Disebabkan kekurangan minyak masak bersubsidi dalam pasaran, ada yang menganggap masalah ini berlaku disebabkan aktiviti penyeludupan haram. Hakikatnya, situasi ini terjadi akibat penggunaan yang tinggi dalam kalangan peniaga mikro yang tidak tergolong selaku penerima subsidi barangan tersebut.

Berdasarkan perkongsian daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada sidang Parlimen baru-baru ini, didapati kira-kira 60 peratus daripada 60 juta minyak masak paket diguna oleh kumpulan peniaga mikro. Setakat ini, pihak KPDN juga belum mengambil sebarang tindakan bagi mengatasi masalah tersebut.

Meskipun begitu, KPDN sedia maklum kesan tekanan kos semasa yang boleh menyebabkan tekanan harga dalam kalangan peniaga mikro khususnya penjual atau penjaja yang terlibat dalam penyediaan makanan bergoreng.

Berkongsi lanjut, KPDN menyatakan bahawa kuota minyak masak paket adalah 60,000 metrik tan setiap bulan dan jumlah ini adalah 40 peratus daripada keluaran minyak sawit negara. Sekaligus, kuota ini hanya tersedia buat keperluan isi rumah di negara sahaja.

Justeru, menerusi pendekatan subsidi bersasar bagi penggunaan minyak masak, KPDN akan memfokuskan kepada golongan B40, diikuti dengan sebahagian M40 dan seterusnya peniaga mikro yang terpilih. Setakat ini, pemberian subsidi tersebut dijangka bakal melibatkan 5.8 juta isi rumah di Malaysia.

Bagi memperhalusi lagi isu kekurangan bekalan minyak masak, KPDN berharap pengumpulan data dapat dilaksanakan secara berkesan melalui sokongan digital.

Menurut Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh sebelum ini pernah berkongsikan masalah untuk mengumpul dan menyelaras data bagi pemberian subsidi. Berdasarkan pemerhatian, didapati sesetengah penjaja mungkin tiada kesedaran atau ragu untuk mendaftar perniagaan mereka dengan SSM.

“Golongan penjaja ini terdiri daripada sejuta pemain industri mikro yang kebanyakannya tidak mendaftar. Mereka mungkin takut mendaftar, nanti kena bayar cukai. Sebenarnya jika tidak cukup (had) pendapatan, tidak perlu bayar cukai, mereka hanya perlu membuat laporan tahunan saja, ini yang mereka tidak faham.

minyak masak

“Sekiranya mereka mendaftar, ia akan memudahkan kami. Kami nak mulakan satu persatu untuk masukkan golongan ini ke dalam dasar yang dibuat,” katanya.

KPDN turut melaporkan bahawa rekod daripada Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) tidak mencatatkan sebarang ketirisan.

Ini sekaligus membuktikan adanya aktiviti pembungkusan semula berlaku dan ini boleh menyebabkan minyak masak terjual pada harga lebih mahal di pasaran.

Susulan itu, KPDN menasihat semua pihak supaya bekerjasama untuk kemukakan aduan kepada pihak berkuasa agar pihak pentadbir dapat mengenalpasti lokaliti yang terlibat dalam menjual barangan kawalan pada kadar melebihi paras yang ditetapkan.

Sumber : rnggt.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top