Kolaborasi MYDIN dan Zaitun

Dalam era yang semakin pesat ini, gaya hidup moden sering mengatasi tradisi lama, namun ada kalanya kita merindui kesederhanaan dan kenangan zaman dahulu.

Kolaborasi unik antara Zaitun dan MYDIN telah mencetuskan satu titik tumpuan yang menarik, membangkitkan semangat warisan dan memberikan pengalaman yang baru kepada generasi masa kini di samping mengembalikan nostalgia masa lalu.

Jenama Zaitun bukanlah sesuatu yang asing di pasaran pada tahun 90-an. Malah, slogannya yang padat dan mudah diingat iaitu ‘Gunakan Tanpa Was-Was’ membuatnya menjadi pilihan teratas dalam kalangan penggemar kelengkapan mandian yang dijamin suci dan halal.

MYDIN, sebuah jenama pasar raya dan runcit tempatan yang terbesar di Malaysia ini juga tidak ketinggalan untuk menghidupkan kembali zaman kegemilangan Zaitun yang pernah menjadi fenomena beberapa puluh tahun lalu.

Terbaharu, Facebook Zaitun Industry telah berkongsikan satu posting yang mengumumkan kerjasama antara Zaitun dan MYDIN untuk hidupkan semula dan meluaskan jenama kelengkapan mandian halal itu tidak lama lagi.

Kolaborasi yang menarik ini dirancang dengan tujuan memudahkan masyarakat untuk mendapatkan produk Zaitun dengan lebih mudah melalui rangkaian cawangan pasar raya MYDIN yang tersebar di seluruh Malaysia.

MYDIN, sebagai pihak yang berperanan pemborong dan peruncit terkemuka di Malaysia yang mengamalkan konsep halal, turut memberikan sokongan kepada usaha kerajaan untuk memperkasa produk-produk tempatan buatan Malaysia. Malah, syarikat itu pernah melancarkan satu kempen sebelum ini dengan bertemakan Ini Malaysia Punya.

Syarikat itu melihat peluang ini sebagai platform untuk memberi sumbangan kepada pertumbuhan industri usahawan tempatan dan meningkatkan kelestarian ekonomi negara.

Bertapak selama lebih 60 tahun dalam industri, MYDIN berperanan sebagai saluran pemasaran utama untuk produk-produk tempatan Malaysia, serta bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran dan keyakinan masyarakat agar lebih memilih produk tempatan ketika berbelanja.

Di samping itu, MYDIN turut menyokong usaha kerajaan dalam usaha mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dengan memperkenalkan inisiatif mereka sendiri, iaitu MYDIN Rahmah.

Inisiatif Mydin Rahmah tidak hanya membantu rakyat yang memerlukan dalam pembelian barangan keperluan dan perayaan, tetapi juga berpotensi untuk meningkatkan penjualan di gedung beli-belah tersebut.

Kolaborasi Zaitun

Jenama Zaitun Pernah Menjadi Pilihan Utama Penggguna Muslim Sebelum Menghilang

Datuk Seri Haji Mohammad Eusuff Teh, pengasas Zaitun Industries, melahirkan jenama ini pada tahun 1978 dengan mengambil nama anak perempuannya sebagai inspirasi. Pada permulaannya, kejayaan mereka begitu memberangsangkan dan mempunyai potensi besar untuk berkembang.

Sejak awal lagi, Zaitun telah memberikan penekanan yang besar pada jenis kandungan dalam produk-produk mereka. Mereka juga menjadi jenama halal dan mesra Muslim pertama dalam industri kecantikan dan penjagaan diri di Malaysia pada tahun 1970-an.

Menjadi pelopor dalam menghasilkan produk kelengkapan peribadi dan kosmetik yang dijamin halal, Zaitun kekal menjadi pilihan ramai pengguna Muslim di Malaysia pada ketika itu.

Inovasi produk halal yang ditawarkan oleh Zaitun ini telah membuatkan ia berkembang kepada lebih 300 jenis produk sehinggakan mendapat permintaan eksport ke negara jiran seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

Ketika itu, masa depan jenama Zaitun dilihat cerah dan dipenuhi dengan peluang yang menanti untuk terus maju tanpa batasan.

Setelah mengalami perkembangan pesat, jenama Zaitun semakin tenggelam akibat beberapa masalah dalaman sehingga menyebabkan syarikat ini seolah-olah menghilang dari pasaran tempatan.

Jenama Zaitun Muncul Kembali Dengan Wajah Baharu

Semasa wabak COVID-19 melanda negara, Zaitun kembali dengan gaya yang lebih hebat dengan memperkenalkan produk hand sanitizer hasil karya mereka sendiri dan dijual secara dalam talian.

Dengan melakukan penjenamaan semula dan generasi baharu yang mengambil alih tampuk pentadbiran, Zaitun kini bersedia untuk kembali beraksi dan bersaing bagi memenangi semula hati pelanggan yang inginkan kelengkapan mandian dan kosmetik yang serba halal seperti pada masa lalu.

Salah satu produk utama Zaitun iaitu ubat gigi, kini telah hadir dengan wajah baharu dengan kualiti yang sepadan dengan jenama terkenal lainnya. Mengandungi bahan-bahan seperti kalsium karbonat, gliserin, silika terhidrat, dan lain-lain memberi pelbagai manfaat kepada penjagaan mulut, termasuk menghilangkan kotoran degil yang melekat di permukaan gigi.

Bagi yang ingin membeli produk Zaitun boleh dapatkan secara online melalui Shopee dan TikTok mereka. Jika anda pernah menjadi peminat jenama Zaitun pada masa dahulu, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan produk terbaru mereka di laman Facebook dan Instagram. Sentiasa nantikan perkembangan terbaru kolaborasi antara MYDIN dan Zaitun.

Sumber: thevocket.com

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top