Buat para belia yang baru memasuki alam pekerjaan, penginapan atau tempat tinggal boleh menjadi satu isu. Ditambah pula dengan harga sewa yang tinggi di kawasan bandar, ada kalanya ia boleh membebankan mereka.

Bagi mengatasi masalah ini, Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Pusat Belia Antarabangsa (IYC) telah memperkenalkan inisiatif Youth Capsule (Y-Capsule) @IYCResidence. Kemudahan ini dilancarkan bagi memberi manfaat kemudahan inapan kepada golongan belia yang mencari peluang pekerjaan di ibu negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kemudahan ini akan mula beroperasi pada 15 September 2023 sambil menyasarkan golongan belia berusia antara 18 hingga 40 tahun. Lebih menarik lagi, penginapan ini ditawarkan dengan harga yang sangat murah iaitu RM 10 sehari.

“Program ini menyasarkan belia yang berhasrat untuk menjalani latihan industri, pencari kerja dan golongan yang telah bekerja tetapi tidak mempunyai tempat untuk menginap.

“Saya harap ia akan menggalakkan lebih ramai belia memperoleh motivasi untuk mendapatkan pekerjaan khususnya yang datang daripada luar bandar dengan kadar yang murah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program berkenaan di sini hari ini.

Fasiliti Youth Capsule yang terletak di bangunan sedia ada Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Cheras ini menyediakan lima bilik dormitori dengan kapasiti 54 buah katil. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan beberapa kemudahan seperti peralatan memasak, dobi layan diri, internet serta perhentian bas berdekatan untuk kegunaan para penginap.

Youth Capsule

Hannah berkata, inisiatif yang dilaksanakan di bawah Kementerian Belia dan Sukan menerusi Pengurusan IYC ini diusahakan berdasarkan statistik yang mana 38 peratus daripada golongan gelandangan di ibu negara didapati merupakan golongan belia berusia 18 hingga 30 tahun.

“Sukar untuk kita dapatkan dana untuk kita bina fasiliti baharu, sebab itu kita lihat fasiliti yang sedia ada dan buat seperti program ini.

“Saya gesa agensi kerajaan untuk buka ruang sama seperti ini kepada golongan belia,” katanya.

Hannah Yeoh yang juga merupakan ahli Majlis Pekerjaan Negara berkata berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, setakat suku kedua tahun ini, daripada 16.15 juta pekerja dalam negara, 6.08 juta daripadanya adalah daripada golongan belia.

Jadi, adalah penting buat kerajaan untuk memberikan sokongan serta bantuan untuk mereka memulakan kerjaya bukan sahaja bagi mengurangkan kadar pengangguran, malah untuk mengurangkan kadar gelandangan dalam negara.

Sumber : Berita Harian

Baca Juga : Peniaga Termasuk Penjaja Kecil-Kecilan Diminta Berdaftar Dengan SSM

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top