Rezeki tak pernah salah alamat. Siapa sangka seorang pencuci pinggan mampu menjadi usahawan berjaya dan membina empayar perniagaan sabun sendiri?
Datuk Mohd Syukri Ibrhim tidak menjadikan latarbelakangnya yang berasal daripada keluarga yang serba kekurangan sebagai penghalang. Sebaliknya, itulah yang menjadi pembakar semangat buatnya untuk mengubah nasib di samping meringankan beban orang tuanya.
Usaha tidak pernah mengkhianati hasil, beliau kini berbangga dengan pencapaiannya dalam mencipta jenama sabun halal sendiri iaitu Dozee. Usahawan yang berasal dari Kedah ini juga memiliki ribuan ejen di serata Malaysia dan mampu merekodkan jualan sebanyak lebih 70 ribu botol sebulan.
Mungkin anda sendiri tertanya-tanya bagaimana Datuk Syukri mampu membina perniagaan berskala besar tanpa pendidikan tinggi atau pengalaman dalam bisnes? Jom kita selami kisah pengasas Dozee, jenama sabun pencuci pakaian Muslim Bumiputera yang disahkan Halal oleh JAKIM.
Bermodalkan RM 20 Untuk Cari Pengalaman Sebelum Hasilkan Sabun Halal Sendiri
Berasal daripada keluarga yang susah, Datuk Syukri menanam azam untuk menimba pengalaman sebanyak yang mungkin setelah tamat SPM. Seawal usia 18 tahun, beliau nekad untuk meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke Kuala Lumpur.
Beliau masih ingat lagi pekerjaan pertama yang ditawarkan kepadanya iaitu sebagai pencuci pinggan di sebuah kantin kilang di Klang, Selangor. Dari situ, beliau mula belajar pengurusan kantin serta memasak.
Ketika asyik membasuh pinggan, tiba-tiba terdetik di hatinya bagaimana cara untuk membuat sabun pencuci. Menurutnya, produk sabun pencuci sentiasa ada permintaan dan digunakan bukan sahaja di rumah tetapi untuk industri.
Dari situ, hatinya terus menanam azam untuk memiliki kilang sabun sendiri pada suatu hari nanti.
Dengan berbekalkan pengalaman bekerja di kantin selama 10 tahun, beliau kemudiannya berpeluang untuk membuka kantin sendiri pada tahun 2008.
Bermodalkan wang simpanan serta hasil operasi kantin tersebut, Mohd Syukri memberanikan diri untuk menceburi bidang perniagaan sabun dengan membuat sabun secara kecil-kecilan. Pada mulanya, sabun tersebut diedarkan kepada keluarga dan kenalan terdekat terlebih dahulu.
Untuk menghasilkan sabun dengan formula yang berkualiti, produk tersebut turut melalui program penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang teliti selama tiga bulan.
Namun, syarikat Mohd Syukri mengalami kerugian selama tujuh bulan berturut-turut akibat tiada pembeli. Akibatnya, beliau terpaksa menanggung hutang berjumlah hampir RM 2 juta. Tidak mengenal erti putus asa, Mohd Syukri telah meminta bantuan daripada rakan baiknya untuk perbaiki kaedah pemasaran bagi jualan produk sabunnya.
Berkat usaha mereka berdua, jualan sabun pencuci tersebut meningkat sehingga membolehkan Mohd Syukri untuk pindahkan operasi pembuatan sabun di kilang yang lebih luas di Puncak Alam, Selangor.
Beliau juga berbangga dengan syarikatnya iaitu SR Asia Resources yang kini beroperasi dengan 10 mesin utama dan 30 orang kakitangan. Jenama sabun Dozee ini juga telah mendapat kepercayaan daripada usahawan lain yang turut menandatangani kontrak sebagai pengeluar.
Berpegang kepada slogan Bersih, Suci, Wangi, Mohd Syukri juga berharap jenama Dozee terus dikenali dan dimiliki oleh setiap isi rumah di Malaysia.
Dengan pengiktirafan sebagai syarikat Bumiputera pertama yang menghasilkan sabun halal, beliau juga optimis untuk mencapai sasaran pengeluaran sebanyak satu juta botol pada masa hadapan.
Produk jenama Dozee juga kian berkembang kepada 36 jenis antaranya pelembut fabrik, pencuci pinggan, pencuci lantai dan sebagainya.
Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Mohd Syukri turut berkongsikan bahawa syarikatnya kini sedang giat menceburi bidang pemborongan.
Pihaknya yang sedang membangunkan sebuah pusat pemborongan besar di Puncak Alam bermatlamat untuk memulakan jualan barangan secara pukal bagi barangan basah dan kering kepada peniaga kecil.
Selain bisnes perniagaan sabun, Mohd Syukri juga memanfaatkan pengalamannya dalam pengurusan kantin untuk membuka operasi restoran iaitu Akarr Café yang kini mempunyai dua cawangan di kawasan Puncak Alam. Baru-baru ini, beliau turut melancarkan restoran ikan bakar ala Thai iaitu Akarr Ikan Bakar.
Kisah kejayaan Datuk Mohd Syukri ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh berjaya dengan usaha serta keazaman untuk mengubah nasib hidup. Kejayaan juga tidak akan hadir tanpa kegagalan.
Walaupun ia bukanlah perkara yang positif, namun ia adalah ruang untuk kita refleksi diri serta susun semula strategi demi perlaksanaan yang lebih baik pada masa akan datang. Semoga perkongsian kisah pengasas Dozee ini mampu memberi inspirasi buat semua terutamanya para usahawan yang baru memulakan bisnes.