Bagi pengguna yang gemar membeli secara atas talian, mereka tentunya gembira apabila mengetahui sistem terbaharu yang ditawarkan oleh Atome di TikTok Shop iaitu ‘beli sekarang, bayar kemudian’. Ia juga dikenali dengan buy now, pay later (BNPL).
TikTok Shop kini menjadi pilihan jutaan pengguna dengan tawaran harga dan teknik pemasaran yang menarik. Oleh itu, TikTok telah menjalin kerjasama dengan Atome untuk menawarkan pembayaran ansuran di pasaran e-dagang bagi memudahkan pembelian pelanggan.
Atome ialah salah satu platform pembiayaan terkemuka di Asia Tenggara. Ia menawarkan kepada pembeli penyelesaian pembayaran yang fleksibel bagi peruncit dalam talian dan juga luar talian.
Pembayaran ansuran tersebut membolehkan pelanggan untuk menangguhkan pembayaran mereka selama tiga atau enam bulan tanpa faedah.
Bagaimanapun, pengguna perlu hubungkan akaun Atome dan TikTok terlebih dahulu bagi menggunakan kaedah ini. Kemudian, segala maklumat seperti kaedah, nilai dan tempoh pembayaran akan dipaparkan secara khusus bagi tujuan memudahkan pengguna.
William Yang, ketua komersial di Atome mengatakan,”Dengan menggunakan Atome sebagai pilihan pembayaran di TikTok Shop, kami teruja untuk bantu memacu pertumbuhan e-dagang dan menyokong semua jenis perniagaan.”
Kenyataan tersebut adalah sebahagian daripada rancangan pengembangan TikTok Shop ke Asia Tenggara setelah mengumumkan pelaburan berbilion dollar di rantau tersebut.
Walaupun Amerika Syarikat merupakan pasaran terbesar TikTok dengan 113 juta pengguna aktif, namun platform tersebut menghadapi cabaran untuk berkembang kerana penelitian oleh kerajaan serta kontroversi yang menjadi isu hangat di negara tersebut.
Manakala, Tiktok telah pun diharamkan di India.
Oleh sebab itulah, TikTok berhasrat untuk melabur fokus pada pasaran Asia Tenggara dalam beberapa tahun akan datang.
Walaupun Tiktok Shop bermula lambat berbanding e-dagang yang lain, tetapi TikTok Shop kini sudah pun menjadi salah satu daripada lima pemain e-dagang terbaik rantau ini dari segi bahagian pasaran, menurut laporan terbaru daripada pembina usaha niaga Momentum Works.
Pada bulan Jun, TikTok umum akan menawarkan $12.2 juta (RM55.24 juta) dalam bentuk geran tunai, latihan dan pengiklanan untuk membantu lebih 120,000 perniagaan kecil dan sederhana (PKS) menjual dalam talian.
Berdasarkan kajian PYMNTS, mereka mendapati bahawa platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram telah menjadikan pengguna lebih cepat dan mudah untuk berkongsi pengalaman membeli-belah mereka di serata dunia.
Baca juga: TikTok Perkenalkan TikTok Music Untuk Saingi Spotify, Apple Music