan Nasional Berhad (Pernas).

Yang terbaharu, Pernas telah mengumumkan rancangan untuk membuka sehingga 80 cawangan lagi bagi jenama kopi premium mereka dalam tempoh lima tahun yang mendatang.

Menurut pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin, langkah progresif Pernas ini adalah untuk memenuhi permintaan dan keperluan penggemar setia kopi mereka yang semakin meningkat saban tahun.

Dengan memperluas jenama mereka melalui pembukaan cawangan-cawangan baharu, Gloria Jean’s Coffees tidak hanya memberikan lebih banyak pilihan lokasi untuk menikmati secawan kopi terbaik, malah inisiatif ini juga dilihat mampu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri perkhidmatan makanan dan minuman (F&B).

Dalam sebuah majlis pembukaan salah satu cawangan kopi itu di Conezion IOI Resort City Putrajaya, Datuk Hazimah menyeru bakal usahawan yang ingin terlibat dalam industri kopi premium itu supaya merebut peluang untuk menyertai perusahaan outlet Gloria Jean’s Coffees.

Jenama ini menawarkan sistem francais eksklusif di Malaysia, menjadi satu-satunya jenama kopi gourmet antarabangsa yang memberikan kesempatan untuk usahawan yang berminat menjadi francaisi. Dengan bergabung sebagai francaisi, mereka dapat menjalankan bisnes ini dan sekaligus menjadi usahawan kopi yang berjaya.

Datuk Hazimah menerangkan bahawa Pernas memberikan khidmat nasihat, pembiayaan, dan program latihan kepada bakal usahawan yang berminat untuk memulai bisnes kopi premium tersebut. Tambahan pula, mereka juga menyediakan skim pinjaman pembiayaan hingga 70% kepada bakal usahawan baru.

Pernas melancarkan Gloria Jean's Coffees

Setakat ini, Pernas telah memberikan persetujuan untuk memperuntukkan sejumlah RM13 juta kepada 45 usahawan kopi di bawah jenama Gloria Jean’s Coffees.

Gloria Jean’s Coffees menawarkan tiga konsep francais menarik kepada individu yang berminat untuk terlibat dalam bisnis ini, termasuk konsep lot kedai, kios, dan coffee cart.

Sama-sama kita nantikan perkembangan serta pembaharuan yang bakal ditawarkan oleh jenama popular ini kepada penggemar kopi di Malaysia pada masa akan datang.

Baca juga: Tak Lagi Jual Alkohol, FamiCafé Jadi Kafe Kedai Serbaneka Pertama di Malaysia Diiktiraf Halal

 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top