Dengan peningkatan bilangan peniaga di Malaysia, sudah menjadi satu kemestian bagi sesebuah bisnes untuk bina laman e-commerce sebagai platform untuk beroperasi secara maya.

Dari sudut customer base hingga ke hasil jualan, penggunaan e-commerce didapati mampu memberi kesan perkembangan positif kepada bisnes saban tahun. Pengguna masa kini juga dilihat lebih melazimi pembelian secara online sejak dunia dibadai pandemik Covid-19.

Meskipun kebanyakan negara sudah beralih ke fasa endemik, namun kemudahan yang ditawarkan menerusi pembelian atas talian membuatkan industri e-commerce kekal relevan dan sentiasa mendapat sambutan yang hangat di kalangan pengguna.

Rata-rata ramai yang memilih pembelian secara atas talian kerana ia menjimatkan masa dan menawarkan lebih banyak kemudahan berbanding kaedah pembelian di kedai fizikal. Peniaga pula dapat menjimatkan kos pembiayaan kedai dan boleh mencapai pelanggan tanpa batas.

Membina laman e-commerce mungkin tidak menjadi masalah bagi kebanyakan peniaga. Namun, untuk mendorong trafik serta memantau kelancaran website memerlukan usaha, kos dan usaha yang berterusan. Bagi anda yang sedang mencari inspirasi membina laman web untuk bisnes, jom kita semak 10 laman e-commerce paling popular di Malaysia! 

10 Laman E-Commerce Paling Popular di Malaysia

1. Lazada

Mula beroperasi sejak tahun 2011, Lazada dibangunkan oleh Rocket Internet sebagai orang tengah antara pembeli dan penjual dalam perniagaan online.

Lazada merupakan laman e-commerce yang bukan sahaja popular di Malaysia malah di negara jiran seperti Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Ia juga menawarkan peluang bagi pemilik bisnes untuk menjual produk mereka sendiri secara atas talian. Bagi menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih menarik, baru-baru ini Lazada juga telah membangunkan kemudahan berasaskan AI (artificial intelligence) bagi membantu pelanggan mendapatkan produk yang diinginkan. 

2. Shopee

Sejak muncul pada tahun 2015, Shopee kekal menjadi pesaing nombor satu bagi platform Lazada memandangkan kedua-duanya menawarkan perkhidmatan yang sama pada pengguna.

Berbanding Lazada, Shopee lebih fokus dalam menawarkan jualan e-commerce menggunakan aplikasi telefon bimbit. Shopee juga dikatakan mempunyai ciri-ciri aplikasi yang lebih baik berbanding Lazada.

 

3. Mudah

Dikatakan sebagai antara pelopor laman e-commerce yang terawal di Malaysia, Mudah.my terkenal sebagai platform jual beli pelbagai produk terpakai dan baharu. Namun, operasi Mudah.my tidak berfungsi sebagai orang tengah dalam perniagaan seperti Shopee dan Lazada. Sebaliknya, urusan jualan dilaksanakan secara peribadi antara pelanggan dengan pembeli (Customer-To-Customer/C2C).

Selain menawarkan platform jual beli, Mudah juga menjana pendapatan menerusi ProNiaga iaitu perkhidmatan pengiklanan untuk pemilik bisnes.  

4. Hermo  

Dikhususkan untuk jualan produk penjagaan kulit serta mekap dari Korea Selatan, Hermo yang dilancarkan pada tahun 2012 semakin giat menawarkan variasi produk termasuk jenama berkualiti daripada negara lain.

Ramai penggemar produk kecantikan setia membeli di Hermo kerana platform ini sering menawarkan pelbagai kupon diskaun kepada pelanggan.

5. Zalora

Terkenal sebagai platform e-commerce khusus untuk jualan fesyen berjenama, reputasi Zalora kian kukuh sebagai laman terbesar di beberapa negara Asia Tenggara termasuk Indonesia, Brunei, Hong Kong dan Taiwan.

Zalora juga menjana hasil melalui komisyen terhadap peniaga bagi setiap produk yang berjaya terjual.

6. Carousell

Seperti Mudah.my, Carousell juga merupakan laman C2C yang popular di Malaysia yang melibatkan jualan di kalangan pelanggan.

Carousell memberi peluang pada pelanggan untuk muatnaik gambar produk yang mereka ingin jual. Pelanggan lain yang berminat pula boleh berhubung terus dengan pemilik produk untuk urusan jual beli.

Dahulunya ditubuhkan dalam bentuk jualan menerusi aplikasi di telefon bimbit, Carousell kini turut menawarkan pembelian menerusi laman web untuk kemudahan pelanggan.

7.  Harvey Norman

Jenama terkemuka dari Australia ini merupakan antara kedai perkakas dan elektronik paling besar di Malaysia.

Harvey Norman’s menawarkan pelbagai produk seperti laptop, aksesori komputer, perkakas rumah, perabot dan sebagainya. Walaupun harga produk yang ditawarkan agak mahal berbanding kedai lain, namun jenama ini aktif mengadakan jualan penghabisan stok. Tambahan pula, kualiti produk di Harvey Norman’s sememangnya boleh dipercayai.

Ketika musim jualan, pelanggan mampu membeli-belah dengan potongan harga sehingga 70%! Jenama ini juga sering menawarkan penghantaran percuma ke Semenanjung Malaysia bagi sejumlah pembelian. Memang tak hairanlah mengapa website mereka mampu mencapai trafik bulanan sebanyak lebih 200,000 pengunjung!

8. Sephora

Sephora adalah laman e-commerce yang cukup popular buat penggemar produk kecantikan. Menawarkan rangkaian mekap dan produk penjagaan wajah yang meluas, Sephora komited dalam menawarkan produk kecantikan berkualiti dari dalam dan luar negara.

Apa yang membuatkan pelanggan kembali kepada laman ini adalah disebabkan oleh kaedah pembayarannya yang fleksibel. Di samping penggunaan kad kredit, kad debit serta online banking, pelanggan juga boleh nikmati pembayaran ansuran secara bulanan dengan kemudahan Atome pada laman tersebut.

9. Signature Market

Signature Market terkenal sebagai jenama snek sihat yang menawarkan aneka produk seperti kekacang, muesli bar dan serbuk teh. Selain snek, jenama ini turut menawarkan produk kecantikan serta penjagaan kulit.

Meskipun harga produknya dikatakan agak mahal, namun kedai e-commerce ini cukup giat menawarkan promosi ekslusif untuk pelanggan setia mereka. Lebih menarik lagi, laman e-commerce Signature Market juga menawarkan pelbagai kaedah pembayaran untuk pelanggan serta penghantaran percuma tanpa harga pembelian minima.

10. Go Shop

Popular sebagai platform home shopping nombor satu di Malaysia, Go Shop kian mendominasi pengalaman jual beli secara atas talian menerusi beberapa siaran televisyen. Pelanggan boleh membuat tempahan produk secara mudah melalui aplikasi atau panggilan telefon dari rumah.

Ramai pelanggan yang cukup menggemari Go Shop kerana variasi produk yang ditawarkan seperti seperti perkakas dapur, produk kecantikan, pakaian dan baranganan elektronik.

Terdapat pelbagai platform e-commerce gergasi di Malaysia yang anda boleh jadikan rujukan untuk mulakan perniagaan atas talian. Kesemuanya mempunyai tarikan tersendiri dalam menawarkan pengalaman membeli-belah istimewa pada pelanggan.

Sekiranya anda tiada kepakaran dalam membina website, anda tak perlu risau. Hubungi Lamanweb untuk dapatkan sebutharga dan pakej website yang berbaloi dengan ciri-ciri menarik untuk gandakan lagi potensi bisnes anda. 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top