Pepatah ‘masa itu emas’ memang cukup popular sejak dahulu lagi supaya kita dapat menghargai nilai waktu dan mengisinya dengan perkara berfaedah.
Namun, IKEA Dubai telah melihat frasa ini secara literal apabila melancarkan sebuah kempen yang membenarkan pelanggan untuk membayar menggunakan masa. Ya, betul! Inisiatif unik ini telah dilaksanakan oleh IKEA dalam kempen yang dinamakan ‘Buy With Your Time’ atau ‘Beli Dengan Masa’.
Kempen ini bukan sahaja lain daripada yang lain malah turut mencerminkan komitmen IKEA dalam menawarkan khidmat pelanggan yang terbaik serta.
Berdasarkan perkongsian daripada Alex Garcia, pakar pemasaran digital dan pengasas marketingbased.com, IKEA merupakan jenama pertama yang menerima masa sebagai nilai untuk menjual produk mereka.
Kempen ini sekaligus berjaya menarik nilai pemasaran dan publikasi percuma secara atas talian sehingga $14 juta! Ayuh kita lihat bagaimana IKEA menawarkan kaedah pembayaran menggunakan masa!
Bagaimana Kempen Beli Dengan Masa Tercetus?
Kalau anda perasan, kebanyakan cawangan IKEA terletak agak jauh dari bandar utama. Walaupun ini merupakan strategi IKEA untuk mengelakkan pelanggan tersangkut dalam kesesakan lalu lintas di bandar utama, namun ia boleh menyebabkan pelanggan mengambil masa yang agak lama untuk sampai ke sesebuah cawangan.
Untuk memastikan waktu yang pelanggan ambil untuk sampai ke IKEA, jenama ini telah bekerjasama dengan Ogilvy untuk menggunakan Google Maps Timeline.
“Ramai pelanggan setia IKEA telah menghabiskan banyak masa untuk berkunjung ke premis kami. Jadi, ini adalah cara yang baik untuk kami beri ganjaran kepada usaha pelanggan yang sudi berbelanja di IKEA”, jelas pihak IKEA Dubai mengenai inisiatif ini.
Ayuh kita ambil contoh daripada IKEA Dubai. Berdasarkan nilai purata bagi waktu bekerja di Dubai, satu jam bernilai AED 105 (anggaran RM 131). Dalam kempen ini, IKEA telah mengambil nilai ini sebagai harga untuk satu jam perjalanan pelanggan ke cawangan mereka.
Dengan panduan ini, pelanggan boleh tahu jumlah waktu yang mereka perlu habiskan untuk membeli sebuah produk. Setibanya di IKEA, pelanggan akan dapati semua produk di kedai perabot ini boleh dibayar dengan masa. Daripada hotdog, tanaman hiasan, sehinggalah ke rak buku, semuanya ada ‘harga masa’ tersendiri!
Pelanggan kemudiannya boleh membayar dengan masa, wang atau gabungan kedua-duanya di kaunter pembayaran.
Kelebihan dan Kekurangan Kempen IKEA Beli Dengan Masa
Kempen yang dijalankan oleh IKEA ini bukan sahaja unik, malah ia mampu membantu pelanggan untuk berjimat dalam perbelanjaan mereka. Ia juga mencetus rasa kepuasan dalam kalangan pelanggan kerana mereka dapat membayar dengan sesuatu yang mereka ada iaitu masa.
Lebih penting lagi, inisiatif ini juga akan mendorong pelanggan untuk luangkan lebih banyak masa di IKEA. Ini seterusnya akan membuatkan pelanggan tertarik untuk melihat lebih banyak produk menarik dan terkini yang ditawarkan setiap kali berkunjung ke IKEA.
Walaupun kempen ini menarik, ada satu kekurangannya yang nyata. Bagi menjaga privasi, sesetengah pelanggan mungkin tidak mahu berkongsi lokasi mereka dengan IKEA. Jadi, mungkin tidak semua pelanggan mahu terlibat dalam kempen ini.
Kesimpulannya, kempen unik daripada IKEA ini boleh dilihat sebagai pendekatan yang inovatif dalam menawarkan ganjaran kepada pelanggan di samping menggalakkan mereka untuk luangkan lebih banyak masa membeli-belah.
Inisiatif daripada IKEA ini juga menunjukkan kehebatan jenama ini dalam mengubah cabaran yang pelanggan sering hadapi kepada satu kelebihan yang boleh menguntungkan kedua belah pihak.
Meskipun ada kekurangannya, namun kita tidak boleh nafikan kekuatan kempen ini dalam mendorong pelanggan untuk memilih IKEA sebagai destinasi utama mereka bagi mendapatkan produk kelengkapan rumah.