Siapa yang tidak kenal dengan snek mi yang terkenal, Mamee Monster. Dilancarkan pada tahun 1974, jenama ini kembali menghidupkan era 70an dengan membawakan pek bungkusan retro edisi terhad.
Keluaran ini adalah sebahagian daripada kempen baharu mereka iaitu The Mamee Monster’s World of Nowstalgia.
Kali ini, Mamee Monster ingin mengajak semua untuk mengimbau kenangan zaman kanak-kanak bersama Datuk Pang Chin Hin, pengasas jenama snek popular ini.
Berkongsi menerusi Reels Instagram, Mamee Monster tersebut menampilkan maskot raksasa birunya yang ikonik serta Datuk Pang Chin Hin,. Dalam video tersebut, pengasas jenama ini sedang menikmati snek mi ini bersama Monster sambil mengajak pengguna mengimbau memori zaman kanak-kanak yang indah.
“Rindu betul zaman kecil-kecil dulu. Andai boleh putarkan masa,” – komen salah seorang pengguna setia di posting tersebut.
Bungkusan edisi terhad ini juga dilancarkan bagi memperingati pemergian Datuk Pang yang telah meninggal dunia pada November 2022 yang lalu.
“Semua elemen sama ada reka bentuk, warna atau muzik bertujuan untuk mengimbau kenangan dan memori sebelum kebangkitan internet dan media sosial,” kata ketua pegawai pemasaran Mamee, How Yuan Yi.
Kempen ini juga mengingat beliau kepada permulaan jenama Mamee Monster apabila pegawai eksekutif Mamee Double Decker yang juga anak sulung kepada Datuk Pang, Tan Sri Pang Tee Chew mendapat ilham untuk menghasilkan snek mi setelah melihat gelagat sekumpulan penoreh getah.
Akibat tiada dapur gas di ladang getah, mereka nikmati mee segera terus daripada bungkusan tanpa merendam atau memasak menggunakan air panas.
Gandingan bapa dan anak ini mengambil ilham daripada situ untuk mengolah mi segera kepada snek mi berperisa yang mudah untuk dimakan.
Sejak terciptanya Mamee Monster, ia kekal menjadi kegemaran ramai rakyat Malaysia tanpa mengira usia.
Walaupun sudah mencecah hampir 50 tahun, jenama ini kekal segar dan masih menjadi sebutan ramai. Kebanyakan daripada kita juga pasti membesar dengan jenama ini, bukan?
Tambahan pula, pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Mamee yang sentiasa komited untuk berinovasi dan menambah baik produk saban tahun.
Selari dengan trend semasa, jenama ini juga mengaplikasikan pemasaran digital untuk kekal berhubung dengan pengguna mereka.
Untuk memeriahkan kempen dan menarik perhatian pengguna secara atas talian, mereka turut melancarkan kempen Mamee Monster’s World Of Nowstalgia menerusi platform media sosial.
Untuk sertai peraduan ini, anda hanya perlu muat naik gambar kreatif bersama pek retro Mamee Monster dan kongsikan kenangan indah bersama jenama ini di ruangan caption.
Menarik sungguh kempen yang dilancarkan oleh Mamee Monster ini. Sambil bernostalgia, jenama ini juga berpeluang untuk eratkan lagi hubungan bersama rakyat Malaysia yang sudah terjalin selama lebih 5 dekad.