Kesegaran dan kualiti susu Farm Fresh tak perlu diperkenalkan lagi. Jenama yang menawarkan aneka produk tenusu seperti susu lembu asli, susu berperisa dan susu kambing ini telah menawan hati ramai rakyat Malaysia.
Jenama ini juga pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Putra Brand Awards dan Brand of The Year dalam World Branding Awards 2022/2023.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal telah berkongsi perjalanan menarik bagaimana jenama susu itu mula menghasilkan produk yogurt menerusi laman Facebook peribadinya.
Popular dengan gelaran Boss Susu, Azmi Zainal mengimbau kembali detik apabila beliau bersama pengasas Farm Fresh iaitu Loi Tuan Ee telah mengadakan mesyuarat dengan Giant pada tahun 2010.
Setelah tamat mesyuarat, pihak Giant berkata jenama mereka ada potensi untuk hasilkan yogurt kerana susu mereka sedap dan berkualiti.
“Awak punya susu sedap dan awak bolehlah mula buat yogurt sebab pasaran yogurt ini sangat besar,” kata wakil Giant itu.
Selepas mendengar permintaan tersebut, Azmi dan Loi tidak berfikir panjang dan terima cabaran tersebut. Mereka telah meminta tempoh satu bulan daripada Giant untuk lakukan kajian (R&D) bagi menghasilkan produk yogurt.
Ketika itu, Farm Fresh hanya ada dua produk sahaja di pasaran.
“Selepas saja meeting saya dan Loi kelam-kabut turun ke tingkat jualan ibu pejabat Giant untuk cari yogurt, sebab apa? Sebab saya dan Loi tak pernah pun makan yogurt.
“Kami beli beberapa jenis yogurt bawa pulang untuk cuba. Muka saya berkerut-kerut menahan kemasan yogurt tersebut. Rasa yang saya tak pernah rasa,” kata Azmi.
Walaupun pada awalnya susah untuk Boss Susu terima rasa yogurt, namun mereka tetap nekad untuk hasilkan yogurt sendiri.
Loi mula membuat beberapa panggilan untuk dapatkan bahan serta bungkusan. Dalam fasa persediaan, Loi dan Azmi baru sedari yang mereka tiada satu perkara yang paling penting untuk penghasilan yogurt iaitu ruang pemeraman.
“Akhirnya kami dapat satu idea, gunakan peti ais 3 pintu yang sudah rosak dekat pejabat kilang untuk dijadikan tempat pemeraman.
“Kami peram dalam peti ais rosak itu, letak mentol lampu sebagai alat pemanas. Kali pertama buat, terus jadi. Rasanya sedap bahkan lebih sedap daripada sample yang kami beli itu.
Kata Loi, rasa yogurt pertama mereka itu lebih sedap kerana menggunakan susu segar sendiri.
“Alhamdulillah, kami bersyukur yogurt kami ada ramai peminatnya. Mula-mula kami jual yogurt asli sahaja. Kini, kami sudah ada yogurt perisa buah-buahan dan yogurt Greek.
“Hasil jualan yogurt kami juga sudah mencapai berjuta sebulan. Ramai yang suka sebab berkhasiat dan rasanya yang sedap. Kita (Farm Fresh) berada di tempat kedua dari segi saiz bahagian pasaran,” jelas Azmi.
Dalam perkongsian tersebut, Azmi akhiri dengan mengajak orang ramai terutamanya peniaga supaya gunakan peluang yang ada dan jangan mudah berputus asa untuk hasilkan sesuatu produk.
“Dalam berniaga kita kena berani mencuba. Lagi satu apabila peluang datang, sambut dulu dan cuba sampai jadi.
“Nak mula tak semestinya perlu ada semua baru boleh jadi. Kalau perkara yang baik, Allah S.W.T akan bantu dan tunjukkan jalan,” jelas Boss Susu.
Berdasarkan laman web rasmi Farm Fresh, mereka kini miliki 16 jenis produk yogurt termasuk yang berperisa unik seperti labu, buah tin, durian dan aloe vera.
Sumber : Facebook Azmi Zainal
Baca Juga : Rezeki Tak Salah Alamat, 5 Jenama Tempatan Ini Rupanya Dibangunkan Oleh Bekas Guru Sekolah!