Sesiapa sahaja boleh memulakan bisnes, namun tidak semua dapat mengendalikannya secara kekal konsisten. Ada yang terjerumus akibat lalai apabila meraih keuntungan.

Ada juga yang ego dan tidak ingin menerima pandangan daripada orang lain. Akibatnya, bisnes terpaksa ditutup disebabkan oleh kerugian yang besar.

Mohd Dzulrqarnain bin Ahmad Suhaimi, pengasas bagi jenama Supercat dan D’Aura juga sudah cukup sebati dengan cabaran dalam dunia perniagaan.

Dengan kecekalan serta strategi perniagaan yang mantap, Supercat yang ditubuhkan pada tahun 2014 kini menjadi jenama penjagaan kucing yang terkenal.

Terkenal dengan produk Jusz Spray, iaitu produk waterless bath yang terjual lebih daripada 1 juta botol, Supercat telah berjaya mengukuhkan pasaran bukan sahaja di Malaysia, malah di beberapa negara seberang iaitu Singapura, Indonesia dan Brunei.

D’Aura pula telah membantu meningkatkan kesihatan jutaan rakyat Malaysia sejak tahun 2012 menerusi makanan tambahan berasaskan minyak kelapa dara.

Bukan mudah untuk berjaya. Bagi membantu usahawan yang baru ingin bertapak dalam dunia bisnes, beliau terpanggil untuk berkongsikan beberapa nasihat berdasarkan pengalamannya mengendalikan syarikat.

pengajaran buat usahawan baharu

16 Pengajaran Buat Usahawan Baharu Yang Ingin Bangunkan Perniagaan

1. Jangan Pentingkan Diri

‘The more you give, you get back.‘ Itulah prinsip yang selalu dipegang oleh ushawahan yang mesra disapa sebagai Encik Dzul Suhaimi ketika berbisnes.

Tidak hanya mengejar keuntungan semata-mata, peniaga yang berwibawa juga perlu fokus dalam membantu orang-orang yang bersama dalam bisnes. Barulah kita sama-sama maju dan mampu bergerak seiring dalam mencapai hala tuju syarikat.

2. Berfikiran Positif

Dalam berniaga, Encik Dzul Suhaimi juga percaya kepada ‘law of attraction’. Dengan erti kata lain, kita akan menarik perkara yang kita sering fikirkan.

Sekiranya kita selalu berfikiran negatif, maka perkara buruk akan cenderung untuk berlaku. Jadi, kita perlulah sentiasa mempunyai mindset yang positif dan kekal bersemangat untuk berjaya dalam bisnes.

3. Nikmati Cabaran

Dalam hidup pasti ada cabaran. Jadi, mahu atau tidak, kita perlu hadapinya. Oleh itu, jangan mudah mengeluh kerana kejayaan takkan hadir tanpa kesukaran. Untuk hadapi cabaran pada hari mendatang, persiapkan diri dengan ilmu dan pengalaman.

Cabaran juga akan menjadi sebahagian daripada pengajaran buat usahawan baharu. Ia juga bakal mematangkan kita agar lebih bijak menangani tantangan pada masa hadapan.

4. Jangan Leka Bila Bisnes Maju

Jangan rasa terlalu hebat bila kita berada di atas. Bila bisnes ada keuntungan, susun perancangan dan melaburlah untuk menjamin kestabilan bisnes pada masa akan datang.

 Tak salah untuk membeli satu kereta mewah untuk tingkatkan keyakinan serta reputasi kita sebagai peniaga. Orang sekeliling juga suka melihat hasil titik peluh kita. Namun, jika tak perlu, adalah lebih baik jika duit tersebut digunakan untuk beli aset yang boleh menjana pendapatan.

pengajaran buat usahawan baharu

5. Ambil Tahu Cash Flow

Jangan sesekali lepas tangan pada aliran wang ketika berbisnes. Ambil tahu pulangan (return of investment) setiap kali kita keluarkan duit. Setiap wang yang dikeluarkan juga ada risikonya.

Tambahan pula, setiap perlaksanaan dalam bisnes memerlukan dana yang besar. Jadi, sebelum anda membuat sebarang keputusan, pertimbangkan dahulu risiko serta keuntungan yang bakal diterima.

6. Buat Keputusan Dengan Matang

Bercakap tentang membuat keputusan, setiap usahawan perlulah mempunyai pertimbangan yang baik. Jangan membuat keputusan mengikut emosi. Sebaliknya, pertimbangkan keputusan dengan matang mengikut fakta dan keperluan bisnes.

7. Kenali Pesaing

Jangan syok sendiri dalam bisnes. Pelajari trend semasa dan buat sedikit kajian untuk kenali taktik perniagaan pesaing.

Dengan mengenali pesaing, kelebihan serta kekurangan mereka serta produk yang mereka tawarkan dapat membantu anda untuk hasilkan jenama dan gaya pemasaran yang lebih menyerlah.

Ini juga boleh memberi kelebihan kepada bisnes anda untuk tawarkan sesuatu yang pesaing tak mampu tawarkan dan sekaligus dapat membantu anda mengatasi pesaing tersebut.  

8. Capai Win-Win Situation

Ilmu komunikasi dan berunding adalah dua kemahiran kritikal yang perlu ada pada setiap usahawan.

Kemahiran ini bukan sahaja mampu mencerminkan reputasi yang baik sebagai seorang peniaga, malah ia juga dapat membantu anda untuk mewujudkan win-win situation dengan lebih lancar.

Apabila berunding, adalah penting untuk kedua-dua pihak berpuas hati. Cuba capai kata sepakat yang boleh memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak secara adil.

9. Buat Rancangan Untuk Berjaya

Kejayaan bukanlah nasib, malah ia terbina daripada perancangan yang rapi serta perlaksanaan yang baik. Encik Dzul Suhaimi sentiasa berpegang kepada 3 faktor kejayaan iaitu 30% planning (perancangan), 69% execution (perancangan) dan 1% luck (nasib baik).

Oleh itu, setiap usahawan perlu ada perancangan dan perlaksanaan bisnes yang mantap untuk berjaya. Jangan terlalu bergantung kepada nasib!

10. Jangan Ego Untuk Belajar Dengan Anak Muda

Beri kepercayaan kepada generasi baharu. Belajar daripada mereka kerana anak muda lebih tahu mengenai perkembangan semasa serta trend terkini lebih-lebih lagi dalam bab pemasaran digital dan teknologi masa kini.

Sebagai orang yang lebih tua, cukuplah kita sekadar memberi nasihat, bukan mengarah dan mengajar sepanjang masa.

11. Tuntut Ilmu Supaya Duit Bekerja Untuk Kita

Perjalanan bisnes ini pada mulanya memerlukan kita untuk memerah kudrat dan kesungguhan yang konsisten.

Pada fasa awal pembinaan bisnes, pelajari dan fahami selok belok perniagaan. Tuntut ilmu dan timba pengalaman sebanyak yang boleh. Semua ini dapat menjadi asas kepada kestabilan bisnes anda.

pengajaran buat usahawan baharu

Bila anda sudah memegang ilmu bisnes dengan kuat, maka tiada masalah lagi untuk anda uruskannya pada masa hadapan.

Dalam 10 tahun berbisnes, anda sepatutnya boleh membiarkan bisnes berjalan secara automatik dengan sistem yang teratur serta pekerja yang berkualiti.

Jika selepas 10 tahun anda masih perlu jalankan perniagaan dengan tangan sendiri dengan bersusah-payah, itu maksudnya ada perkara yang tak kena dalam perniagaan anda.

12. Prinsip Pareto Dalam Bisnes

Suka atau tidak, prinsip Pareto memang wujud dalam dunia bisnes. Tidak kiralah sama ada staf, ejen, pelanggan mahupun supplier, dalam 10 orang, hanya 2 atau 3 sahaja yang betul-betul berkualiti dan mampu memberikan keuntungan buat perniagaan kita.

Bila anda dapat kenalpasti yang berkualiti ini, jagalah dengan baik kerana mereka adalah aset yang bernilai bagi bisnes anda.

13. Jaga Silaturrahim

Jangan lupa untuk jaga hubungan yang baik sesama rakan niaga dan usahawan yang lain.

Untuk buatkan bisnes anda lebih dikenali, binalah jaringan seluas yang boleh dengan pelanggan serta peniaga lain. Dengan silaturrahim yang baik, InsyaAllah jalan perniagaan kita akan dipermudahkan.

14. Jaga Keberkatan Wang

Akibat dibutakan oleh wang ringgit, sesetengah pemilik bisnes ada kalanya lupa bab halal haram sehingga hilangnya keberkatan dalam harta. Hakikatnya, tiada guna duit yang banyak jika sumbernya tidak berkat.

Tak mengapa duit sedikit asalkan berkat dan memberi ketenangan pada jiwa.

15. Guna Keuntungan Untuk Bantu Orang Lain

Sekiranya bisnes anda sudah capai tahap yang stabil dan mampu melabur ke tempat lain, jangan lupa untuk hulurkan bantuan kepada orang sekeliling.

Gunakan masa serta keuntungan yang ada untuk bantu keluarga, kawan-kawan, agama, bangsa dan negara. Semoga dengan amal jariah ini dapat menjadi bekalan kita di akhirat nanti.

16. Sasarkan Untuk Pergi Haji Dahulu

Sebelum anda bercadang untuk beli rumah, kereta atau mendirikan rumah tangga, sasarkan untuk pergi haji dahulu. Dengan berbisnes, InsyaAllah RM 60,000 boleh didapati dengan mudah dan sudah mencukupi untuk anda tunaikan haji.

Bila di Tanah Suci, doa yang baik-baik untuk kehidupan akan datang. Berkat ibadah haji, InsyaAllah kehidupan serta bisnes anda akan lebih stabil. Lagipun, ibadah ini adalah rukun islam yang wajib dilaksanakan bagi yang berkemampuan.

Jangan risau tentang duit. Dengan izin Allah, kekayaan anda tak akan berkurangan bila dilaburkan kepada ibadah. Malah, Allah akan gantikan dengan rezeki lain yang berlipat ganda banyaknya.

Berniaga bukan hanya memerlukan ilmu dan pengalaman, malah perancangan dan perlaksanaan juga perlulah mantap bagi menjamin bisnes yang menjadi.

Di samping itu, pemilik bisnes yang berjaya juga perlu ada kematangan ketika membuat keputusan serta kemahiran komunikasi dan berunding. Barulah urusan bisnes dapat dijalankan dengan lancar.

Sambil berniaga, jangan lupa bahawa perniagaan kita juga mampu memberi impak kepada keluarga, orang terdekat serta masyarakat. Oleh itu, jangan terlalu memikirkan keuntungan semata-mata sehingga lupa pada orang sekeliling.

Semoga perkongsian ini dapat memberi inspirasi serta pengajaran buat usahawan baharu yang ingin berjaya dalam bisnes.

Sumber : Facebook Dzul Suhaimi

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top