Pengesahan patuh syariah merupakan satu elemen yang penting kepada banyak syarikat lebih-lebih lagi perniagaan yang mengutamakan nilai Islam dalam pelbagai aspek.

Banyak syarikat yang menitikberatkan pengiktirafan ini bagi menjamin urusan perniagaan yang bebas daripada perkara yang haram atau meragukan.

Di samping itu, pengiktirafan patuh syariah ini juga mampu mendorong syarikat dalam mencapai pelanggan melalui pendekatan yang seiring dengan hukum syarak.

Namun, kenyataan daripada pembekal khidmat nasihat syariah, Elzar Shariah Solutions & Advisory baru-baru telah menjadi isu yang hangat di kalangan pemilik bisnes.

Berdasarkan hantaran daripada laman Facebook rasmi bertarikh 26 April 2023, Elzar Shariah Solutions & Advisory telah mengumumkan penamatan secara persetujuan (mutual termination) sebagai penasihat syariah bagi empat buah syarikat iaitu :

(i) Haji Land Berhad

(ii) Azlan Al-Amin Group Holdings Sdn Bhd

(iii) Raffelinna Sdn Bhd

(iv) Koperasi Arash Jaya Kelantan Berhad (Koraya)

Penamatan khidmat syariah ini sekaligus melucutkan kelayakan syarikat-syarikat tersebut dalam menggunakan nama serta logo Elzar dalam sebarang aktiviti perniagaan atau pemasaran dan berkuatkuasa serta merta.

Berikut dilampirkan kenyataan yang telah dimuatnaik oleh Elzar Shariah Solutions & Advisory.

Elzar

Sejak Elzar mengeluarkan kenyataan tersebut, beberapa syarikat yang tersenarai telah tampil memberikan kenyataan di media sosial dan memberikan maklum balas mengenai isu ini.

Antara syarikat yang turut dalam memberikan pandangan mengenai hal ini adalah Koraya, sebuah koperasi asas dengan liabiliti terhad yang menawarkan pembiayaan patuh syariah kepada kontraktor-kontraktor perumahan khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

Berdasarkan kenyataan yang dimuatnaik di Facebook, Koraya mengesahkan bahawa lantikan tersebut telah ditamatkan pada 31 Disember 2022. 

Elzar

Sebagai syarikat yang mementingkan perniagaan patuh syariah, Koraya memaklumkan bahawa syarikat mereka telah pun menjalankan kerjasama strategik sejak dahulu bersama Sinar Mega Solutions Sdn Bhd. melalui sebuah program yang dikelolakan oleh Sedania As-Salam Capital Sdn Bhd iaitu ‘Go Halal Platform’.

Elzar

Penyertaan dalam platform tersebut turut merangkumi sijil kepatuhan syariah daripada penasihat syariah yang telah dilantik oleh mereka iaitu Afsha Shariah Advisory.

Sijil syariah Sinaran Mega Solution Sdn Bhd oleh Afsha Shariah Advisory ini turut dipaparkan di laman web Koraya.my untuk rujukan rakan niaga serta pelanggan.

Koraya turut menegaskan bahawa perkara ini merupakan sebuah keputusan perniagaan semata-mata dan tidak melibatkan percanggahan fahaman dalam urusan ketidakpatuhan syariah. Sebagai syarikat yang menyediakan platform ‘Tawarruq’, Sedania As-Salam Capital Sdn Bhd juga komited dalam menawarkan pembiayaan yang selari dengan hukum syarak buat pelanggan Koraya sebagaimana standard pengoperasian institusi-institusi kewangan Islam yang lain.

Dalam sebuah hantaran di Facebook, juga Pengerusi Eksekutif Haji Land Berhad serta Azlan Al-Amin Group Holdings Sdn Bhd, Dato’ Mohamad Azlan Ali memaklumkan bahawa keputusan perlantikan atau pengguguran panel syariah ini adalah ditentukan oleh sikap kebersamaan dan keserasian berkaitan hal-hal teknikal semata-mata.

Hantaran yang dimuatnaik oleh jutawan hartanah ini jugalah yang membuatkan isu yang berkait dengan Elzar ini menjadi hangat di media sosial.

Menurut Dato Mohamad Azlan Ali, pengguguran Elzar sebagai penasihat syariah merupakan sebahagian daripada proses penyusunan perniagaan agar syarikat dapat berjalan lebih baik dari semasa ke semasa, bukan kerana hal-hal negatif.

Meskipun kecewa dengan tindakan beberapa pihak yang mencuba untuk memfitnah dirinya, Dato’ Mohamad Azlan Ali turut menekankan bahawa pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam soal syubhah apatah lagi yang haram.

Pengasas syarikat Raffellina, Rafie Ramli juga memaklumkan bahawa pihak mereka telah mendapat pengesahan patuh syariah tanpa sebarang masalah selama beberapa tahun.

Namun, sejak tahun lepas, syarikat pengeluar produk kecantikan serta makanan tambahan tersebut tidak lagi dimiliki olehnya serta isteri.

Sebaliknya, ia telah berpindah milik kepada pihak lain. Sekaligus, pengesahan syariah bersama Elzar milik Dr Zaharuddin ini juga tidak diteruskan.

Walaupun pahit untuk ditelan, namun operasi perniagaan mesti diteruskan seiring dengan hala tuju syarikat.

Setiap cabaran dan perubahan yang dihadapi pasti ada hikmahnya. Sama-sama kita doakan semoga usaha para pemilik syarikat dalam mengekalkan amalan perniagaan berlandaskan syariah dipermudahkan. 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top