Tajuk di atas bukanlah bermaksud yang pendidikan tidak perlu diutamakan. Sebaliknya, jika anda menanam azam yang tinggi dan rajin berusaha, kejayaan dapat dicapai oleh sesiapa pun.

Itulah yang dikecapi oleh tiga orang anak muda lepasan Akademi Binaa Malaysia (ABM) Wilayah Timur, Muhammad Badiuzaman Ya Abu Bakar, Mohd Faizal Ismail dan Muhamad Qamarul Auji Amran apabila mereka berjaya menjadi pelatihan kemahiran dalam bidang kimpalan dan perpaipan dan kini membina kerjaya dengan pendapatan lumayan antara RM 15,000 sehingga RM 19,000 sebulan.

gagal spm

Meskipun gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun ia tidak menghalang mereka untuk terus berjuang mengecapi kecemerlangan. Atas kejayaan yang dicapai, mereka turut dilantik sebagai ikon Latihan Teknik dan Vokasional (TVET).

Muhammad Badiuzaman terinspirasi untuk mengambil kursus kimpalan selama dua bulan di ABM selepas melihat arwah abangnya menjana pendapatan yang tinggi dalam bidang tersebut.

Ketika mula bekerja, gajinya hanya RM 1,400. Beberapa tahun kemudian, beliau diberi kepercayaan untuk menjadi jurukimpal di syarikat swasta dengan pendapatan RM 19,000.

Sejak tiga tahun lalu, Badiuzaman bekerja di sebuah syarikat milik Amerika Syarikat di Arab Saudi. Sebelum itu, beliau juga pernah berkhidmat di beberapa negara lain seperti China, Hong Kong, Myanmar, Dubai dan Amerika Syarikat.

Gagal SPM Bukan Titik Penamat

Qamarul Auji dan Faizal Ismail juga menerima nasib yang sama. Pernah diejek oleh rakan sebaya akibat keputusan SPM yang teruk, mereka berdua juga tidak layak untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Namun, ini tidak mematahkan semangat mereka, malah menjadi motivasi buat anak muda ini untuk mengubah nasib melalui haluan lain.

“Sampai satu tahap, saya rasa ingin memajukan diri sendiri jadi saya pun mula mencari jalan dan melakukan pencarian di internet sehinggalah saya terjumpa maklumat mengenai ABM dan sambung belajar di sana,” kata Qamarul yang mengambil sijil dalam bidang perpaipan dan kini sudah mampu untuk membuka syarikat sendiri di Kemaman dan menggaji lebih 80 pekerja.

Mohd Faizal yang juga berkhidmat di Arab Saudi pernah menjana pendapatan sebanyak lebih RM 20 ribu sebulan. Beliau berkata, bidang kemahiran banyak membuka peluang baru untuk dirinya selepas gagal mendapatkan keputusan cemerlang di sekolah menengah.

Kini, mereka bertiga sudah mampu untuk membina karier yang dicemburui ramai dan seterusnya mengubah nasib keluarga. Berdasarkan kisah tiga pemuda ini, dapatlah kita simpulkan bahawa walaupun SPM penting untuk menentukan masa depan, namun ia bukanlah satu-satunya jalan untuk membina kerjaya cemerlang.

Sebaliknya, terdapat banyak haluan yang boleh diambil terutamanya dalam bidang kemahiran. Jangan berputus asa dan rebutlah peluang demi masa depan yang lebih cerah.

Sumber : Sinar Harian

Artikel Lain : Pernah Kena Reject Lebih 1000 Kali, Ini Kisah Bagaimana Colonel Sanders Bangunkan Jenama Ayam Goreng KFC

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top