Rempah ratus menjadi pelengkap bagi hidangan tempatan. Dengan campuran rempah yang tepat, ia mampu menyerlahkan lagi rasa sajian. Di Malaysia sendiri, terdapat pelbagai jenama rempah ratus yang ditawarkan di pasaran.
Disebabkan banyak persaingan, sesebuah syarikat itu perlu menggunakan pendekatan yang unik dan berkesan dalam pengurusan bisnes demi mengatasi jenama lain.
Ini termasuklah Wau Tradisi, sebuah jenama rempah ratus yang berdiri di bawah Syarikat Wau Tradisi Sdn Bhd yang berpangkalan di Pengkalan Chepa Kota Bharu.
Dengan pengalaman lebih daripada 50 tahun dalam industri, Wau Tradisi komited untuk menawarkan aneka produk rempah ratus yang berkualiti tinggi kepada semua pengguna.
Jenama ini turut memenangi Anugerah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sambil mengalahkan jenama besar termasuk Proton dan Panasonic dalam projek Lean Management yang diadakan pada tahun 2017.
Melihatkan potensi yang besar pada syarikat, Wau Tradisi tidak menoleh belakang lagi untuk menjadi peneraju industri rempah Malaysia sambil memegang hasrat untuk menembus pasaran Asia pada masa akan datang.
Antara usaha yang dilakukan untuk tingkatkan lagi produktiviti rempah ratus di kilang mereka adalah dengan memperkenalkan konsep lean manufacturing.
Ingin tahu apa yang telah dilakukan oleh Wau Tradisi sehingga berjaya tingkatkan penghasilan rempah sehingga hampir dua kali ganda dengan kos yang sama? Jom kita semak strategi yang dilaksanakan oleh syarikat rempah ratus terkemuka di Kelantan ini.
Projek Lean Manufacturing Tingkatkan Penghasilan di Kilang Wau Tradisi
Dalam projek ini, Wau Tradisi bercadang untuk tangani 4 masalah utama yang sering dihadapi dalam proses pengeluaran mereka iaitu tahap penghasilan yang tidak mencapai sasaran, tempoh pembungkusan yang lama, logistik yang tidak efisien dan hasil jualan yang rendah.
Dijalankan selama 7 bulan dan disertai oleh 9 orang pekerja, konsep lean manufacturing atau pengeluaran lean diperkenalkan bagi mencapai keberkesanan proses kerja dan kadar penghasilan produk secara optimum.
Lean manufacturing adalah konsep yang membolehkan bisnes untuk tingkatkan penghasilan, mengurangkan kos, membaiki kualiti dan menggandakan keuntungan.
Antara pembaharuan yang diperkenalkan dalam projek ini adalah penggunaan palung bagi memproses rempah pada skala yang lebih besar.
Tempoh kisaran juga telah ditingkatkan dari 5 kepada 6 hari demi mencapai target pengeluaran.
Selain menambah tempahan bahan mentah untuk diproses, Wau Tradisi juga telah menambah baik aliran proses pembungkusan yang lebih berkesan tanpa perlu menambah tenaga kerja.
Di samping itu, mereka juga memastikan lori atau van pengedar dimuatkan sepenuhnya sebelum meninggalkan kilang pada waktu yang tepat setiap pagi.
Dari segi logisitik pula, jenama ini telah menurunkan kadar penghantaran sebanyak sekali sehari berbanding dua kali sehari sebelum ini untuk mengurangkan kos pengangkutan. Secara keseluruhan, Wau Tradisi mampu menghantar produk mereka kepada pelanggan pada kekerapan yang lebih optimum.
Sekaligus, kaedah ini dapat mendorong kadar penyimpanan yang lebih singkat di kilang. Jadi, setiap produk yang diterima oleh pelanggan mempunyai kualiti yang terjamin dan dibuat segar setiap hari. Dengan simpanan stok yang minimum, kebersihan kilang juga dapat dijaga dengan lebih baik.
Teknik Kanban Dalam Pengurusan Kilang Wau Tradisi
Mendapat latihan khas daripada Kaizen Institute, Wau Tradisi turut menerapkan teknik Kanban untuk memastikan pengurusan kilang berjalan dengan lancar. Kanban ialah kaedah popular yang sering digunakan di Jepun untuk mengurus dan menambah baik aliran kerja dalam sesebuah organisasi.
Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas, semua tugasan akan dipaparkan di papan Kanban (Kanban Boards). Cara yang diamalkan oleh Wau Tradisi ini dilihat berkesan untuk menyelaraskan gerak kerja yang lebih teratur antara pasukan.
Kesan Projek Lean Terhadap Produktiviti Wau Tradisi
Sejak mengamalkan konsep baharu ini, Wau Tradisi mampu mencapai kapasiti penghasilan produk sehingga 9,000 kg berbanding 5,000 kg sebelum ini. Lebih menarik lagi, kilang ini bukan sahaja tidak perlu mengeluarkan kos lebih, malah mereka mampu berjimat dengan lebih banyak.
Berbanding jumlah kos pengeluaran sebanyak 80 sen untuk hasilkan sekilogram rempah, mereka dapat mengurangkan kos sehingga 51 sen sahaja. Ini membolehkan mereka untuk menjimatkan kos tahunan sehingga RM 14,000 setahun!
Selain membaiki aliran kerja di kilang, Wau Tradisi juga telah melakukan beberapa inisiatif dari sudut pemasaran seperti membangunkan laman web korporat serta menyertai beberapa ekspo keusahawanan untuk meningkatkan jaringan dan meluaskan lagi pasaran rempah ratus mereka.
Mereka juga sedang merancang untuk membuka showroom dan outlet jualan mereka di lokasi yang strategik pada masa akan datang.
Melihatkan keberkesanan projek lean manufacturing, kini syarikat rempah tersebut membuat keputusan untuk meneruskan konsep aliran kerja tersebut demi mencapai produktiviti paling optimum bagi penghasilan produk.
Pendekatan lean manufacturing yang diambil oleh Wau Tradisi ini dapat dijadikan contoh kepada bisnes lain dalam meningkatkan prestasi bisnes secara lebih menyeluruh.
Produktiviti yang lebih baik serta strategi pemasaran ini sekaligus dapat mendorong Wau Tradisi untuk mencapai hala tuju mereka dalam mendominasi industri rempah di pasaran Malaysia dan Asia.