Diperkenalkan pada 11 Mei 2023, Bard muncul sebagai pembantu AI dengan kemudahan seakan ChatGPT dan sedia untuk digunakan di 180 buah negara.

Masih berada dalam fasa ujian, Bard diperkasakan oleh salah satu model bahasa meluas (Large Language Models) daripada Google iaitu PaLM 2 bagi melengkapkan AI ini dengan kemahiran bahasa, matematik serta menaakul (reasoning) peringkat tinggi.

Jadi, apakah kelebihan yang ditawarkan Bard bagi menyaingi ChatGPT? Jom kita lihat beberapa ciri-ciri unik yang ditawarkan oleh chatbot terbaharu daripada Google ini.

 

6 Ciri-Ciri Menarik Bard oleh Google Bagi Menyaingi ChatGPT

1. Menawarkan Kemudahan Voice Input

Berbanding ChatGPT, pengguna boleh ‘bercakap’ secara terus dengan Bard menerusi kemudahan Voice Input dengan menekan ikon mikrofon pada bahagian kanan. Ciri unik ini akan menjimatkan banyak masa pengguna dalam mendapatkan informasi yang diinginkan.

2. Informasi Boleh Dieksport

Kemudahan AI terbaharu daripada Google ini membolehkan pengguna untuk export informasi secara terus kepada Docs atau Gmail. Sangat mudah dan praktikal!

3. Menawarkan Ringkasan Berdasarkan Pautan Laman Web

Memandangkan chatbot ini mempunyai akses terus kepada Google, pengguna juga boleh meminta Bard untuk menjelaskan kandungan dalam sesebuah laman. Sebagai contoh, anda boleh meminta chatbot ini supaya membuat ringkasan mudah bagi satu topik dengan menyertakan pautan artikel.

Cara ini sangat berkesan bagi pengguna yang ingin memahami sebuah subjek atau topik yang kompleks dalam masa yang singkat.

bard

4. Menawarkan Beberapa Versi Bagi Satu Jawapan

Salah satu ciri unik Bard yang tidak dimiliki oleh ChatGPT adalah kemampuannya untuk menghasilkan 3 versi jawapan atau draf bagi jawapan yang sama. Jadi, jika anda tidak berpuas hati dengan versi jawapan yang pertama, anda boleh pilih versi yang lain. Lebih menarik lagi, sesetengah versi juga mungkin menawarkan input jawapan yang berbeza.

bard

5. Membantu Rancang Percutian Dengan Lebih Baik

Walaupun ChatGPT juga mampu merancang percutian buat pengguna, namun chatbot terbaharu ini mampu menawarkan aktiviti serta lokasi percutian yang lebih terkini dengan bantuan integrasi Google.

6. Tawarkan Carian Berdasarkan Soalan Yang Diberikan

Memandangkan Bard dipautkan dengan Google, kemudahan AI ini juga boleh mencadangkan beberapa carian berkaitan dengan soalan yang diberikan menerusi butang ‘Google It’. Dengan kemudahan ini, pengguna boleh dalami lagi topik yang mereka minati. Selain itu, pengguna juga dapat menyemak kesahihan sumber yang chatbot oleh Google ini tawarkan.

bard

Bagi meluaskan lagi fungsinya, Google juga kini dikatakan sedang menyempurnakan lagi kemudahan AI ini dengan kebolehan seperti menawarkan maklumbalas menerusi imej dan sedang merancang kerjasama dengan Adobe Firefly bagi membolehkan pengguna untuk hasilkan imej baharu dengan bantuan Bard.

Meskipun Bard kini hanya mampu memberikan respon dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Korea dan Bahasa Jepun, namun Google sedang giat membangunkan kemudahan AI ini supaya dapat menyokong 40 bahasa berbeza dalam waktu terdekat.

Tak hanya itu, Bard juga dikatakan bakal meluaskan integrasi dengan aplikasi Google yang lain seperti Maps dan Google Drive.

Dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat masa kini, Bard pasti akan menjadi saingan yang besar bagi ChatGPT. Sama-sama kita nantikan perkembangan serta ciri-ciri yang lebih menarik daripada Bard pada masa akan datang. Buat masa ini, pengguna bebas untuk mencuba fungsi AI terbaharu daripada Google ini di pautan https://bard.google.com/.

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.



Top