Pembelian secara atas talian telah menjadi satu trend yang tidak dapat dielakkan lagi. Pelbagai platform telah dilancarkan untuk pengguna membeli secara online seperti Shopee, Amazon dan banyak lagi.

Dalam industri marketplace dan e-dagang, Lazada telah menjadi platform yang tidak perlu diperkenalkan. Gabungan sempurna antara kemudahan beli-belah dalam talian serta inovasi teknologi terkini, Lazada telah berjaya mendapat tempat istimewa dalam hati 12.3 juta pelanggan setianya di Malaysia.

Selain di Malaysia, Lazada juga merupakan laman membeli-belah yang cukup popular di beberapa negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam. Dianggarkan terdapat lebih daripada 150 juta pengguna aktif yang memanfaatkan platform itu dalam masa setahun.

LizzieChat

Terbaharu, Lazada telah mengambil langkah untuk mengintegrasikan teknologi ChatGPT dari OpenAI ke platform mereka dengan melancarkan LazzieChat khas untuk pengguna mereka.

LazzieChat menawarkan ciri khas iaitu dengan menjawab pertanyaan atau memberikan pendapat kepada pengguna apabila mereka berbelanja di platform Lazada. Malah, ia juga bakal memberikan pengalaman berbelanja yang unik, informatif dan disesuaikan dengan citarasa peribadi pelanggan menerusi ciri personalization.

Ini sekaligus menjadikan syarikat Lazada sebagai perkhidmatan e-dagang yang pertama untuk bergabung dengan teknologi ChatGPT. Ia juga selaras dengan permintaan yang tinggi dan populariti ChatGPT dalam kalangan pengguna internet masa kini. Dengan itu, inisiatif terbaharu daripada Lazada ini dijangka bakal memberikan kelebihan yang kompetitif yang signifikan buat jenama tersebut.

Pengenalan LazzieChat ini juga membuktikan komitmen Lazada dalam terus berinovasi dan menyampaikan inovatif untuk memenuhi keperluan dan keinginan pelanggan di dunia e-dagang.

Lazada mengetahui bahawa pembangunan chatbot dalam bahasa semula jadi merupakan cabaran yang memerlukan kepercayaan dan keselamatan yang tinggi.

Oleh itu, Lazada sentiasa mengoptimumkan algoritma LazzieChat untuk mengenal pasti dan menangani kandungan yang tidak sesuai dengan cepat dan bertanggungjawab. Lazada juga komited untuk sentiasa mengemaskini fungsi LazzieChat supaya dapat menawarkan interaksi yang informatif serta berkesan buat pelanggan.

Menurut Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan Lazada, Howard Wang, penggunaan LazzieChat ini berpotensi dalam membantu mengurangkan jurang antara beli-belah luar talian dan dalam talian dengan menyediakan pengalaman berkualiti tinggi yang disukai pengguna, serta mencipta nilai untuk jenama dan penjual.

Beliau juga yakin bahawa teknologi pintar ini akan mendorong perkembangan baharu dalam industri beli-belah dalam talian dan bakal memberi kemudahan yang optimum buat para pelanggan.

Penggunaan LazzieChat ini dilihat bakal memberikan manfaat yang besar untuk kategori produk yang tergolong dalam industri dengan trend yang pantas berkembang seperti fesyen dan kecantikan, yang secara kebetulannya merupakan antara kelompok produk yang popular di Lazada.

Jenama dan pemilik bisnes di platform Lazada pula akan mendapat manfaat daripada LazzieChat menerusi fungsi uniknya dalam membantu meningkatkan pengenalan produk dan memastikan informasi mengenai produk tertentu sentiasa tersedia.

Lazada perkenalkan LazzieChat

Namun, masih belum ada keterangan yang pasti mengenai tarikh ciri ini akan diperkenalkan di Malaysia. LazzieChat hanya tersedia di Singapura, Filipina dan Indonesia buat masa ini. Walau bagaimanapun, Lazada telah mengumumkan rencana mereka untuk memperluas layanan ini secara bertahap ke negara lain.

Untuk mengakses LazzieChat, pengguna hanya perlu swipe kebawah pada halaman utama aplikasi Lazada.

Sumber : Amanz 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top