Semua penjaja sama ada yang besar mahupun yang kecil diminta untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memudahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapatkan pangkalan data senarai penerima subsidi minyak secara bersasar.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata program pemberian subsidi minyak masak ini akan dijalankan secara berperingkat bermula tahun hadapan dan bakal memperincikan lagi penerima yang layak selain untuk golongan B40 dan M40.

“Penjaja kecil seperti penjual pisang goreng, karipap, keropok lekor dan ayam gunting juga termasuk dalam senarai penerima. Kita minta mereka mendaftar dengan SSM kerana ia percuma untuk penjaja dari golongan B40.

penjaja

“Golongan penjaja ini terdiri daripada sejuta pemain industri mikro yang kebanyakannya tidak mendaftar. Mereka mungkin takut mendaftar, nanti kena bayar cukai. Sebenarnya jika tidak cukup (had) pendapatan, tidak perlu bayar cukai, mereka hanya perlu membuat laporan tahunan saja, ini yang mereka tidak faham.

“Sekiranya mereka mendaftar, ia akan memudahkan kami. Kami nak mulakan satu persatu untuk masukkan golongan ini ke dalam dasar yang dibuat,” katanya.

Beliau turut berkongsikan bahawa seramai 5.8 juta rakyat yang tergolong dalam kategori B40 dan M40 yang layak menerima subsidi minyak masak telah dikenal pasti, namun pihaknya masih berdepan dengan masalah untuk mengumpul serta menyelaras data.

“Kita perlu mengambil kira banyak perkara terhadap golongan ini, contohnya lokaliti kawasan dan tanggungan. Golongan M40 yang duduk di Kedah dan Kuala Lumpur, kos sara hidupnya tidak sama. Ada yang kena jaga ibu sakit, tua dan sebagainya, jadi semua faktor-faktor itu harus diambil kira,” katanya.

Fuziah berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Premium di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Anak Bukit, Alor Setar pada 3 September lalu.

Beliau memaklumkan bahawa kerajaan menyediakan sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi untuk diagihkan kepada golongan sasar setiap bulan.

Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah tersebut sepatutnya lebih daripada keperluan kumpulan sasar kerana menurut kajian, setiap isi rumah memerlukan kira-kira 4.8 kilogram minyak masak bagi penggunaan sebulan.

Justeru, penjaja kecil-kecilan serta pemilik bisnes lain diminta untuk mendaftar dengan SSM secepat mungkin bagi memudahkan urusan pengagihan minyak masak bersubsidi.

Sumber : Berita Harian

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top