Hidangan rojak pasembur dan mi rebus daripada Tuuu Dia Pak Tam memang cukup terkenal dalam kalangan warga Selayang, Selangor.
Pemiliknya Ruslin Ibrahim yang mesra disapa sebagai Pak Tam pada asalnya hanya menjual daging lembu dan ayam di pasar borong sebelum memulakan jualan makanan secara kecil-kecilan di kiosk bawah pokok.
Berkat usahanya selama bertahun-tahun, Pak Tam berjaya kembangan perniagaan hingga memiliki 9 cawangan sambil berkongsi rezeki dengan lebih 300 orang staff. Lebih membanggakan lagi, restoran Tuuu…Dia Pak Tam juga baru merasmikan cawangan terbaharu di Madinah, Arab Saudi!
Bagaimana Pak Tam bangunkan bisnes rojaknya hingga berada ke tahap sekarang ini? Ayuh kita ikuti kisah menarik restoran Tuuu… Dia Pak Tam.
Mula Berniaga Dengan Modal RM 25
Jika diceritakan kepada orang, perkembangan bisnes Pak Tam ini mungkin nampak mudah. Namun, Pak Tam akui beliau terpaksa kuatkan hati untuk tempuhi pelbagai dugaan.
Setelah bisnes jualan dagingnya kurang menjadi, Pak Tam yang berasal dari Pokok Sena, Kedah memulakan bisnes menjual mi rebus dan rojak pasembur pada tahun 1994 dengan modal RM 25 sahaja.
“Pada ketika itu hanya tuhan saja yang tahu bagaimana susahnya saya untuk mencari rezeki bagi membesarkan anak-anak.
Saya juga terpaksa membayar denda dalam jumlah yang besar kerana tidak arif dalam bab cukai perkhidmatan. Mujurlah saya berjaya laluinya berkat kesabaran dan kesungguhan bagi membesarkan anak-anak,” luah Pak Tam yang kini bergelar Pengarah Urusan Sirah Heritage Holdings.
Keenakan hidangan ringkas dari Pak Tam segera tersebar di Selayang sehingga membolehkan kiosk bawah pokoknya di Bulatan Taman Selayang Baru semakin sesak dikunjungi pelanggan.
Dalam tempoh enam bulan, beliau berjaya meraih pendapatan bersih lebih daripada RM 500 sehari.
Pada tahun 1995, Pak Tam dan isterinya Noraini Baharom meneruskan bisnes di lot kedai. Tahun demi tahun, perniagaan mereka semakin berkembang sehingga mampu membuka kedai yang lebih besar pada tahun 2002.
Kini, Pak Tam mempunyai 9 cawangan restoran dan kafe termasuk di bangunan Parlimen, Hospital Putrajaya, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan 3 lokasi pusat sehenti RnR.
Syarikat Kembangkan Perkhidmatan
Berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri, Pak Tam bukan sahaja miliki sebuah syarikat besar yang dikenali sebagai Sirah Heritage Holdings Sdn Bhd, malah beliau turut miliki 4 anak syarikat iaitu Juara Saji Sdn Bhd, Jalinan Madu Sdn Bhd, Pak Tam Katering Sdn Bhd dan Halia Bara Sdn Bhd.
Dengan pengurusan yang lebih sistematik, bisnes Pak Tam tidak terhad kepada makanan dan minuman sahaja, malah terdapat pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan termasuk katering, kedai kek dan pastri, kedai serbaneka serta pusat latihan dan kursus pengurusan restoran dan masakan.
Yang terbaru, syarikatnya turut menubuhkan Dapur Pusat dengan kelengkapan serba moden di Kuala Lumpur.
Semua perniagaan di bawah syarikat induk diuruskan sendiri oleh Pak Tam dan enam orang anaknya yang masing-masing miliki latar belakang dalam bidang makanan.
Pak Tam Luaskan Sayap di Madinah
Pada awal tahun 2024, jenama Tuuu… Dia Pak Tam menjadi tumpuan orang ramai apabila berjaya meluaskan operasi di Madinah, Arab Saudi.
Pihak Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Jeddah dalam satu kenyataan berkata Pak Tam adalah salah satu contoh syarikat Malaysia yang membuka tanda aras baharu di Arab Saudi, menyumbang kepada permintaan pasaran dan sekaligus menyokong pembangunan sektor makanan.
Dirasmikan pada 18 Disember 2023, restoran tersebut menyajikan hidangan asli Malaysia seperti Nasi Lemak dan Nasi Kandar dan mampu memuatkan sehingga 80 pelanggan dalam satu masa.
Rancangan Tuuu Dia Pak Tam di Masa Depan
Tidak menoleh belakang lagi, perniagaan Tuuu…Dia Pak Tam kini sedang merancang untuk membuka 30 cawangan serta francais pada masa akan datang.
Setelah meluaskan bisnes di Madinah, Pak Tam turut bercadang untuk membuka cawangan baharu di Seoul dan Tokyo menjelang tahun 2025.
Meskipun tidak mudah, namun Pak Tam berjaya membuktikan bahawa tidak mustahil bagi usahawan kecil untuk kembangkan bisnes sehingga ke peringkat antarabangsa. Malah, ramai jutawan yang kita kenali hari ini pernah muflis dan dahulu terbeban hutang sehingga ratusan ribu ringgit!
Kisah perkembangan bisnes Tuuu Dia Pak Tam boleh menjadi contoh kepada semua usahawan tempatan terutamanya yang terlibat dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Sebagai usahawan yang bermula dari kiosk bawah pokok, Pak Tam percaya adalah penting bagi seorang pemilik bisnes untuk mempunyai matlamat yang jelas dan menganggap pesaing sebagai rakan perniagaan.
“Dalam berniaga kita kena faham apa yang kita nak. Jangan mudah berputus asa. Rancanglah bisnes sebaiknya.
“Jangan anggap pesaing sebagai musuh, sebaliknya anggaplah mereka sebagai rakan perniagaan. Saya sering mendoakan restoran berdekatan kami semaju kami. Biarlah rezeki kita kongsi bersama,” katanya dalam satu temu bual.
Sumber : Berita Harian, Harian Metro