Siapa tak kenal dengan jenama Sugarscarf? Sedar tak sedar, bisnes ini sudah pun bertapak dalam industri selama 15 tahun.

Kedudukan Sugarscarf sebagai jenama hijab juga semakin kukuh saban tahun. Selain menawarkan aneka koleksi hijab dengan rekaan menarik, jenama ini juga menawarkan rangkaian produk Muslimah termasuk pakaian dan kosmetik.

Dahulu dijual secara atas talian, kini Sugarscarf diangkat sebagai salah satu jenama hijab premium kebanggaan negara.

Bukan sahaja terkenal di Malaysia, malah jenama ini patut dibanggakan kerana mampu menembus pasaran luar negara.

Founder serta Pengarah Pengurusan Sugarscarf International, Nur Atiqah Sulaiman menganggap Sugarscarf bukan sekadar jenama tudung semata-mata, malah ia adalah simbol persahabatan, kebersamaan dan keyakinan di kepada pemakainya.

Menguruskan perniagaan bersama suami tercinta, Muhammad Zulkarnaen Mohd Ali, usahawan jelita yang mesra disapa sebagai Eyqa ini sangat menitikberatkan produk mereka dengan berpegang kepada 3 prinsip iaitu pemilihan warna, fabrik dan design.

Pernah Jual Kad, Kasut dan Nasi Lemak Sebelum Bergelar Founder Sugarscarf

Latar belakang Eyqa yang berasal daripada keluarga susah mendorong usaha serta minat wanita ini untuk ceburi bidang perniagaan.

Tambahan pula, beliau tidak mahu membebankan kedua-dua ibu bapa dan mahu menjana duit sendiri.

Sejak belasan tahun, Eyqa juga tidak segan untuk berniaga di kalangan rakan-rakan persekolahan.

Sukakan benda yang kreatif dan unik, Eyqa pernah bersengkang mata menghasilkan beberapa keping kad untuk dijual kepada rakan sekolah menengah.

Perasaan minat berniaga ini kemudiannya terbawa-bawa sehingga ke alam universiti.

Mengimbau kenangan ketika bergelar pelajar dalam jurusan Pengurusan Teknologi Multimedia di Universiti Multimedia Malaysia (MMU), Eyqa berani mengambil risiko untuk cuba menjual pelbagai produk kepada rakan-rakan hostel.

Antara produk yang pernah dijual adalah kasut wanita dan nasi lemak ayam air tangannya sendiri.

Tidak mahu bergantung kepada satu bisnes sahaja, Eyqa cuba menjual tudung pula dari satu bilik ke bilik hostel. Tak cukup dengan itu, beliau turut menjual tudung di laman blog.

Siapa sangka pengalamannya berniaga secara sambilan di universiti tersebut pada tahun 2006 membuahkan hasil apabila beliau berjaya meluaskan perniagaan secara aktif dalam talian.

Dengan bermodalkan hanya RM 800, Eyqa akhirnya nekad untuk membangunkan label tudung sendiri pada tahun 2008.

Beliau yang sudah mendirikan rumah tangga ketika itu tidak mengharapkan bantuan daripada mana-mana bank. Semuanya bermula dari bawah.

“Mak dan ayah pada mulanya agak bimbang. Namun, selepas melihat kesungguhan kami, mereka restui dan kekal menjadi pendorong terbesar buat kami, ulas Eyqa.

Dalam memenuhi kehendak pelanggan yang sering menanti-nantikan rekaan terbaharu, Eyqa percaya bahawa seseorang tidak harus terikut-ikut dengan trend. Sebaliknya, untuk menyerlah dalam industri, pemilik bisnes perlulah mencipta sebuah kelainan.

Antara inovasi rekaan Sugarscarf yang pernah menjadi fenomena di Malaysia adalah Madison iaitu rekaan hijab yang menggabungkan inner dan selendang.

Diperkenalkan pada tahun 2012, Madison menjadi antara produk paling popular daripada Sugarscarf disebabkan rekaannya yang praktikal untuk fesyen harian Muslimah.

Cashflow dan Komitmen Pekerja Jadi Cabaran Besar Buat Eyqa

Tidak lepas dilanda segala macam ujian, Eyqa akui cabaran terbesarnya dalam bisnes adalah memastikan aliran keluar masuk wang dipantau dan terjaga.

Menurut Eyqa, setiap pemilik bisnes perlu tahu ke mana hala tuju duit dan bajet yang diperlukan untuk projek seterusnya. Beliau percaya bahawa aliran wang yang bocor boleh menjadi faktor kegagalan bagi sesebuah perniagaan.

“Sebab itu saya menitikberatkan cashflow. Cabaran lain yang perlu kami kawal adalah komitmen para pekerja.

Walaupun sibuk menguruskan bisnes, majikan perlu ambil tahu kebajikan para pekerja. Ini bagi memastikan prestasi mereka konsisten dan seiring dengan matlamat bisnes,” ulas beliau.

Untuk menaikkan motivasi mereka, ada kalanya Eyqa turut menghantar staf ke bengkel keusahawanan.

Kejayaan Eyqa Sulaiman membuktikan bahawa pemilik bisnes perlu berani mencuba perkara baharu. Tak perlu segan atau teragak-agak! Selain membuatkan jenama lebih menyerlah berbanding yang lain, idea yang fresh juga penting bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Berbanding melihat cabaran sebagai penghalang, malah kita perlu mengambilnya daripada sudut positif dan memanfaatkannya demi perkembangan bisnes. Barulah jenama dapat berjalan seiring dengan matlamat bisnes.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top