Siapa tak kenal dengan jenama Subway? Baru-baru ini jenama sandwic yang hampir berusia 60 tahun itu telah pun berpindah milik namun legasinya masih segar sehingga ke hari ini.
Setia menghidangkan sandwic dan salad segar setiap hari, Subway muncul sebagai salah satu restoran francais yang paling pantas berkembang di seluruh dunia.
Dengan memiliki lebih 37,000 cawangan, Subway juga berjaya mengatasi jumlah cawangan global jenama makanan segera lain seperti McDonald’s dan KFC.
Namun, kejayaan yang dimiliki oleh jenama sandwic ini tidak terhasil semalaman. Sebaliknya, pelbagai cabaran dan liku-liku yang perlu dilalui oleh pemiliknya.
Ayuh kita baca kisah bagaimana Subway mampu menjadi sebuah jenama sandwic terkenal di dunia.
Permulaan Jenama Subway
Bisnes ini pada awalnya diusahakan oleh Fred DeLuca, iaitu seorang remaja berusia 17 tahun. Beliau sebenarnya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi usahawan. Sebaliknya, Fred ketika itu hanya ingin mencari duit bagi menyambung pengajian di kolej untuk menjadi seorang doktor.
Dengan bermodalkan US$1,000, Fred pun memulakan bisnes menjual sandwic dengan seorang rakan kongsi bernama Peter Buck. Mereka namakan kedai tersebut sebagai ‘Pete’s Super Submarines’.
Pada waktu itu, roti oblong yang panjang jarang digunakan untuk membuat sandwic. Jadi, produk dari Fred dan Peter ini merupakan sesuatu yang unik dan wajib dicuba.
Walaupun tiada pengalaman berniaga, namun sandwic jualan mereka berdua mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Pada hari pertama, Fred dan Peter berjaya menjual sebanyak 312 sandwic dengan harga sekitar 49 hingga 69 sen setiap satu.
Pada tahun pertama perniagaan, mereka berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak US$7,000. Ketika itu, wang sudah mencukupi untuk Fred kejar cita-cita untuk menjadi doktor, namun beliau telah melupakan hasrat tersebut kerana ingin libatkan diri dengan lebih serius dalam industri makanan.
Antara langkah awal yang diambil untuk memasarkan sandwic mereka adalah dengan mengiklankan perniagaan mereka di radio tempatan. Pada awalnya, pendengar agak keliru dengan nama sandwic mereka kerana ‘Pete’s Submarines’ kedengaran seperti ‘Pizza Marines’.
Oleh itu, mereka memutuskan untuk menukar nama perniagaan mereka kepada ‘Pete’s Subway’ dan akhirnya menjadi ‘Subway’ pada tahun 1968.
Subway Mula Luaskan Empayar Menerusi Francais
Setelah beberapa tahun beroperasi, Subway mula berkembang. Pada tahun 1968, Fred berhasrat untuk membuka 30 lagi rangkaian namun gagal. Ketika itu, mereka hanya mampu membuka 16 kedai sahaja.
Antara cabaran terbesar yang dihadapi oleh Fred dan Peter adalah untuk mengekalkan kualiti yang sama bagi setiap cawangan restoran mereka. Fred akhirnya sedar bahawa model francais bukan sahaja dapat mengekalkan kualiti makanan serta perkhidmatan pada tahap yang tinggi, malah ia juga membantu jenama mereka untuk berkembang dengan lebih pantas.
Oleh itu, beliau telah memujuk seorang rakannya iaitu Brian Dixon untuk membuka francais pertama Subway di Walling Ford. Dengan menggunakan perniagaan francais, mereka berjaya membuka 14 lagi cawangan pada tahun yang sama. Fred sangat berpuas hati dengan perkembangan pantas ini.
Slogan Subway yang terkenal iaitu ‘Eat Fresh’ juga mencerminkan prinsip Fred yang sangat mementingkan kualiti serta kesegaran sandwic yang dibuat. Beliau juga sering memastikan setiap cawangan menawarkan perkhidmatan baik dan hidangan segar buat pelanggan menerusi latihan dan kursus.
Prinsip ini kemudiannnya membawa kejayaan buat Subway apabila mereka berjaya membuka cawangan ke-100 pada tahun 1978.
Untuk tingkatkan lagi kualiti makanan, syarikat tersebut telah mewajibkan semua roti yang digunakan perlu dihasilkan di restoran Subway sendiri. Strategi ini dilihat berjaya untuk meningkatkan lagi reputasi Subway dan menjadi bukti komitmen jenama ini dalam menawarkan makanan segar buat pelanggan.
Pada tahun 1984, Subway telah menembus pasaran antarabangsa dengan pembukaan cawangan di Bahrain. 3 tahun kemudian, Subway telah memiliki 1,000 francais. Menjelang tahun 1998, Subway berjaya membuka sebanyak 10,000 cawangan di serata dunia.
Kejayaan Fred dan Peter dalam membangunkan jenama Subway membuktikan bahawa pembinaan empayar francais bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia juga tidak mustahil!
Pada awalnya, mereka juga mempunyai modal yang kecil dan tiada pengalaman berbisnes. Namun, dengan usaha dan keazaman yang tinggi, mereka berjaya mengangkat bisnes mereka ke peringkat global.
Meskipun Fred dan Peter sudah meninggal dunia, namun legasi jenama ini tetap berkekalan sehingga ke hari ini.
Baru-baru ini, Subway dikhabarkan telah diambil alih oleh firma ekuiti persendirian Roark Capital dengan nilai RM 44.36 bilion dan sekaligus tercatat sebagai salah satu pengambilalihan rangkaian makanan bernilai tinggi di dunia.