Expedia Perkenalkan Integrasi ChatGPT Dalam Aplikasi Untuk Mudahkan Pengguna Rancang Percutian
ChatGPT adalah teknologi AI yang kini sudah menjadi tumpuan ramai dan telah berkolaborasi dengan banyak jenama bagi menawarkan user experience yang lebih baik buat pengguna.
Expedia, sebuah laman perancangan percutian yang terkemuka juga tidak ketinggalan untuk menggunakan kelebihan yang ada pada ChatGPT OpenAI. Ia merupakan laman yang menjadi pilihan ramai pengembara yang ingin menempah tiket penerbangan, tempahan hotel, penyewaan kereta, pelayaran dan pakej percutian.
Selain laman web, Expedia juga boleh diakses secara mudah menerusi aplikasi telefon bimbit.
Baru-baru ini, jenama tersebut telah mengumumkan sokongan integrasi ChatGPT pada aplikasi mereka.
Expedia manfaatkan ChatGPT dengan menyimpan data perbualan untuk mencadangkan perjalanan secara lebih rapi dan mudah. Dengan erti kata lain, ciri baharu ini juga akan menyimpan butiran yang telah ‘dibincangkan’ dalam perbualan bersama ChatGPT bagi memudahkan pengguna memilih tarikh percutian, menyemak ketersediaan hotel, tiket penerbangan serta aktiviti berkaitan.
Selain itu, ciri dengan integrasi ChatGPT ini membolehkan pengguna berdaftar berkomunikasi dengan AI dan meminta cadangan mengenai tempat-tempat menarik untuk dilawati, hotel terbaik untuk bermalam, aktiviti-aktiviti menarik yang boleh dilakukan dan banyak lagi.
Contohnya, pengguna boleh bertanya di ruangan chatbot, sama ada bulan April adalah masa yang sesuai untuk bercuti di Paris, atau apakah perkara yang boleh mereka nikmati di Tokyo jika mereka pergi pada bulan Mac.
Pengguna juga boleh bertanya sebarang persoalan kepada chatbot, seperti, “Bantu saya mencari hotel yang berdekatan dengan pantai.”
“Dengan mengintegrasikan ChatGPT dalam aplikasi Expedia dan menggabungkannya bersama fungsi pembelian berasaskan AI, kini kami boleh menawarkan kemudahan yang lebih baik dan fleksibel buat semua pengguna”, kata Peter Kern selaku Ketua Pegawai Eksekutif Expedia Group.
Travel planning just got easier in the @Expedia app, thanks to the iOS beta launch of a new experience powered by #ChatGPT. See how Expedia members can start an open-ended conversation to get inspired for their next trip: https://t.co/qpMiaYxi9d pic.twitter.com/ddDzUgCigc
— Expedia Group (@ExpediaGroup) April 4, 2023
Platform tempahan pelancongan ini telah berkolaborasi dengan ChatGPT OpenAI di fasa ujian beta dan hanya berfungsi kepada pengguna iOS sahaja buat masa ini.
Tambahan pula, ciri yang masih berada dalam fasa ujian ini juga mungkin boleh memberikan maklum balas yang kurang tepat. Oleh itu, jenama ini tidak menolak kemungkinan boleh berlakunya kesilapan teknikal bila digunakan.
Demikian itu, Expedia sangat berharap maklum balas daripada pekerja dan semua pengguna untuk memastikan penggunaan aplikasi yang lebih lancar.
Dengan pengenalan ciri baharu ini, Experia membuktikan komitmen mereka dalam membina asas pengoperasian sistem yang lebih baik dalam industri pelancongan di samping meluaskan fungsi aplikasi bagi memudahkan pengguna merancang percutian dengan lebih baik.
Sumber : expediagroup.com
Baca juga: ChatGPT OpenAI Tawarkan Pelbagai Kelebihan Untuk Lancarkan Operasi Bisnes