Melihatkan kejayaan ahli perniagaan, kita pasti pernah terdetik di hati untuk mulakan bisnes. Sememangnya perniagaan boleh membuatkan kita kaya, namun dengan teknik yang salah, ia boleh memakan diri.
Yang kita lihat pada ahli perniagaan hanyalah keuntungan dan kejayaan yang diperoleh. Sedangkan, pelbagai dugaan dan kegagalan pernah dihadapi untuk membina jenama terkenal.
Sama seperti Abdul Hakim Awang, pengasas jenama chicken chop sejuk beku popular, D’Apple yang berasal daripada Kelantan. Sebagai peniaga yang bermula daripada bawah, beliau juga pernah terperosok dalam lubang kesempitan sehingga pernah ada hanya RM 100 di tangan.
Namun dengan musahabah diri serta penyusunan strategi yang lebih baik, beliau berjaya bangkit daripada kegagalan dan berjaya membina bisnes produk makanan sejuk beku yang dikenali ramai.
Sebagai seorang yang pernah gagal, beliau terpanggil untuk berkongsikan beberapa nasihat untuk peniaga yang baru ingin mulakan bisnes.
7 Nasihat Untuk Peniaga Yang Baru Mulakan Bisnes
1. Mulakan Dengan Apa Yang Ada Di Tangan
Tak ada modal yang besar untuk mulakan bisnes? Tak mengapa! Berniagalah dahulu dengan apa yang ada di tangan.
Cari pengalaman, pendedahan dan kesesuaian dalam berniaga. Bila dah jumpa rentak dan bisnes boleh jana wang, barulah anda ikhtiar tambah modal.
Jangan lupa untuk simpan sedikit daripada keuntungan untuk kegunaan masa kecemasan. Jangan pusing semua, jangan laburkan semua.
Jika tak mampu, jangan terburu-buru untuk laburkan wang pada perkara yang berkos tinggi seperti mesin besar atau ubahsuai kedai.
Ini boleh menjejaskan cashflow dan menggugat kestabilan bisnes. Utamakan cashflow dan rancang strategi supaya bisnes anda mempunyai aliran wang yang baik.
2. Jangan Berani Meminjam Bank Sebelum Mahir Berbisnes
Jangan sesekali pinjam duit untuk mulakan bisnes. Sebelum bisnes stabil, jangan berani untuk meminjam duit di bank kerana jika tak kena dengan cara, ia boleh menjadi punca kejatuhan perniagaan anda. Pastikan anda hanya pinjam duit di bank bila bisnes sudah mampu menjana duit dan mampu membayar ansuran pinjaman tersebut.
Seperkara lagi, jangan buat pinjaman baharu semata-mata untuk bayar pinjaman tertunggak. Cari ikhtiar lain untuk bayar pinjaman tersebut.
Jika tidak, sampai satu masa anda akan terperangkap dalam jerat sendiri. Tanamkan pada diri bahawa pinjaman bank adalah untuk tambah modal pusingan atau kembangkan bisnes sahaja.
3. Jangan Terlalu Awal Untuk Bermewah
Jika tahun pertama jualan anda sangat baik, jangan raikan dahulu. Ada beberapa tahun lagi untuk sahkan kejayaan bisnes anda. Oleh itu, jangan terlalu awal untuk buat keputusan membeli aset mewah seperti kereta, rumah dan bangunan sebagai alasan untuk reward diri.
Anda bukannya tak boleh membeli aset. Namun, anda tak digalakkan untuk membeli sebelum betul-betul mampu. Deposit bagi membeli aset-aset mahal ini sangat tinggi dan boleh mengganggu cashflow bisnes terutamanya perniagaan yang belum matang. Ramai yang kehilangan bisnes akibat kesilapan ini.
4. Jangan Gelojoh, Stay On Track
Selain membeli aset, ramai pemilik bisnes yang turut kecundang apabila melihatkan kejayaan orang lain. Tengok orang lain buka 5 cawangan, kita pun nak. Jangan terlalu gelojoh untuk kembangkan bisnes kerana ia adalah proses yang memakan masa.
Sebaliknya, semak dahulu kemampuan serta keupayaan bisnes. Dikhuatiri, sikap yang mudah terikut-ikut ini boleh menghumban diri anda ke lembah kegagalan.
5. Jika Bisnes Tak Maju, Baiki Diri dan Tingkatkan Ilmu
Jika ada sesuatu yang tak kena dengan bisnes anda, jangan buat kerja gila untuk teruskan. Sekurang-kurangnya anda tidak merosakkan bisnes secara terus-terusan hingga musnah semuanya.
Jangan pandai-pandai ikut kata hati jika kurangnya ilmu di dada. Banyak waktu dan masa akan terbuang bila anda buat bisnes tanpa bimbingan dan ilmu.
Berhenti seketika dan baiki diri. Tingkatkan ilmu dan bergurulah dengan usahawan yang lebih berpengalaman. Mantapkan diri dengan bimbingan, nasihat serta pelajari selok-belok perniagaan daripada guru atau usahawan yang terbukti berjaya.
6. Iklan Perlu Terus Dijalankan
Sama ada percuma, berkos sedikit atau banyak, iklan dan promosi mesti diteruskan untuk buat ramai orang kenali bisnes kita. Ambil kira trend terkini supaya iklan yang dihasilkan dapat menarik perhatian pelanggan untuk mencuba produk atau perkhidmatan kita.
7. Jangan Cepat Melatah Dengan Ujian
Gagal sekali bukan bermaksud gagal selamanya. Bak kata Encik Abd Hakim, usahawan yang tak sabar dan cepat melatah, takkan bertemu kejayaan.
Jangan mudah kecewa atau berputus asa bila bisnes anda diuji. Setiap dugaan yang hadir pasti ada hikmahnya. Semua terletak pada diri kita untuk muhasabah diri. Lihatlah cabaran daripada sudut positif untuk bangkit daripada kegagalan.
Kejayaan tidak datang sekelip mata. Sebaliknya, ia memerlukan kecekalan hati dan kesungguhan untuk berjaya membina perniagaan yang betul-betul stabil.
Tak usah terburu-buru untuk melihat hasil dan jangan pula berputus asa jika bisnes tak berjalan seperti yang dirancang.
Jangan mudah melatah apabila diuji dan jangan pula terburu-buru meraikan kejayaan pada awal bisnes dengan bermewah. Sebaliknya, muhasabah diri dan semak kemampuan bisnes untuk anda rangka strategi yang lebih baik pada masa hadapan.
Semoga nasihat untuk peniaga daripada Encik Abdul Hakim Awang ini dapat memberi inspirasi kepada semua.
Dengan strategi yang baik serta ilmu yang lebih mantap, anda pasti akan lebih bersedia untuk hadapi cabaran bisnes pada masa akan datang.
Untuk menjamin bisnes yang berjaya, mantapkan diri dengan ilmu dan dapatkan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman.
Sumber : Facebook Abd Hakim Awang