Gelandangan merupakan golongan yang sering dianggap gagal dan sentiasa dipandang serong oleh masyarakat. Disebabkan pelbagai faktor seperti kemiskinan, masalah keluarga dan gangguan mental, golongan ini sering dijumpai tidur beralaskan kotak di sekitar bandar.

Walaupun orang sebegini kelihatan seperti tiada harapan untuk teruskan hidup, namun ada di antara mereka yang berjaya mengubah nasib.

Salah satu daripadanya adalah Chris Gardner, iaitu seorang jutawan broker saham yang dahulunya hidup sehelai sepinggang.

Chris Gardner

Kisah Chris bermula apabila dia sekeluarga dihalau dari rumah sewa setelah tidak mampu membayar sewa bulanan.

Disebabkan kesempitan hidup, isterinya pula meninggalkan Chris bersama anak lelakinya hanya selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Meskipun bergelar gelandangan, namun Chris masih kuat semangat untuk teruskan hidup. Dia juga terpaksa tidur di tempat awam seperti stesen keretapi, kerusi taman dan rumah gelandangan bersama anak kecilnya yang bernama Christopher.

“Biarkan saya sahaja yang menanggung kesusahan ini asalkan anak saya dapat kehidupan yang lebih baik kelak,” inilah prinsip yang sentiasa dipegang teguh oleh Chris Gardner dalam menempuh hari-hari sukarnya.

Dia yang pernah membesar tanpa seorang ayah juga tidak sanggup untuk meninggalkan anaknya dan rela membesarkan Christopher yang baru berusia 2 tahun ketika itu.

Chris Gardner

Chris Gardner Cuba Nasib Dalam Bidang Saham

Demi masa depan yang lebih baik untuk diri serta anaknya, Chris memberanikan diri untuk menyertai satu latihan bagi menjadi broker saham di Dean Witter Reynolds yang terletak di New York.

Minat Chris terhadap bidang tersebut mula timbul apabila dia berkenalan dengan seorang broker saham yang bernama Bob Bridges yang ketika itu mempunyai gaji bernilai US$80,000.

Meskipun berpendidikan tidak tinggi dan tiada pengalaman, namun Chris tetap kuat semangat untuk menimba ilmu dan memberikan khidmat terbaik kepada firma tersebut.

Kegigihan Chris akhirnya berbuahkan hasil apabila akhirnya dia diberikan jawatan sepenuh masa di Dean Witter Reynolds. Sepanjang tempoh latihan, Chris juga didapati mempunyai bakat dan kemahiran yang hebat untuk menjadi broker saham yang berjaya. Pelantikan tersebut sekaligus menjadi titik perubahan tersebut dalam hidup Chris Gardner.

Dengan pengalaman yang ada, Chris berjaya membuka sebuah firma saham sendiri yang dinamakan Gardner Rich & Co pada tahun 1987. Setelah berkecimpung dalam industri ini selama 37 tahun, Chris telah menjual syarikatnya dan bersara pada usia 67 tahun.

Meskipun bergelar jutawan dengan aset bernilai sekitar RM 285 juta, Chris sangat aktif dalam aktiviti kebajikan bagi membantu golongan gelandangan. Dia juga tidak malu untuk berkongsi kisah silamnya dan sering dijemput untuk memberi ceramah motivasi di dalam dan luar negara.

Berdasarkan kisah luar biasa Chris Gardner ini, dapatlah kita simpulkan bahawa seseorang itulah perlulah memiliki keyakinan serta azam yang kuat untuk mengubah nasib.

Chris juga tidak takut untuk mengambil risiko dan mengejar mimpinya untuk menjadi broker saham meskipun hidupnya susah. Kejayaan pasti akan dimiliki oleh orang yang konsisten dan tidak mudah berputus asa.

Bagi yang ingin menyelami kisah hidup Chris, anda boleh menonton filem popular berjudul The Pursuit of Happyness. Sehingga ke hari ini, filem popular lakonan Will Smith dan anaknya ini menjadi filem motivasi yang padat dengan mesej positif buat semua yang ingin mengubah hidup menjadi lebih baik.

Sumber : failurebeforesuccess.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top