Kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) menunjukkan perkembangan yang cukup drastik sejak beberapa tahun ini. Ia juga didapati mampu membantu para usahawan menguruskan bisnes dalam pelbagai aspek antaranya urusan sokongan pelanggan, penghasilan grafik dan poster pemasaran dan sebagainya.

Namun, seorang pemilik bisnes dari India ini telah mengambil langkah drastik dalam menerapkan penggunaan AI dalam syarikatnya.

Suumit Shah iaitu pengasas serta ketua pegawai eksekutif (CEO) kepada syarikat e-commerce Dukaan baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau telah pun memecat sehingga 90% pekerja dan menggantikannya dengan bot AI.

CEO Dukaan percaya teknologi AI lebih efisien berbanding pekerja

Dalam sebuah ciapan di Twitter, Shah akui keputusan untuk memecah sebahagian besar daripada pekerja di syarikatnya adalah sukar namun perlu dilakukan. Beliau turut berkongsikan keberkesanan AI dalam menyelesaikan isu dengan pelanggan secara atas talian.

Berdasarkan pemerhatiannya, AI chatbot mampu menyelesaikan masalah ini dalam masa 3 minit 12 saat. Masa yang diambil ini adalah 98 peratus lebih pantas berbanding pekerja biasa yang memerlukan kira-kira 2 jam 13 minit untuk berurusan dengan pelanggan.

Dengan teknologi AI yang dibangunkan sendiri oleh syarikat, Shah juga dapat mengurangkan kos sokongan pelanggan sebanyak 85 peratus.

Beliau juga percaya akan konsep kerjasama AI dan manusia pada masa akan datang serta berminat untuk membangunkan cara lain agar dapat dilibatkan dalam pengurusan bisnes.

Teknologi AI Dijangka Bakal Mendominasi Pekerjaan

Meskipun mendapat kecaman hebat di Twitter, namun Dukaan bukanlah syarikat pertama yang memecat staff berikutan trend penggunaan AI.

Tambahan pula, sebuah laporan yang dikongsikan oleh World Economic Forum baru-baru ini turut menjangka AI bakal mendominasi pekerjaan dan bakal mendorong kehilangan pekerjaan bermula pada tahun ini sehingga 2027.

Antara pekerjaan yang berisiko untuk digantikan dengan AI adalah yang kurang melibatkan input emosi dan mempunyai aliran kerja berstruktur seperti jurutera perisian, penganalisa dan akauntan.

Pakar dalam industri teknologi juga tidak menolak kemungkinan akan perkara ini. Memetik DailyMail, kira-kira 80 peratus berisiko untuk hilang pekerjaan dalam beberapa tahun akan datang. Ini berikutan trend beberapa syarikat yang kini mengenalpasti keberkesanan AI dalam melaksanakan tugasan.

Ribuan peneraju industri teknologi termasuk Elon Musk dan Steve Wozniak juga telah mengumumkan penghentian bagi perkembangan AI kerana mereka menganggap manusia masih belum tahu risiko penuh dalam perkembangan teknologi ini.

Musk juga risau teknologi ini akan terlalu maju sehingga ia tidak memerlukan campur tangan manusia dan boleh menyebabkan risiko serangan siber.

Sumber : DailyMail

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top