Siapa tak kenal denga personaliti media sosial popular dan pengasas Sambal Nyet, Khairul Aming? 

Sejak mula dijual, sambutan yang diterima sangat luarbiasa. 

Pada awal kemunculan produk sambal ini, ramai juga yang menyangka bahawa sambutan hangat ini lama kelamaan akan reda. 

Namun, khabar tentang terjualnya 13,000 botol sambal dalam masa 2 minit di Shopee membuktikan yang hype orang ramai terhadap Sambal Nyet masih belum reda walaupun sudah dijual sejak tahun 2021.

Jika diikutkan, sampai sekarang pun bukan mudah untuk pelanggan buat pesanan sambal ini. Mana tidaknya, bila restock saja, confirm licin! 

Bila ramai melihatkan kejayaan Khairul Aming ni, tiba-tiba ramai pula berminat untuk menjual produk sendiri. 

Salah itu tidak, cuma kalau nak berjaya macam Khairul Aming, kita kenalah pelajari teknik yang beliau gunakan. 

Walaupun anda guna bahan paling premium dengan resipi paling sedap sekali pun, ia tak boleh menjamin hasil jualan yang tinggi.

Jadi, untuk ketahui macam mana Khairul Aming berjaya pecah rekod jualan Sambal Nyet, jom kita semak beberapa ‘formula rahsia’ usahawan muda ini. 

Rahsia Kejayaan Khairul Aming Sehingga Sambal Nyet Boleh Terjual 13,000 Botol Dalam Masa 2 Minit

1. Bina Nama Dahulu

Walaupun sudah lama minat berbisnes, namun Khairul Aming tidak kelam kabut terjun dalam bidang jualan produk. Sebaliknya, beliau bina nama terlebih dahulu.

Dengan tagline popularnya “Hey, Wassup guys”, Khairul mula mengumpul pengikut di pelbagai platform media sosial dengan menyajikan video resepi-resepi mudah. 

Melihatkan hasil air tangannya yang sentiasa menjadi tak kira resepi apa sekali pun, secara automatik pelanggan pasti akan terdorong untuk mencuba sendiri Sambal Nyet. 

Sejujurnya, terdapat banyak produk sambal botol di Malaysia yang tak kurang hebat rasanya seperti Sambal Nyet. Namun, jutaan orang masih ingin dapatkan Sambal Nyet kerana pengasasnya, iaitu Khairul Aming.

Ini samalah juga seperti peminat tudung Duck yang tak lepas beli keluaran shawl terbaharu disebabkan Vivy Yusof dan sebagainya. Jadi, di sini kita boleh tengok bila nama founder dah kukuh dan ada peminat, pasti tiada masalah untuk dia cari pelanggan. Malah, pelanggan yang cari dia! 

2. Kandungan Yang Bermanfaat

Sejak Khairul Aming buat video, ramai pula yang rajin untuk cuba memasak. Video resepi yang beliau hasilkan juga jelas dan mudah diikuti. Ditambah pula dengan aura pemuda ini, resepi yang dihasilkan boleh jadi viral lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.

Sehinggakan ada yang menggunakan resepi daripada Khairul untuk berniaga sendiri.

Content yang dihasilkan juga sangat konsisten, berkualiti dan menarik, memang tak jemu untuk orang ikuti setiap hari!

Beliau juga tak lokek untuk berkongsikan di belakang tabir serta tips penghasilan video yang menarik kepada pengikutnya di media sosial.

sambal nyet

3. Jualan Sambal Limited Edition

Untuk mengekalkan kualiti sambalnya, Khairul Aming memilih untuk hanya menjual di satu platform sahaja iaitu Shopee dan tidak menggunakan ejen atau dropship

Disebabkan penjualan yang terhad, Sambal Nyet automatik menjadi produk limited edition yang ramai sering nantikan. Setiap kali restock, beribu-ribu orang akan membeli! 

4. Harga Sambal Yang Berpatutan

Sesetengah usahawan popular ada kalanya memanfaatkan populariti mereka untuk menjual produk pada harga yang tinggi.

Berbanding dengan Khairul Aming, beliau meletakkan harga yang cukup berpatutan supaya semua orang boleh menikmati Sambal Nyet. Nak repeat order pun rasa tak terbeban! 

sambal nyet

5. Utamakan Perkembangan Bisnes

Walaupun baru beroperasi kira-kira 2 tahun lepas, namun Sambal Nyet mampu mencecah jualan melebihi RM 20 juta iaitu bersamaan dengan 1.5 juta botol!

Biasanya jika peniaga dapat meraih keuntungan jutaan ringgit, pasti wangnya akan dihabiskan untuk bermewah.

Sebaliknya, Khairul Aming menggunakan wang tersebut untuk kembangkan lagi bisnes. Tak cukup dengan satu kilang, beliau tidak teragak untuk kembangkan lagi bisnes dengan membuka kilang kedua di Kota Bharu! 

Dengan adanya kilang baharu ini, Khairul dapat tingkatkan lagi produksi sambalnya kepada 5,000 sehari berbanding 200 botol sebelumnya. 

Bukan itu sahaja, malah jumlah stafnya berkembang kepada 50 orang berbanding 8 orang pada awal perniagaan. 

sambal nyet

6. Team Yang Mantap

Selain staf kilang, Khairul Aming juga dibantu oleh team yang produktif dan berdedikasi untuk mantapkan lagi aliran bisnesnya. Dari marketing, urusan penghantaran sehinggalah ke publisiti, semuanya disusun rapi untuk naikkan lagi nama Sambal Nyet saban hari. 

Ini jugalah yang membuatkan fenomena Sambal Nyet hangat sehingga ke hari ini. Tak pernah tak laku, setiap kali habis, mesti ramai yang akan restock! 

Selain itu, Khairul Aming juga terkenal dengan sifat mesra dan pemurahnya dengan team serta staf dan tidak kisah berkongsi rezeki dengan mereka. Sehinggakan, ramai netizen cemburu dan berharap supaya dapat majikan yang baik dan murah hati seperti pemuda ini!

Kesimpulannya, kejayaan Khairul Aming pecah rekod jualan sambalnya itu tidak dapat dicapai semalaman. Sebaliknya, macam-macam perancangan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk menjadikan Sambal Nyet sebuah jenama sambal terkemuka di Malaysia. 

Strategi-strategi yang disusun rapi untuk membangunkan jenama sambalnya juga perlu dipuji. Memang tak hairanlah mengapa ramai yang kagumi anak muda ini dari hari ke hari. 

 Bagi anda yang berminat untuk jadi usahawan, bolehlah jadikan kisah Sambal Nyet Khairul Aming ini sebagai inspirasi. 

Dapatkan info terkini dunia bisnes terus ke inbox anda dengan melanggan newsletter kami.

Top